Kesedaran Kepenggunaan Perlu Diperkasakan Dalam Diri Anda

Ramai di antara kita tidak sedar dalam apa jua urusan seharian saya dan anda sebenarnya adalah pengguna, ini termasuklah ketika anda berurusan atau mendapatkan perkhidmatan guaman daripada pengamal undang-undang. Negara ini sebenarnya telah ada peraturan dan undang-undang yang ketat untuk mencegah dan membendung sebarang anasir dan aktiviti penipuan dan penganiayaan terhadap kepentingan pengguna.


Saya berpendapat kebolehcapaian informasi kepenggunaan oleh rakyat Malaysia berada pada tahap yang tidak membangga kerana kebanyakkan daripadanya tidak memiliki ilmu pengetahuan mengenai hak pengguna dan undang-undang berkaitan. Saya merasa muak dan tuli telinga setiap kali berjumpa orang ramai ketika memulakan urusan consultansi berkaitan tuntutan akibat kemalangan.


Minda dan kepala mereka dimomok dan diberatkan dengan stigma dan persepsi yang salah mengenai tugas, fungsi, tindakan dan amalan firma guaman. Tidak dinafikan sebahagian besar dari kalangan mereka pernah dan mempunyai pengalaman hitam ditipu oleh firma guaman semasa mereka mendapatkan perkhidmatan bagi mengendalikan kes tuntutan sivil berkaitan kemalangan. Penipuan yang amat popular didakwa berlaku ialah pengamal undang-undang mengenakan caj yang tinggi hampir berjumlah 50% daripada jumlah pampasan yang mereka terima, dan ada kes terpencil mereka hanya menerima bersih 40% daripada jumlah pampasan tersebut.


Dalam hal ini, saya ingin bersikap jujur dan tidak memihak, sebagai individu yang terlibat secara langsung dan juga sebagai ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), saya merasa amat jelek, mual dan meluat dengan perlakuan, penipuan dan penindasan oleh mana-mana firma guaman ketika mereka berurusan atau menjalankan perkhidmatan mereka ke atas anakguam mereka. Mereka tidak sepatutnya mengambil kesempatan atas kelemahan, kecetekan ilmu dan ketidakbolehan orang ramai yang bergantung sepenuh kepercayaan kepada mereka, tetapi sebaliknya mereka menjadi umpama parasit yang menghisap darah pelanggan mereka sendiri. Mereka sepatutnya menjaga kepentingan dan memperjuangkan kebajikan serta memikirkan kesusahan masa depan yang bakal dialami oleh pelanggan mereka kerana rata-rata mangsa kemalangan selalunya akan menghadapi kehilangan upaya kekal dengan pelbagai kesukaran.


Tetapi tahukah anda mengapa senario ini terus berlaku?sebenarnya senario ini berlaku disebabkan anda membenar dan merelakan ia terus berlaku, bergerak dan berjalan dari satu mangsa kepada mangsa yang lain, dari satu peringkat kepada peringkat yang lain. Mengapa anda membenarkan perkara ini terus terjadi?Ini kerana disebabkan anda lebih suka menerima berita dan khabar gembira yang datangnya daripada orang berkepentingan yang tidak sabar-sabar menunggu anda masuk dalam perangkap mereka, daripada menerima informasi yang benar, terperinci dan mengikut prosedur yang betul yang datang dari mereka terlatih, berilmu dan berkemahiran seperti peguam dan paralegal.


Anda lebih suka mendengar ceramah dan kata-kata manis longkai, runner, agent ataupun orang tengah yang mempunyai kepentingan terhadap kes anda, dalam anda tidak sedar sebenarnya kes anda telah dijual dan dilelong kepada mana-mana firma guaman buaya yang sanggup membayar nilai yang tinggi atas nilai diri anda, dan akhirnya anda sendiri yang terpaksa menanggung semua beban perbelanjaan ini termasuklah kos mengendalikan kes tersebut sehingga kos tersebut boleh mencapai nilai 50% daripada nilai pampasan yang anda patut terima.


