Orang Tengah, Tugas, Fungsi, Perkhidmatan dan Kesannya Terhadap Tuntutan Anda

Dalam posting terdahulu, saya banyak menyentuh mengenai kewujudan orang tengah@runner dalam kes tuntutan insuran akibat kemalangan jalanraya. Saya merasa gembira apabila banyak mendapat maklum balas dan pertanyaan dari pembaca blog ini, kebanyakkan masalah yang diutarakan kepada saya berlegar-legar sekitar kelembapan prosiding tuntutan dan kos tindakan yang tinggi.

Oleh itu, di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengulas dan memberi sedikit informasi berhubung permasalahan ini. Sebenarnya memang diakui bahawa kewujudan orang tengah@runner boleh memainkan peranan penting dan memberi sumbangan yang tidak sedikit kepada kejayaan sesuatu kes tuntutan insuran, jika mereka menjalankan tugas dan perkhidmatan mereka secara profesional, jujur dan berhemah kerana mereka adalah perkakas perhubungan yang boleh mendekatkan anda dengan peguam.

Tetapi malangnya kebanyakan mereka tidak mementing aspek-aspek yang dinyatakan tadi, sebaliknya mereka lebih cenderung kepada material, kepentingan diri dan habuan wang semata-mata daripada memberi suatu perkhidmatan yang cemerlang dengan ikhlas. Oleh itu, kebanyakan firma guaman yang mengendalikan kes kemalangan lebih selesa melantik seseorang yang layak untuk menjawat jawatan pengurus tuntutan bagi mengantikan peranan orang tengah@runner agar mereka dapat mengendalikan sesuatu kes itu dengan lebih cekap, licin, teratur dan dapat mengurangkan manipulasi terhadap mangsa kemalangan tersebut.

Siapakah Orang Tengah@Runner ?

Orang tengah@runner adalah individu yang berkepentingan yang menawarkan perkhidmatan dan bantuan untuk menguruskan hal ehwal tuntutan insuran termasuklah melantik peguam untuk mengendalikan tuntutan sivil berkenaan dan mereka biasa menuntut bayaran sama ada daripada mangsa kemalangan atau firma guaman yang mengendalikan tuntutan tersebut untuk setiap perkhidmatan yang diberikan.

Apakah Modus Operandi Orang Tengah@Runner?

Kebiasaan orang tengah@runner akan berkeliaran mencari mangsa di hospital dan di balai polis, dimana kedua-dua tempat ini adalah lokasi terbaik untuk mendapatkan mangsa. Orang tengah@runner sentiasa berkeliaran di wad dan lobi wad kecemasan setiap hari untuk mencari mangsa, kebiasaannya mereka memancing pesakit dengan pelbagai pertanyaan kerana mereka sebenarnya ingin mencari informasi kes. Selepas berbual-bual seketika dengan pesakit mereka mula cucuk jarum dengan menawarkan perkhidmatan dan bantuan menguruskan hal ehwal tuntutan insuran dan perlantikan peguam kepada pesakit. Pesakit akan disadurkan dan disaji pelbagai janji-janji manis dan kejayaan tuntutan, selepas itu pesakit akan diarahkan untuk menandatangani suatu dokumen dengan serta merta tanpa memberi masa untuk berfikir dan tanpa memberi penjelasan yang mendalam berkenaan kandungan serta kesan terhadap dokumen tersebut, sebaliknya pesakit hanya dijelaskan dokumen tersebut hanya untuk kegunaan tuntutan insuran.

Selepas itu dokumen tersebut akan dibawa kepada firma guaman dan mereka memaklumkan kepada firma bahawa mangsa kemalangan tersebut ingin membuat tuntutan insuran dan melantik firma tersebut untuk mengendalikan kes tersebut dan seterusnya meminta bayaran atas perkhidmatan mereka. Selepas ini, orang tengah@runner akan lepas tangan dan tidak mengambil peduli mengenai nasib, kesulitan dan masalah yang dialami oleh mangsa serta progres perjalanan tuntutan kerana mereka lebih fokus dan komited untuk mencari mangsa-mangsa yang baru.

