Individu Yang Disaman Trafik Juga Berhak Membawa Tuntutan Sivil (Insuran) Terhadap Pihak Ketiga

Dalam suatu kemalangan jalanraya, Pegawai Penyiasat Trafik akan menjalankan siasatan berdasarkan kepada laporan polis pengadu, rakaman percakapan, lawatan segera ke lokasi kejadian untuk mencatitkan butiran dan untuk menjumpai seberapa banyak bukti yang wujud di tempat kejadian. Justeru, adalah penting di sini untuk dihujahkan bahawa Pegawai Penyiasat Trafik (IO) bukanlah individu yang mempunyai remedi atau hak yang sah di sisi undang-undang untuk memutuskan pihak manakah yang bersalah dalam suatu kejadian kemalangan jalanraya. Perlu diingatkan bahawa Pegawai Penyiasat Trafik hanya pegawai kerajaan yang menjalankan siasatan terhadap aduan kemalangan tersebut, beliau bertugas untuk menyiasat dan mencari seberapa banyak bukti untuk dijadikan asas kepada pertuduhan terhadap Orang Kena Saman (OKS). Apabila siasatan beliau lengkap, beliau perlu merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pendakwaan sekiranya ada bukti dan asas yang mencukupi untuk tujuan tersebut. 

Bagaimanapun dalam sesetengah kes, Pegawai Penyiasat Trafik setelah selesai menyiasat suatu kes kemalangan, boleh mengeluarkan satu saman trafik di bawah mana-mana Kaedah Lalulintas ataupun Akta Pengangkutan Jalanraya 1987. Bagaimanapun saman trafik ini bukanlah satu keputusan muktamad yang tidak boleh dicabar, melainkan satu alternatif lain sebagai satu kaedah penyelesaian kes tersebut. Ini bermaksud orang disaman (OKS) mempunyai hak untuk mencabar saman trafik di mahkamah dengan melantik peguambela untuk melawan kes tersebut ataupun mengaku salah dengan membayar kompaun saman yang ditetapkan oleh kerajaan bagi suatu kesalahan jalanraya. Pihak yang berhak memutuskan siapakah yang bersalah ataupun sabit salah dalam suatu kemalangan adalah pihak Mahkamah melalui Majistret ataupun Hakim. 

 Apabila kita merujuk kepada kemalangan ini bermakna, pasti ada pihak yang mengalami kecederaan dan kerugian, kadangkala pihak mengalami kecederaan dan kerugian telah dipersalahkan oleh Pegawai Penyiasat Trafik atas beberapa sebab atau alasan yang remeh temeh tanpa bukti-bukti yang mencukupi. Selain itu tidak dinafikan wujud juga siasatan yang tidak adil, bias, prejudis, hanya berdasarkan persepsi dan kepada laporan pengadu semata-mata sehingga mangsa yang mengalami kecederaan parah dan kerugian yang banyak telah dipersalahkan atau disaman. 

Adalah menjadi prinsip undang-undang jika dirujuk kepada Seksyen  68 (3) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 yang menyebut "kegagalan di pihak mana-mana orang bagi mematuhi mana-mana peruntukan kod lebuhraya tidaklah dengan sendirinya menyebabkan orang itu berliabiliti ke atas apa-apa prosiding jenayah, tetapi dalam apa-apa prosiding, sama ada sivil atau jenayah, sesuatu kegagalan sedemikian boleh dijadikan asas oleh mana-mana pihak dalam prosiding itu sebagai membuktikan atau menafikan apa-apa liabiliti yang menjadi soal dalam prosiding-prosiding itu". Ini bermaksud pihak Mahkamah akan mengambilkira atau memberi perhatian kepada kegagalan mana-mana pihak untuk mematuhi kod lebuhraya dalam memutus isu liabiliti dalam suatu kes kemalangan. Secara mudahnya pihak yang dipersalahkan atau disaman oleh Pegawai Penyiasat Trafik lebih cenderung disabitkan bertanggungan dengan liabiliti dalam kemalangan tersebut, dan perlu diingatkan mana-mana yang bertanggungan terhadap liabiliti perlu bertanggungjawab membayar pampasan atas kecederaan dan kerugian kepada satu pihak lagi dan jika beliau yang membawa tindakan itu, tindakan itu akan ditolak oleh Mahkamah dengan kos terhadap satu pihak lagi.


Walaubagaimanapun adalah menjadi prinsip dan hak yang diiktiraf dalam Perlembagaan Malaysia dan undang-undang bahawa seseorang itu tidak akan bersalah selagi belum dibukti ataupun disabit dengan pertuduhan itu oleh pihak Mahkamah dengan kesalahan tersebut. Oleh demikian, mana-mana orang yang merasakan beliau telah dinafikan siasatan yang adil dalam suatu kemalangan jalanraya bolehlah mencabar keputusan Pegawai Penyiasat Trafik di Mahkamah dengan melantik peguambela untuk mencabar keputusan tersebut dan sekiranya beliau memenangi kes itu, beliau secara automatiknya mempunyai peluang yang amat baik untuk memenangi pula kes saman sivil (tuntutan insuran) terhadap satu pihak lagi kerana apa-apa keputusan dalam mana-mana prosiding sama ada jenayah ataupun sivil adalah berkaitan dan diambilkira dalam mana-mana prosiding yang selainnya. Ringkas mana-mana individu yang disaman dalam suatu kemalangan jalanraya oleh Pegawai Penyiasat Trafik, kemudiannya mencabar saman tersebut di Mahkamah dan beliau memenangi kes itu, maka beliau pasti akan memenangi pula kes sivil (tuntutan insuran) terhadap satu pihak lagi dalam kemalangan tersebut (pihak ketiga) kerana Mahkamah mengambilkira keputusan kes  saman trafik itu dalam memutuskan tuntutan sivil tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.