Fahami Fungsi Lorong Kecemasan

Pada era moden ini banyak rangkaian lebuhraya dibina disebabkan beberapa faktor antaranya bagi tujuan keselesaan pengguna sama ada untuk penyuraian trafik, penjimatan masa dan juga aspek keselamatan pemandu.


Bagaimanapun mutakhir ini kecelakaan jalanraya tidak dapat dielakkan, saban hari statistik kemalangan menunjukkan peningkatan terutamanya melibatkan kemalangan maut dan kecederaan parah yang kelazimannya berlaku di lorong kecemasan dan mangsa adalah tertingginya adalah penunggang motorsikal.


Saya berpendapat keadaan ini dapat diatasi dan diubah seandainya pengguna lebuhraya terutamanya penunggang motorsikal diberi pendidikan dan pemahaman yang mencukupi dan betul mengenai fungsi kewujudan lorong kecemasan di lebuhraya dari sudut perundangan dan pelaksanaannya.


Hari ini adalah senario biasa apabila kita dapat melihat kebanyakan motorsikal dipandu di lorong kecemasan bukan di lorong memandu yang telah disediakan khas untuk memandu. Senario ini wujud atas pemahaman yang salah dalam pemikiran penunggang motorsikal berkenaan fungsi lorong kecemasan. Lebih separuh dari mereka berpendapat dan faham bahawa lorong kecemasan adalah lorong yang disediakan khas untuk motorsikal, ini adalah pemahaman yang salah dan perlu diperbetulkan.


Mengikut Kod Lebuhraya lorong kecemasan tidak boleh dimasuki oleh mana-mana kenderaan termasuklah motorsikal kecuali dan/atau jika berlaku suatu keadaan kecemasan seperti kerosakan injin atau lain-lain kompenan kenderaan atau suatu situasi kecemasan lain yang munasabah dan tidak boleh dielakkan yang memerlukan pemandu berhenti di lorong kecemasan itu.


Oleh demikian, peruntukkan undang-undang jelas menunjukkan bahawa mana-mana kenderaan termasuk motorsikal tidak boleh dipandu ataupun memasuki lorong kecemasan melainkan jika ia berada dalam situasi kecemasan yang sah mengikut standard undang-undang yang memerlukan ianya memasuki lorong tersebut.


Justeru itu, adalah anggapan kurang tepat dan tidak benar untuk mempersalahkan kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan apabila berlaku kecelakaan jalanraya, sedangkan dalam situasi dan keadaan ini undang-undang membenarkan mereka untuk berbuat demikian. Sebaliknya pihak yang melanggar kenderaan itu di lorong kecemasan adalah pihak yang cuai dan perlu bertanggungan terhadap kemalangan tersebut atas hujahan-hujahan berikut:-


1. Lorong kecemasan bukanlah lorong memandu, justeru itu mana-mana kenderaan mesti keluar dari lorong kecemasan;

2. Tidak boleh memasuki lorong kecemasan apatah lagi memandu di lorong kecemasan;

3. Lorong kecemasan dikhaskan hanya untuk kenderaan yang rosak, tidak boleh bergerak ataupun berhenti akibat situasi kecemasan yang tidak boleh dielakkan;

4. Pemandu mesti sentiasa pada bila-bila masa mengekalkan jarak pemanduan yang selamat;

5. Pemandu mesti sentiasa memberi perhatian kepada pemanduannya terutama kepada keadaan dan situasi yang wujud di hadapan beliau;

6. Kemalangan di lorong kecemasan adalah satu kes kemalangan langgar belakang, banyak nas-nas undang-undang yang tidak memihak kepada pemandu yang melanggar kenderaan lain dari arah belakang;

7. Kenderaan lain kecuali motorsikal adalah pengguna berbayar di lebuhraya yang mana pihak pengendali konsensi lebuhraya terikat kepada kontrak dengan pengguna berbayar tersebut terutama dalam aspek keselesaan dan keselamatan semasa pengguna berbayar sedang menggunakan perkhidmatan berbayar tersebut.


Tujuan artikel ini dikeluarkan adalah sebagai panduan mudah kepada penunggang motorsikal supaya mereka dapat seberapa boleh mengelak dari memandu di lorong kecemasan, kerana fungsi lorong kecemasan bukannya sebagai lorong motorsikal, tetapi adalah untuk perhentian sementara kepada kenderaan yang rosak, yang tidak bergerak ataupun yang sedang dalam situasi kecemasan yang memerlukan perhentian sementara.


Pada masa kini, terdapat kecenderungan nas undang-undang yang tidak memihak penunggang motorsikal ataupun mana-mana kenderaan yang melanggar kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan dari arah belakang, polisi ini semakin ketara apabila semakin banyak kemalangan melibatkan motorsikal di lorong kecemasan. Diharap dengan penulisan ini, penulis dapat memberi sumbangan dan bantuan kepada negara dan orang ramai bagi mengurangkan statistik kemalangan terutamanya yang melibatkan kemalangan di lorong kecemasan, insyaallah.

Comments

  1. Assalamualaikum WBT.

    Amat tertarik dengan artikel ini.
    Tapi saya ingin mendapatkan detail berhubung Kod Lebuhraya yang dimaksudkan. Bolehkah saudara membantu saya untuk mendapatkan samada secara download atau web yang tertentu?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.