Apakah Kesan Penggunaan Orang Tengah@Runner Terhadap Anda?

1. Risiko dan peluang untuk berlaku penipuan terhadap anda begitu meluas dan melebarkan kerana orang tengah@runner bertindak atas kapasitinya sendiri bukan mewakili firma guaman kerana mereka bukan agen, wakil, pengkhidmat dan/atau pekerja kepada firma guaman;

2. Kemungkinan anda mendapat nasihat yang kurang tepat dan benar adalah tinggi kerana orang tengah@runner biasa tidak mahir dalam aspek-aspek teknikal, prosedur, amalan dan soal undang-undang yang terpakai dalam kes tuntutan kemalangan, sebaliknya mereka memang diakui amat mahir dalam aspek komunikasi, memujuk dan menabur janji-janji manis kepada mangsa;

3. Berlaku salah faham dan komunikasi dengan firma guaman yang mengendalikan kes anda terutama berkenaan kos dan yuran guaman kerana orang tengah@runner ini sama sekali tidak akan memberi penjelasan yang jelas yang berterus terang, benar dan secukupnya berkenaan isu kos dan yuran guaman kerana mereka ingin memanipulasi kes ini untuk kepentingan kewangan mereka semata-mata;

4. Mengadapi masalah isu perwakilan dengan ramai peguam dan ini akan melibatkan kos dan yuran guaman yang berganda kerana orang tengah@runner lebih cenderung untuk menjual kes tersebut kepada firma lain semata-mata untuk mendapatkan kepentingan kewangan tanpa pengetahuan mangsa kemalangan dan juga peguam yang dilantik terdahulunya;

5. Kes lewat diselesaikan kerana kadangkala peguamcara tidak dapat menghubungi mangsa untuk mendapat arahan-arahan baru disebabkan maklumat-maklumat yang diberikan orang tengah@runner tidak lengkap dan mencukupi;

6. Kemungkinan anda akan diwakili oleh firma guaman yang tiada pengalaman, kemahiran dan kepakaran dalam kes tuntutan kemalangan adalah tinggi kerana orang tengah@runner lebih cenderung memikirkan habuan mereka berbanding kepentingan anda selaku mangsa kemalangan tersebut. Ini menyebabkan peluang dan harapan anda untuk memenangi kes tersebut dengan cemerlang akan menjadi suram dan berliku.

Saya ingin menasihati bahawa jika anda bercadang atau berniat untuk membuat tuntutan insuran dan ingin melantik peguamcara bagi mewakili anda dalam kes sivil berkenaan, anda perlu bertindak seperti berikut:-

(a) bersikap tenang, matang dan tidak terburu-buru, sepatutnya anda perlu menggunakan semua kesempatan dan masa yang ada untuk mengkaji tindakan ini;

(b) semak dan selidiki latar belakang firma guaman yang ingin anda melantik melantik bagi mengetahui kepakaran, pengalaman dan kemahiran dimiliki firma tersebut, peguam juga adalah seperti doktor pakar yang mempunyai kepakaran dan kemahiran tertentu dan terhad umpama doktor pakar mata sudah tentu tidak pakar berkenaan gigi ataupun perubatan am;

(c) berbincang dan dapatkan penjelasan yang jelas dan benar mengenai yuran guaman dan kos bagi cadangan kes berkenaan, jangan mempercayai apa yang dikatakan oleh orang tengah@runner kerana mereka tidak memberi gambaran jelas berkenaan hal berkenaan;

(d) berbincang dan dapat pandangan sama ada kes anda benar-benar kukuh dan mempunyai peluang yang cerah untuk dimenangi, ini penting untuk mengelakkan anda kerugian wang ringgit untuk membayar kos guaman tersebut;

(e) setelah anda berpuashati barulah anda menandatangani waran bertindak dan secara sah anda telah melantik firma guaman berkenaan sebagai peguamcara yang mewakili anda dalam kes tersebut. Insyallah kes anda akan berjalan lancar tanpa kacau ganggu, salah faham dan prejudis.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.