Kenapa Anda Perlu Berada Dalam Situasi Tenang Ketika Membuat Laporan Polis Berkaitan Kemalangan


  1. Ramai di antara kita yang tidak menyedari bahawa laporan polis adalah satu dokumen dan aspek pertama, utama dan penting yang akan dilihat, diperhati dan semak secara berulangkali oleh eksekutif tuntutan syarikat insuran, bahkan peguamcara yang dilantik ketika mereka menilai dan memberi tindak balas terhadap suatu tuntutan yang dibawa ke hadapan mereka untuk dipertimbangkan.

  2. Selepas berpuashati dengan kandungan, fakta serta keterangan dalam laporan polis berkaitan tuntutan berkenaan, barulah pemerhatian tersebut akan berpindah kepada dokumen selainnya seperti lakaran rajah kasar, gambar polis di lokasi kejadian, laporan perubatan, bil dan resit, slip gaji dan surat pengesahan majikan.

  3. Justeru itu, adalah perlu anda sedari dan memberi perhatian penuh terhadap suatu kenyataan bahawa laporan polis yang ringkas tetapi penuh fakta yang patut, benar dan betul adalah suatu keperluan yang amat mustahak jika anda berniat untuk membuat tuntutan insuran. Anda perlu membuang sangkaan yang tidak benar bahawa eksekutif tuntutan insuran ataupun peguam panel syarikat insuran akan sewenang-wenangnya melepaskan tuntutan anda, jika laporan polis anda tersebut dibuat dalam keadaan dan bentuk yang bercelaru dan kelam kabut. Ini kerana kecenderungan dan kemungkinan bahawa laporan polis tersebut mempunyai banyak kelemahan, banyak peninggalan fakta material yang penting pasti wujud kerana pengadu hanya menumpukan aspek defensif yang berlebihan semata-mata ingin kelihatan tidak bersalah ataupun menjadi subjek kepada kemalangan tersebut dan ini memberi satu inferans dan persepsi yang salah kepada eksekutif tuntutan ataupun peguamcara tersebut.

  4. Laporan polis yang bagus dan baik adalah laporan yang didalamnya mengandungi fakta dan keterangan yang ringkas dan padat, tidak dibuat secara berlebihan tetapi mesti mengandungi fakta berkenaan tarikh kemalangan, lokasi kejadian, no. kenderaan terlibat, bagaimana dan cara mana kemalangan itu berlaku, apa tindakan dan kelakuan atau usaha untuk mengelakkan kemalangan tersebut, kecederaan dan kerosakan kenderaan yang dialami, tempat di mana anda menerima rawatan dan berapa lama anda mendapat cuti sakit.

  5. Justeru itu, sebaik-baiknya apabila anda terlibat dalam kemalangan jangan tergesa-gesa berniat untuk membuat laporan polis, anda perlu bertenang, walaupun Seksyen 52 (2) memperuntukkan suatu kejadian kemalangan ini perlu dilaporkan dengan segera tidak melepasi tempoh 24jam, tetapi ini tidak bermakna tiada pengecualian dalam hal ini. Seksyen ini hanya berkuatkuasa kepada mangsa kemalangan yang tidak terjejas oleh kecederaan dalam suatu kemalangan. Sekiranya anda tercedera, perkara utama yang perlu dilakukan adalah mendapat rawatan dengan segera dan apabila anda telah pulih dan sihat dari kecederaan tersebut, anda perlulah dengan segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis dengan mengemukakan sijil cuti sakit atau laporan perubatan anda.

  6. Sebaik-baiknya jika anda berniat untuk membuat tuntutan dan ingin tuntutan anda sukses dan berjaya. Anda perlu berjumpa dengan peguam atau paralegal yang mahir dalam kes tuntutan kemalangan, anda perlu berterus terang dan menceritakan semua keadaan kes dan jangan berbohong kepada peguam atau paralegal anda kerana tindakan anda hanya akan mendatangkan kesan yang tidak baik kepada tuntutan anda jika pembohongan tersebut dapat dikesan di kemudian hari. Ini kerana peguam ataupun paralegal akan memberi nasihat dan panduan berdasarkan maklumat dan keterangan anda.

  7. Oleh itu, jika anda dari awal lagi tidak jujur kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain, bagaimana tuntutan anda akan berjaya kerana setiap pembohongan pasti akan terbongkar memandangkan syarikat insuran mempunyai kepakaran untuk menerobos dan menyiasat kes berkenaan melalui inspektor penyelaras yang mahir dan profesional. Jangan fikir syarikat insuran akan membuta tuli mempercayai keterangan dan versi anda, mereka seboleh-boleh akan mencari cacat cela dan kekurangan yang boleh membantu menghad dan mengurangkan tuntutan anda. Kesimpulannya kejujuran dan keikhlasan anda adalah faktor penting dan utama yang memberi kejayaan kepada tuntutan anda kerana setiap pembohongan memerlukan pembohongan lain untuk menutup pembohongan tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.