Bagaimana Membuktikan Kecuaian Defendan Dalam Kes Kemalangan

Lazimnya, undang-undang memestikan pihak Plaintif (penuntut) membuktikan kecuaian pihak Defendan (orang kena tuntut) dan Defendan tidak dapat menyangkalnya. Tetapi bagaimana cara untuk membuktikan kecuaian Defendan dalam suatu kes kemalangan jalanraya, sedangkan pihak Plaintif tidak dapat menunjukkan bagaimana kemalangan itu berlaku sehingga menyebabkan beliau tercedera?, ini satu persoalan yang rumit, tetapi undang-undang memerlukan jawapan dan penghuraiannya.


Di sinilah prinsip maksim "Res-Ipsa Loquitor" berperanan membantu mengelakkan kesukaran tersebut agar satu jawapan dapat berikan. Apakah definasi "Res-Ipsa Loquitor"? dalam istilah undang-undang, ia bermaksud bahawa hakikat berlakunya dengan sendiri adalah mencukupi (jika tiada keterangan daripada Defendan) untuk mewajarkan bahawa kemungkinan besar Defendan telah cuai dan kecuaiannya itu menjadi punca dan sebab kepada kecederaan Plaintif.


Secara ringkas dan mudah, ia mentaksirkan bahawa hakikat berlakunya kemalangan telah menimbulkan inferens kecuaian ke atas pihak Defendan. Dalam kes sivil yang dibawa akibat kemalangan, selalunya pihak Plaintif tidak sukar untuk membuktikan beliau telah mendapat cedera akibat kemalangan, tetapi amat sukar dan rumit untuk membuktikan kecuaian pihak Defendan dan menunjukkan bagaimana kemalangan itu berlaku sehingga Plaintif mendapatkan cedera akibat daripadanya.


Contohnya, dalam kes Scot lawan London & St. Katherince Docks (1865) 3 H & C, Plaintif ketika itu melalui gudang milik Defendan dan beliau telah dihempap oleh karung-karung gula yang sedang diangkat oleh kren Defendan. Di sini Plaintif cuma dapat membuktikan satu perkara bahawa karung-karung gula telah terjatuh ke atas beliau, tetapi dia tidak dapat menunjukkan bagaimana kemalangan itu terjadi. Mahkamah memutuskan fakta-fakta tersebut mencukupi untuk membuktikan kecuian Defendan. Maksim Res Ipsa Loquitor terpakai dalam situasi kes ini.


Justeru, adalah menjadi amalan biasa di Malaysia untuk memasukkan doktrin ini dalam pliding saman kes sivil akibat kemalangan. Namun begitu bukan semua kes yang bergantung kepada doktrin ini mesti diterima oleh Mahkamah kerana beban pembuktian sebenarnya terletak di bahu pihak Plaintif sepenuhnya, sedangkan pihak Defendan pula diberi peluang untuk menyemak pliding, dokumentasi dan keterangan seluas-luasnya. Plaintif dihalang dan disekat oleh undang-undang untuk mengemukakan fakta, keterangan dan dokumentasi secara mengejut dan serang hendap ke atas Defendan.


Oleh itu, Defendan berpeluang besar untuk menyingkirkan tuntutan Plaintif apabila beliau berjaya mewujudkan keraguan, ketidakpastian dan percanggah ke atas fakta, pliding, keterangan dan dokumentasi yang kemukakan oleh pihak Plaintif tersebut. Elemen utama yang penting dalam kes ini yang diperiksa adalah kenyataan dan fakta dalam laporan polis Plaintif. Justeru, saya menasihati apabila berlaku suatu kemalangan, buatlah laporan polis apabila anda berasa tenang dari segi fizikal dan mental.


Jangan membuat laporan polis anda secara tergesa-gesa dan terburu-buru atau didorong atau menurut permintaan atau arahan pihak ketiga yang berkepentingan kerana kesilapan kecil anda ini akan bakal mengundang kerugian yang banyak ke atas anda suatu hari nanti. Sebaik-baiknya gunakan sepenuh masa dan kesempatan yang diperuntukkan oleh undang-undang untuk berehat dan menghubungi pengamal undang-undang untuk mendapatkan nasihat sebelum anda melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.