Bagaimana Tuntutan Insuran Bagi Kerosakan Kenderaan Anda Dapat Dilakukan Dengan Sempurna

Saya dihubungi oleh salah seorang pembaca blog ini, beliau memperkenalkan diri sebagai Ali dan menetap di sebuah bandar di selatan tanahair. Masalah En. Ali bermula apabila beliau terlibat dalam satu kemalangan jalanraya, semasa beliau dirawat di hospital, beliau telah menandatangani satu dokumen yang dikemukakan oleh agen trak penunda tanpa memeriksa dan menyemak kandungan dokumen tersebut, semata-mata beliau dimaklumi bahawa segala urusan penundaan dan tuntutan kerosakan kereta akan dijalankan dengan sempurna. En. Ali memaklumkan bahawa beliau telah dicadangkan untuk membuat tuntutan gantirugi kepada insuran kenderaan pihak ketiga kerana kemalangan tersebut berpunca dari kecuaian pemandu kenderaan pihak ketiga tersebut.
Bagaimanapun sehingga kini, setelah melebihi tempoh 1 tahun kereta beliau masih tersadai di bengkel, tetapi lebih malang bengkel tersebut telah pun ditutup dan kereta En. Ali langsung tidak dapat dikesan, beliau hanya dimaklumi oleh pengusaha bengkel bahawa kereta beliau telah dihantar ke satu bengkel untuk diperbaiki.
En. Ali bimbang dan rungsing kerana kereta tersebut masih tersadai dan tidak dapat dikesan, sedangkan pengusaha bengkel telah memberitahu bahawa urusan tuntutan insuran telah berjalan dengan lancar. Sehingga kini En. Ali bukan sahaja terpaksa mengalami kerugian kehilangan penggunaan atas kereta tersebut, tetapi terpaksa mengeluar belanja untuk membeli kereta baru, menanggung beban pinjaman kereta dan terpaksa membayar ansuran pinjaman kereta yang masih tersadai tersebut, demi untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas beliau oleh pihak bank.
Sebenarnya masalah yang dihadapi oleh En. Ali boleh dielakkan, jika mangsa-mangsa kemalangan mahu mengubah sikap dan pemikiran mereka dengan bertindak lebih prihatin, teliti dan berhati-hati. Jangan begitu mudah menurunkan tandatangan ke atas apa-apa dokumen tanpa membaca, memahami dan mendapat penjelasan lanjutan daripada pihak yang mengemukakan dokumen tersebut. Seboleh-boleh beliau harus faham tentang bagaimana dan cara mana tuntutan gantirugi beliau akan dilakukan dan bengkel mana yang akan membaiki kenderaan tersebut.
Apakah faktor-faktor yang menyumbangkan kepada masalah penipuan yang dihadapi oleh En. Ali?
1. Kecuaian dan kealpaan En. Ali sendiri yang menandatangani suatu dokumen yang dikemukakan oleh agen trak penunda semasa En. Ali sedang menerima rawatan kecemasan akibat kemalangan tersebut, dimana saya percaya En. Ali telah memberi kebenaran dan kuasa penuh kepada operator trak penunda untuk menunda kereta beliau ke bengkel tersebut.
2. En. Ali gagal menyemak latar belakang bengkel yang membaiki dan membuat tuntutan bagi pihak En. Ali, saya percaya bengkel tersebut tidak berdaftar dan mendapat tauliah dari PIAM.
3. En. Ali langsung tiada pengalaman dan pengetahuan berkenaan tuntutan insuran dan ini menyebabkan beliau dengan mudah menjadi mangsa penipuan pihak berkenaan.
Bagi mengelakkan kejadian yang menimpa ke atas En. Ali berulang kepada mangsa yang lain. Penulis mencadangkan apabila terlibat dalam suatu kemalangan, anda diharuslah bertenang. Jika perlu untuk menandatangani dokumen penundaan, sila pasti penundaan tersebut hanya untuk penundaan ke balai polis berdekatan sahaja, jangan benarkan kenderaan anda dihantar kepada mana-mana bengkel untuk mengelakkan kenderaan dihantar ke bengkel yang tidak diiktiraf oleh PIAM.
Pihak insuran hanya mengiktiraf tuntutan yang dibuat melalui bengkel yang ditauliahkan oleh pihak PIAM sahaja. Tetapi adalah lebih baik dan bijaksana jika anda dapat menghubungi talian bantuan yang disediakan oleh syarikat pembuat kenderaan ataupun syarikat insuran yang melindungi kenderaan anda, apabila kenderaan mengalami kerosakan ataupun terlibat dalam kemalangan bagi mengelakkan kejadian penipuan dari berlaku dan anda yang menjadi mangsanya.
Prosedur tuntutan insuran untuk gantirugi bagi kerosakan kenderaan secara lazimnya adalah seperti berikut:-
1. Melaporkan kejadian kemalangan kepada pihak polis dan beri keterangan kepada pegawai penyiasat.
2. Hantar kenderaan kepada pusat servis pihak yang mengeluarkan kenderaan anda ataupun yang bengkel yang mempunyai tauliah untuk membaik pulih kenderaan tersebut bagi pihak pengeluar dan pembuat kenderaan anda.
3. Mengisi dan menyempurnakan borang tuntutan yang diboleh didapati daripada syarikat insuran anda. Jika anda bercadang ingin membuat tuntutan kepada insuran pihak ketiga, satu notis perlu dihantar kepada syarikat insuran pihak ketiga tersebut.
3. Pusat servis akan memanggil adjuster untuk memeriksa, menilai dan mentaksirkan kerugian dan kos membaik pulih kenderaan anda, satu laporan lengkap akan dihantar oleh syarikat penyelaras kepada syarikat insuran berhubung pemeriksaan tersebut.
4. Selepas meneliti laporan adjuster pihak insuran akan membuat tawaran dan kenderaan anda akan dibaik pulih berdasarkan kos yang dipersetujui dan ditawarkan oleh pihak insuran.
5. Bagi tuntutan pihak ketiga, anda perlu mengeluarkan atau membayar kos baik pulih kenderaan seperti yang dicadangkan oleh adjuster dalam laporan mereka kepada pusat servis, kerana bagi tuntutan ini perkara asas adalah anda mesti membuktikan bahawa anda telah mengalami kerugian dan kos membaiki sepertimana yang tercatit resit dan bil rasmi yang keluarkan oleh pusat servis, kemudian barulah syarikat insuran pihak ketiga (third party claims) menilai dan menyemak tuntutan anda. Jika anda tidak berupaya untuk membiayai kos tersebut, adalah lebih mudah dan cepat jika anda membuat tuntutan di bawah tuntutan insuran sendiri (own damages claims) kepada syarikat insuran sendiri (first party claims).
5. Kenderaan siap dibaiki dan anda boleh mengambilnya setelah menurunkan tandatangan ke atas beberapa dokumen, sila baca dan semak sebelum menandatangani dokumen tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.