Isu Multi-Representasi Makin Mengudis Dalam Sektor Perkhidmatan Amalan Guaman

Saya bersyukur kepada kehadrat Ilahi kerana memberi kesempatan dan mengurniakan saya sedikit ilmu pengetahuan dan kemahiran berbanding orang lain dalam bidang perundangan dan major saya adalah dalam kes tuntutan sivil akibat kemalangan jalanraya. Saya berharap dengan kelebihan ini saya dapat mencari rezeki yang halal bagi menampung kehidupan dan keperluan seharian, selain itu dapat pula beribadah kepada Allah S.W.T dan membantu masyarakat mengikut kemampuan dan kesesuaiannya. Apa yang penting saya harus menjalankan kewajipan fardu kifayah untuk memenuhi keperluan umat islam yang memerlukan alternatif dalam sektor perkhidmatan guaman yang selama ini dipelopori oleh golongan bukan islam.

Selama hampir 14 tahun terlibat dalam kes tuntutan sivil akibat kemalangan, saya berasa kecewa dan sedih dengan sikap, pemikiran dan tindakan sebahagian orang islam khusus orang melayu yang berurusan dengan firma tempat saya bertugas. Sikap dan tindakan mereka langsung tidak mengambarkan keperibadian dan kemuliaan agama islam apabila dengan mudah memungkiri janji, bersifat tamak haloba, tidak menghargai dan sering mengkhianati orang yang membantu mereka semasa mereka dalam kesusuhan.

Mengendalikan kes tuntutan akibat kemalangan sedikit berbeza berbanding mengendalikan kes sivil dan perundangan lain. kami memahami keperluan dan permasalahan yang dihadapi oleh mangsa kemalangan. Justeru, kami memberi kelapangan dan sedikit pengecualian kepada mereka dari segi pembayaran yuran guaman dan kos perbelanjaan mengendalikan kes tersebut. Berbanding kes lain, kami akan mengeluarkan dan menanggung semua perbelanjaan untuk mengendalikan kes ini termasuklah kos dokumentasi, kos pihak ketiga, kos pengangkutan dan telekomunikasi, kos urusan pejabat dan correspondence, kos pemfailan fee mahkamah bagi cause paper dan kos penyerahan dan penyampaian notis dan dokumen mahkamah. Kadangkala dalam sesetengah kes apabila mendapati mangsa mengalami masalah kewangan yang kronik kami terpaksa memikirkan cara bagaimana dapat membantu mangsa untuk menyelesaikan masalah bayaran kos perubatan, pembedahan dan alat bantuan, membaik pulih kenderaan dan sara hidup mereka.


Kami menetapkan polisi bahawa anakguam hanya perlu menjelaskan bayaran guaman dan kos mereka selepas mereka memperolehi wang pampasannya daripada syarikat insuran. Tetapi malangnya ada sebahagian anakguam kami dengan curang mengambil kesempatan atas kelonggaran dan budi baik kami untuk menipu kami sebaliknya apabila:-

1. Mereka bertindak sewenang-wenangnya menukar peguamcara tanpa melalui proses dan prosedur yang betul dan mengikut amalan perundangan sah sedangkan kes itu masih sedang berjalan. Apa yang malangnya mereka curang dan enggan membayar yuran dan kos yang telah kami alami dalam kes tersebut. Ini menyebabkan kami telah mengalami kerugian yang teruk dari segi kewangan, masa dan kos perbelanjaan yang dilaburkan;

2. Mereka bertindak curang dan lari dari menanggung dan membayar semula pinjaman yang diperolehi daripada pihak-pihak yang sudi membantu mereka ketika mereka mengalami masalah berkenaan bayaran bil perubatan, pembedahan, alat bantuan, membaik pulih kenderaan dan sara hidup. Ini menyebabkan pihak-pihak tersebut merujuk dan menuntut pihak kami bertanggungjawab atas pinjaman tersebut.


Kedua-dua perlakuan curang di atas berlaku hanya disebabkan mangsa adalah seorang individu yang tidak ikhlas, tidak jujur, bersifat tamak, berprasangka buruk dan bersifat khianat serta penting diri sendiri, malangnya sebahagian besar pelakunya adalah individu yang mengaku beragama islam dan berketurunan melayu. Jarang terdapat kes melibatkan individu bukan beragama islam dalam perlakuan ini, jika wujud yang segelintir kecil sahaja.

Sejujurnya tidak mudah mengendalikan kes sivil akibat kemalangan, ia menuntut pengorbanan yang tinggi dan pelaburan kewangan yang banyak tanpa hadnya. Ini kerana bermula seawal mangsa berada di hospital kami telah memberi perkhidmat kami dengan mengambil alih tanggungjawab mangsa ataupun warisnya untuk merujuk dan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berkaitan kemalangan tersebut.

Banyak masa dan perbelanjaan kewangan dikeluarkan di peringkat ini kerana membiaya kos berulang-alik ke Balai Polis, Pejabat JPJ semata-mata untuk menjalankan tanggungjawab dan memastikan fakta-fakta kes dapat kesan dan diperolehi bagi melindungi kepentingan anakguam. Kadangkala kakitangan kami terpaksa mengorbankan masa rehat, masa santai dan masa tidur mereka demi memenuhi tanggungjawab ini dan kami pula terpaksa membiayai semua perbelanjaan dalam peringkat ini.


