Apakah Perbezaan Antara Tuntutan Insuran dan Tindakan Sivil Akibat Kemalangan Jalanraya

Saya seringkali diajukan soalan lazim setiap kali berurusan dengan mangsa-mangsa kemalangan jalanraya "saya tidak ada polisi insuran hayat, apakah saya layak untuk mendapat pampasan gantirugi akibat kemalangan ini" dan "kenderaan saya hanya ada insuran pihak ketiga, adakah saya boleh membuat tuntutan ini?". Kesimpulan daripada kedua-dua soalan di atas, bolehlah disimpulkan bahawa pengetahuan orang ramai di Malaysia mengenai insuran dan undang-undang adalah kurang dan lemah.
Mereka masih tidak dapat memahami apakah itu polisi insuran?apakah itu insuran hayat?apakah itu insuran kenderaan motor? Apakah rangkuman perlindungan yang dikuatkuasa oleh polisi insuran tersebut?dan apakah sekatan dan halangan yang diwujudkan oleh polisi insuran itu?. Kemungkinan keadaan ini berlaku disebabkan orang ramai tidak gemar membaca atau mendalami bahan-bahan ilmiah seperti material perundangan ataupun material mengenai insuran. Tetapi adalah lebih malang, jikalau mereka langsung tidak membaca, menyemak dan meneliti kandungan dan terma-terma kontrak dalam polisi insuran yang mereka sertai itu. Mereka membeli atau menyertai polisi insuran tersebut secara membuta tuli tanpa rujukan dan semakan terlebih dahulu.
Di sini ditegaskan bahawa pemegang polisi insuran berhak membuat tuntutan kepada syarikat insuran yang menawarkan perlindungan tersebut, jika perkara yang dilindungi dalam polisi tersebut telah berlaku ke atas pemegang polisi insuran tersebut. Contohnya seorang individu yang menyertai polisi kemalangan diri berhak membuat tuntutan kepada insuran apabila beliau tercedera dalam suatu kemalangan, tetapi tertakluk kepada sekatan yang diwujudkan dalam polisi tersebut. Oleh demikian, saya menyeru orang ramai agar lebih prihatin dengan mengambil tindakan membaca, menyemak dan meneliti polisi insuran yang disertai agar tuntutan anda di masa hadapan tidak berisiko untuk ditolak.
Manakala itu, tindakan sivil akibat kemalangan jalanraya, bukanlah satu prosedur tuntutan insuran secara amnya, tetapi secara khususnya award pampasan gantirugi yang diputuskan terhadap pihak Defendan selalunya akan dibayar oleh syarikat insuran berdasarkan peruntukan Seksyen 96 (2) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987, jikalau kenderaan pihak Defendan tersebut dilindungi secara sah oleh undang-undang oleh sesebuah syarikat insuran yang disertai oleh Defendan tersebut. Oleh demikian, tindakan sivil akibat kemalangan jalanraya juga mempunyai ciri-ciri yang sama dengan tindakan sivil yang lain dari segi amalan, prosedur dan dokumentasinya, yang berbeza cuma cara memplidkan tindakan, teknik penyelesaian dan beberapa aspek teknikal cause paper dalam mahkamah.
Kesimpulannya tindakan sivil akibat kemalangan jalanraya adalah berkait rapat dengan undang-undang kecuaian khususnya berhubung cara dan bagaimana sesebuah kenderaan itu dikendalikan dan dipandu dalam suatu kejadian kemalangan jalanraya. Dan tahap atau peratusan kecuaian tersebut diukur dan disukat berdasarkan imbangan kebarangkalian berpandukan kepada bukti-bukti di tempat kejadian seperti kedudukan kenderaan, pecahan kaca atau kompenan kenderaan, calar, kesan brek dan keterangan-keterangan saksi yang melihat kejadian tersebut serta mengambilkira aspek dan ciri-ciri fizikal dan bentuk geografi di lokasi kejadian tersebut.
Oleh itu setiap individu berhak membawa tindakan sivil akibat kemalangan jalanraya tidak kira sama ada beliau ada menyertai polisi insuran hayat ataupun sebaliknya, tidak kira sama ada kenderaan hanya dilindungi insuran komprenhensif ataupun insuran pihak ketiga sahaja, asalkan beliau dapat membuktikan bahawa beliau bukanlah punca kepada kejadian kemalangan tersebut, tetapi adalah pihak yang paling minima kecuaiannya dalam kejadian itu

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.