Apakah Sistem "WSS"

2 minggu lepas semasa menghadiri mesyuarat bersama rakan kongsi firma, dalam suasana yang begitu serius saya telah dimaklumkan, diberi arahan dan penegasan betapa sistem "WSS" telah mula aktif beroperasi di mahkamah rendah dalam lingkungan sekitar kawasan Wilayah Persekutuan dan Negeri Selangor dalam pengendalian perbicaraan kes "Runner Matters" (tuntutan insuran akibat kemalangan jalanraya). Bagaimanapun amalan biasa dalam sistem pengurusan mahkamah bahawa sistem ini pasti akan merebak dan diterima pakai sebagai presiden kes oleh mahkamah rendah di  negeri-negeri lain di semenanjung Malaysia. 

Hasil daripada penerapan sistem ini, peguamcara plaintif (penuntut) mahupun peguamcara defendan (penentang) pasti mengalami tekanan kerja hampir 100% dari paras biasa kerana melalui sistem ini suatu kes yang telah disenaraikan dan ditetapkan untuk perbicaraan mestilah lengkap dan sempurna dari segi pengumpulan fakta-fakta, keterangan-keterangan, dokumentasi dan mengenal pasti serta menguatkuasakan sepina ke atas saksi untuk memastikan setiap saksi hadir di mahkamah pada masa perbicaraan. Tetapi cabaran utama dalam sistem ini adalah keupayaan peguamcara untuk mengumpulkan semua fakta, keterangan dan bukti dalam tempoh masa yang terlalu singkat, sedangkan proses dan prosedur pengumpulan ini mestilah melalui  protokol secara bertahap dan berperingkat mengikut suatu jangka masa yang patut dan sesuai. Sebagai contoh plaintif hanya boleh dirujuk untuk pemeriksaan atau review dengan doktor pakar apabila dia telah menjalani tempoh pemulihan sekurang-kurangnya 9-12 bulan selepas beliau terlibat dalam kemalangan bagi mengesahkan kecederaan, kecacatan dan kehilangan upaya yang dialami oleh plaintif akibat kemalangan tersebut. Sebelum plaintif mencapai tahap dan jangka masa ini beliau tidak akan dirujuk kepada panel doktor pakar kerana beliau masih dalam tempoh pemulihan kecederaan akibat kemalangan, jika ia tetap dirujuk  ini akan memprejudiskan pihak defendan kerana sudah pasti tahap kecederaan, kesakitan & kecacatan plaintif berada pada tahap optimun dan sudah pasti dokumen ini tidak akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak peguamcara.

Justeru, akibat sistem baru ini suatu tarikh perbicaraan hanya akan dapat diambil sekiranya tahap pembangunan dan kematangan kes telah mencapai tahap kesempurnaan, dimana semua fakta, keterangan, bukti dan saksi telah disiapkan dengan sempurna. Tetapi apa yang menjadi halangan kepada niat dan objektif ini adalah sikap mangsa atau plaintif sendiri yang sentiasa mendesak dan membuat kacau ganggu secara rutin dan berkala sehingga menjejaskan tumpuan dan konsistensi peguamcara yang mengendalikan kes ini apabila berkali-kali menghubungi peguamcara mendesak supaya kes ini diselesaikan dengan secara, apa yang lebih mendukacitakan mereka kadangkala membuat perbandingan dengan kes orang lain tanpa akses penuh melainkan hanya mendengar keterangan cakap mulut semata-mata. 

Dalam sistem "WSS" ini mana-mana kes yang belum mencapai tahap kematangan dan kesempurnaan tersebut tetapi telah ditetapkan untuk perbicaraan akan diberi arahan tegas oleh pihak mahkamah sama ada untuk menarik balik saman kerana beberapa dokumen, fakta, keterangan dan saksi masih belum lengkap dan dalam proses pengumpulan ataupun plaintif bersetuju dengan tawaran pihak insuran (defendan) pada masa tersebut tanpa boleh berundingcara untuk meningkat tawaran itu kepada tahap yang lebih tinggi ataupun jika plaintif tidak bersetuju dengan tawaran itu dia mestilah bersedia untuk terus memasuki perbicaraan kes pada hari tersebut dalam keadaan kes yang tidak matang tanpa bukti yang kukuh dan tanpa kehadiran saksi penting dalam kes itu. Opsyen terakhir adalah satu opsyen yang penuh berisiko kerana selepas perbicaraan kedua-dua pihak kena menutup kes dan terus berhujah untuk pertimbangan mahkamah. Secara praktikal dan amalan perundangan pihak plaintif perlu membuktikan kesnya melebihi tahap prime facie dan beban pembuktian itu sentiasa ada dibebani, sekiranya dia gagal ini bermakna tuntutan ini pasti akan gagal dan ditolak oleh mahkamah, justeru opsyen yang terbaik adalah menerima tawaran penyelesaian pada tarikh tersebut daripada tidak dapat langsung pampasan lebih dapat walaupun bukan pada jumlah yang terlalu tinggi. Tetapi jika penuntut dapat lebih bersabar opsyen yang paling baik adalah menarik balik saman dan membiarkan peguamcara mengumpulkan fakta, bukti, keterangan dan saksi dengan sempurna dan kemudian memfailkan saman baru dan akhirnya mendapat tarikh bicara baru yang lain. Bagaimanapun opsyen tidak digemari oleh peguamcara plaintif kerana ia telah meningkat kos pengendalian kes kepada tahap 200% kerana terpaksa memfailkan 2 saman, melalui 2 prosedur dan membelanja wang secara 2 kali ganda.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.