Apabila semua fakta mencukupi dan lengkap, kami perlu memantau dan memastikan bahawa anakguam akan dan telah mendapat rawatan perubatan yang sewajarnya, jika mereka mengalami masalah kewangan untuk membiayai kos perubatan dan pembedahan, kami terpaksa berfikir untuk mengatasi masalah ini dan merujuk kepada mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan pinjaman kewangan dengan jaminan bahawa anakguam akan mengembalikan semula pinjaman tersebut. Dan apabila mereka sudah keluar dari hospital dan dibenarkan berehat di rumah, kadangkala mangsa yang terlibat adalah ketua keluarga yang menjadi nadi dan payung pendapatan keluarga, di sini sekali lagi kami bertindak serupa dengan merujuk mereka kepada pihak-pihak sudi membantu mereka.


Seterusnya apabila kami telah membayar kos dokumentasi berkaitan dan kami akan dibekalkan dengan dokumen tersebut, kami akan mula memfailkan saman sivil di Mahkamah dan akan mengendalikan kes tersebut sehingga ia selesai sepenuh. Dimana kami melabur 100% kewangan kami untuk membiayai kos pada peringkat ini. Justeru, adalah tidak adil dan patut kepada mana-mana anakguam untuk bertindak menyingkirkan kami sebagai peguamcara yang mengendalikan kes mereka tanpa memberi kami notis yang sah, tanpa mengikut prosedur dan amalan yang betul serta mengikut undang-undang, tanpa menjamin dan membayar semula semua kerugian dan perbelanjaan yang kami alami.


Dalam perundangan, hak anda sebagai pengguna dijamin sepenuhnya oleh undang-undang. Anda berhak menukar peguamcara anda, tetapi perlu mengikut amalan dan prosedur yang betul. Jika anda berniat untuk menukar peguamcara dan melantik peguamcara yang baru anda perlu mengikut prosedur yang betul seperti berikut:-

1. Menghantar Notis berkenaan niat anda untuk membatalkan peguamcara kepada firma peguamcara anda dan minta persetujuan mereka untuk menarik diri;

2. Memberi jaminan bertulis terhadap free dan kos yang dialami oleh peguamcara ataupun membayar semula semua fee, kos dan perbelanjaan setakat mana prosiding kes itu berjalan;

3. Selepas peguamcara anda bersetuju untuk menarik diri dan anda perlu membayar fee dan kos guaman mereka setakat mana prosiding itu berjalan, barulah anda dibolehkan melantik peguamcara yang baru;

4. Lantik peguamcara baru dan failkan Notis Penukaran Peguamcara di dalam Mahkamah bagi membolehkan peguamcara baru anda mengambil alih kes tersebut serta merta;

5. Setelah prosedur 1-4 dipenuhi dengan tertib dan jayanya, peguamcara terdahulu anda akan menghantar semua dokumentasi, correspondence dan cause paper berkaitan kepada peguamcara baru anda agar mereka dapat akses, maklumat, keterangan dan dokumen yang mencukupi supaya kes anda tidak tergendala dan tergantung di peringkat ini. Ini menjimatkan masa, perbelanjaan dan wang anda kerana peguamcara baru anda tidak perlu memulakan prosiding baru yang lain, sebaliknya hanya perlu mengambil setakat mana ianya telah berjalan;

Tetapi apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya, anakguam yang curang tadi telah bertindak secara senyap-senyap tanpa pengetahuan peguamcara mereka, telah bertindak melantik peguamcara baru. Kebiasaanya peguamcara mereka hanya dapat maklumat dan pengetahuan ada peguamcara lain dilantik dalam itu apabila ianya dimaklumkan oleh pihak ketiga sama ada oleh syarikat insuran ataupun peguamcara yang dilantik oleh insuran untuk mewakili mereka. Apabila hal ini dirujuk kepada anakguam yang curang tadi, mereka selalu menyalahkan pihak lain, kononnya dia terpaksa melantik peguamcara baru atas nasihat pihak tertentu seperti kawan, saudara dan lain-lain tanpa memberi alasan yang munasabah dan konkrit atas perlakuan dan tindakan tersebut. Apa yang lebih malang lagi mereka cuba tuang dan lari dari menanggung dan membayar yuran dan kos guaman yang telah dialami oleh peguamcara setakat mana prosiding itu berjalan. Sebenarnya dengan bertindak sedemikian mereka bertindak bodoh dan dengan sendirinya mewujudkan gangguan, kesukaran, kesusahan dan kesulitan dalam mencapai penyelesaian kes tersebut secara muktamad dengan syarikat insuran ataupun peguamcara pihak insuaran.

Bagaimana ini terjadi? peguamcara yang telah dicurangi itu sama sekali tidak akan menarik diri dalam kes tersebut dan mereka lebih rela mewujudkan gangguan terhadap perjalanan kes itu sehingga anakguam tadi menjelaskan yuran dan kos yang dialami mereka. Sementara itu, pihak insuran melalui peguamcara yang dilantiknya akan melindungi kepentingan insuran dalam hal ini, mereka akan menggantung urusan, prosiding, perbincangan berhubung tawaran penyelesaian sehingga keputusan berkenaan isu dual-representasi dan kos ini diselesaikan secara penuh dan muktamad kerana pihak insuran tidak berniat dan/atau ingin membayar pampasan secara berganda serta tidak sekali-kali berlaku cuai melepaskan bayaran pempasan tersebut kepada anakguam yang curang berkenaan tanpa anakguam tersebut menyelesaikan isu dual-representasi dan kos ini dengan peguamcara mereka yang terdahulu.










Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.