Cuba anda renungkan, anda seorang mangsa kemalangan yang mengalami cedera patah tulang peha dengan kecacatan kekal sehingga menjejaskan masa depan serta pekerjaan anda. Perlu difikirkan beban kecacatan dan hilang upaya ini, akan anda alami setiap hari demi hari sampailah anda menutup mata anda. Diakhirnya kes anda ditawarkan pampasan 100k, tetapi apabila cek pampasan hendak diserahkan, anda dibil dan dicajkan untuk free perkhidmatan dan kos sebanyak 50k, apakah perasaan anda? adakah ini berbaloi untuk anda serta hari-hari yang mendatangkan?sedangkan semasa di awal pengendalian kes anda berurusan dengan longkai, runner, agent ataupun orang tengah dan anda diyakini bahawa anda akan menerima pampasan melebihi 100k dan free yang akan dicaj atas anda berjumlah sedikit sahaja tidak sampai nilainya melebihi 25% daripada jumlah pampasan anda.


Siapakah yang bersalah? sebenarnya andalah orang patut dipersalahkan dalam hal ini kerana awal-awal lagi semasa permulaan kes, anda telah membiarkan diri anda dirasuk oleh sikap dan perasaan tamak, anda membiarkan diri anda dimomokkan dengan janji-janji kosong yang mengkhayalkan, anda membiarkan diri anda dipersonakan dengan kemanisan kata-kata silongkai, runner, agent atau orang tengah tersebut. Apa yang paling utama dan lebih malang lagi anda membiarkan diri anda memasuki perangkap tersebut, sedangkan anda mempunyai pilihan dan alternatif lain, tetapi anda tidak berusaha untuk keluar dari kemelut tersebut.


Pengalaman saya, mangsa kemalangan tidak suka mendengar penerangan yang benar, terperinci dan mengikut prosedur yang sepatutnya. Mereka suka dan gembira mendengar jumlah pampasan bernilai RM ratusan ribu dan dikhabarkan pula akan menerima dalam tempoh masa yang amat singkat. Secara logiknya?cuba anda fikirkan jika perkara ini benar dan realiti, setiap bulan pasti ada syarikat insuran yang akan gulung tikar kerana mengalami kerugian akibat membayar pampasan yang tinggi secara membabi buta. Realitinya prosedur tuntutan pihak ketiga ini terpaksa melalui saringan, proses semakan dan kawalan yang ketat oleh syarikat insuran. Mereka hanya akan membayar pampasan dengan nilai yang munasabah serta mengikut standard yang dibenarkan oleh undang-undang setelah mereka berpuas hati dengan semua keterangan dan dokumen-dokumen yang dikemukakan.


Sebenarnya nilai pampasan anda ditentukan oleh fakta dalam laporan perubatan anda dan mestilah terikat dengan keputusan kes terdahulu di Mahkamah yang pernah memutuskan nilai pampasan untuk kecederaan yang serupa dengan apa yang anda alami. Bagaimana anda boleh membiarkan diri anda diperbodohkan, dimana anda membenarkan silongkai, runner, agent atau orang tengah bertindak, berkelakuan dan berlagak seperti seorang doktor, hakim dan juga eksekutif tuntutan syarikat insuran pada masa dan ketika itu.


Saya berpendapat, untuk mengelakkan situasi ini, perkara utama walaupun siapa anda, anda perlu banyak membaca dan cuba mencari ilmu dalam pelbagai bidang. Hanya dengan ilmu pengetahuan anda akan dapat mengelakkan diri dari terjebak menjadi mangsa penipuan. Disamping itu, hindarilah bersikap dan berlagak seolah-olah anda terlalu pandai dalam suatu perkara kerana orang yang bodoh sombong selalunya sedang untuk diumpam dan memasuki perangkap. Paling penting bersihkan niat dan hati anda, jauhi sifat dan sikap tamak dari membelenggu anda, kerana sikap ini kunci dan jalan kepada semua kerugian umpama cerita zaman kanak-kanak saya bagaimana anjing dengan bayang-bayang.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.