Cadangan Penyelesaian Terus Dengan Syarikat Insuran dan Kesannya Terhadap Mangsa

Tidak lama dahulu kira-kira suku akhir 2 tahun lalu iaitu pada tahun 2008, terdapat cadangan daripada kerajaan dan pengendali syarikat insuran untuk mewujudkan dan memperkenalkan satu sistem baru dimana syarikat insuran akan menyelesaikan tuntutan akibat kemalangan dengan mangsa secara terus tanpa melalui proses amalan perundangan dan khidmat peguamcara sepertimana amalan biasa pada masa kini bagi melicinkan dan percepatkan tuntutan insuran, disamping mengatasi masalah penipuan oleh orang tengah.

Semasa isu ini hangat dibincangkan, saya masih berkhidmat di sebuah firma guaman di Petaling Jaya yang juga merupakan panel kepada syarikat insuran gergasi di negara ini. Cadangan ini diadaptasikan daripada sistem yang berjaya di Amerika Syarikat, bagaimanapun saya tidak percaya sistem itu akan berjaya di sini, memandangkan situasi, keadaan, sikap, pengetahuan dan cara berfikir rakyat negara ini amat berbeza dengan situasi di negara benua Amerika tersebut. Tambahan pula arwad gantirugi di negara tersebut adalah terlalu baik, adil dan tinggi berbanding dengan apa yang diamalkan di negara ini.

Ketika itu, telah wujud satu amalan yang ketat dari segi prosedur, tindakan dan pelaksanaan tuntutan insuran. Kami menerima arahan yang ketat untuk meneliti dan menyemak tindakan yang dibawa mangsa kemalangan, mencari setiap kelemahan sama ada secara fakta ataupun teknikal semata-mata untuk menghalang, menyekat dan menghadkan jumlah pampasan yang patut diterima oleh mangsa, pelbagai cara, helah dan teknik digunakan untuk menerobos dan melemahkan tuntutan mangsa, ini semua dibuat dalam keadaan mangsa mempunyai akses dan kepentingan mereka dijaga sebegitu ketat oleh peguamcara yang dilantik untuk membawa tindakan tersebut.

Oleh itu, apa yang patut difikirkan adalah dalam keadaan mangsa telahpun diwakili oleh peguamcara yang mahir dan profesional dalam melawan kes tuntutan kemalangan, pengendali syarikat insuran masih berpeluang besar dan berjaya untuk menghalang dan menghadkan jumlah pampasan yang patut diterima mangsa. Inikan pula jika mangsa tidak diwakili dan dinasihati oleh pihak yang mahir dan profesional seperti peguamcara.

Sebenarnya pampasan gantirugi akibat kemalangan di negara ini masih ditahap yang rendah, jika dibandingkan dengan apa yang dipraktikkan di negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat. Di negara tersebut tuntutan insuran boleh diselesaikan secara terus dengan syarikat insuran tanpa melalui prosedur perundangan kerana jumlah pampasan yang tinggi, disamping pengetahuan dan kesedaran berkenaan undang-undang dan insuran di kalangan rakyatnya amat bagus dan memuaskan, tiada ruang dan kesempatan yang membolehkan syarikat insuran untuk memanipulasikan sistem dan menghadkan pampasan gantirugi terhadap mangsa.

Oleh itu, adalah perlu dan wajar kepada pihak kerajaan untuk mempertimbangkan perlaksanaan sistem baru tersebut, kerana dibimbangi akan wujud manipulasi dan sistem yang kurang adil kepada mangsa atau penuntut, sebaliknya akan memberi kelebihan dan keuntungan kepada pengendali syarikat insuran, tambahan pula kita sedia faham bahawa operasi syarikat swasta adalah berasaskan kepada keuntungan semata-mata.

Sekiranya sistem baru tersebut dilaksanakan mangsa kemalangan terpaksa menguruskan tuntutan mereka secara berdikari tanpa bimbangan dan nasihat daripada peguamcara. Adalah dibimbangi bahawa mangsa akan dimanipulasi kerana sebelum mendapat pampasan gantirugi banyak prosedur, amalan dan dokumen yang perlu dikemukakan, dan ini tidak difahami oleh orang ramai, bahkan ini termasuklah juga peguam yang tiada pengalaman dalam mengendalikan kes tuntutan kemalangan jalanraya. Kemungkinan mangsa akan diseret dan dipaksa menerima pampasan yang dihadkan atas alasan tuntutan yang lemah adalah berisiko tinggi untuk berlaku.

Diharapkan pihak kerajaan dapat merasai kebimbangan rakyat bawahan yang memerlukan pembelaan dan keadilan dalam semua sudut termasuklah ketika mereka membuat tuntutan insuran. Bagaimanapun ketika ini syarikat insuran secara berperingkat telah menghadkan amalan penghantaran kes untuk dicabar di Mahkamah, dimana mereka terus berbincang dan berdialog dengan firma guaman yang dilantik mangsa untuk mencari penyelesaian terbaik di luar Mahkamah. Tambahan pula akhir-akhir ini tawaran penyelesaian yang dikemukan adalah baik dan memberangsangkan walaupun ini belum mencapai standard dengan apa yang diamalkan di negara maju tersebut. Bagaimana saya melihat ini adalah permulaan dan langkah yang baik kerana ia menguntung mangsa kerana tuntutan mereka dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat, dengan kos guaman yang murah, tetapi mendapat pampasan yang boleh diterima dan adil untuk suatu pertikaian yang diselesaikan secara penyelesaian di luar Mahkamah.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.