Perubahan Kandungan Artikel Dalam Blog Karlz_Kampau

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengunjung dan pembaca blog ini, tujuan utama mengapa blog ini dilancarkan adalah sebagai perkongsian maklumat, pengalaman dan sedikit ilmu pengetahuan berkenaan isu perundangan dalam kes tuntutan akibat kemalangan yang menjadi kepakaran firma guaman yang saya sertai sejak 14 tahun yang lepas. Artikel dalam blog ini cuba diolah dengan secara ringkas yang boleh, tidak terlalu teknikal dan menggunakan perkataan-perkataan biasa dengan harapan pembaca blog dapat memahami maksud penyampaian yang ingin disampaikan oleh penulis.


Namun, saya kini berhasrat untuk mengembangkan kegunaan blog ini kepada tujuan yang lebih luas dan mempunyai sasaran yang besar, tidak hanya membicarakan hal undang-undang, tetapi lebih kepada isu masyarakat, kepenggunaan dan juga kebudayaan. Aspek pertama yang akan saya sentuh adalah berkenaan kewujudan Masyarakat Kampar di Malaysia. Bertunjangkan kepada kesedaran dan perjuangan yang dimulakan oleh Mejar Jeneral (B) Dato' Amir Burhanuddin Guntur Kampar Putra, Presiden Persatuan Masyarakat Kampar Malaysia (IKMAL), saya ingin sama-sama berkongsi aspirasi bersama beliau dalam penulisan saya.


Saya tidak mahu ketinggalan dan terkebelakangan berbanding beliau, saya fikir sebagai orang muda saya perlu memberi bantuan yang termampu kepada usaha, wawasan dan gagasan yang telah beliau pelopori bagi membina dan seterusnya memperkasakan IKMAL. Apa yang penting IKMAL adalah sebuah persatuan yang bebas daripada unsur-unsur politik kepartian, matlamat dan objektif IKMAL adalah menjadi payung, wadah dan mekanisme kepada penyatuan Masyarakat Kampar di seluruh Malaysia. Tetapi tanpa sokongan anda, walau sehebat manapun gagasan, perancangan dan strategi yang akan dilancarkan, ia tidak akan mendatangkan hasil. IKMAL memerlukan hubungan dua hala dengan anda, anda perlu respon setiap perancangan yang bakal dilaksanakan oleh IKMAL.


Saya akan menggunakan medium blog yang saya miliki ini untuk mempromosikan hal-hal berkaitan IKMAL, menerbitkan artikel berkaitan kebudayaan, bahasa, adat dan cara hidup Masyarakat Kampar yang berasal dari pecahan 50 Koto di Kampar, Riau Indonesia. Besar harapan kami agar adat dan budaya masyarakat Kampar yang lebih sinonim dipanggil Kampau di Malaysia dapat berterusan dan diperkasakan.


Saya juga mengalu-galukan komen, pandangan dan teguran anda kerana saya berasa insaf bahawa sebagai manusia biasa, saya pasti tidak dapat lari dari melakukan kecuaian dan kesilapan. Namun saya akan memperbaikinya demi untuk kepuasan anda sekalian, terima kasih.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.