ANDA BERPERANAN UTAMA, KITA MAMPU MELAKUKAN TRANSFORMASI INI

Apabila kita merujuk kepada suatu dimensi transformasi, agak janggal jika agendanya kita tidak mengemblengkan kepada kekuatan masyarakat sivil yang menjadi nadi dan tunjang kepada suatu sistem dalam negara ini. Dalam konteks isu gejala penipuan atau kecurangan dari segi pemotongan bayaran fee guaman dan kos tindakan yang dibuat secara curang, zalim, berganda dan melampau yang berleluasa pada hari ini oleh mana-mana firma guaman, kita sebenarnya ada jawapan dan penyelesaian untuk masalah ini tetapi gagal untuk diterjemahkan kepada bentuk tindakan yang lebih spesifik, jelas, teratur dan berkesan.


Suka ditegaskan sekiranya anda pembaca budiman sekalian terlibat dalam suatu kemalangan dan anda pula berhasrat untuk memulakan apa-apa prosiding sivil bagi mendapatkan remedi gantirugi sama ada bagi kerugian, kehilangan dan kerosakan harta benda, kecederaan dan kematian daripada syarikat insuran pihak ketiga, maka hak anda untuk melantik mana-mana peguamcara yang mungkin anda sukai adalah terjamin oleh undang-undang dan perlembagaan serta ianya tidak tergugat oleh sesiapapun termasuklah pegawai penyiasat trafik yang mengendalikan siasatan kes yang melibatkan diri anda. Ini kerana tugas-tugas hakiki pegawai penyiasat trafik adalah:-
  • menerima aduan berhubung suatu kemalangan jalanraya dari semua pihak terlibat dalam suatu kemalangan sama ada pihak ketiga, saksi ataupun mangsa kemalangan itu sendiri; 
  • pergi ke lokasi kejadian untuk mengumpul dan merekodkan data-data, maklumat dan bahan-bahan bukti yang mungkin ada di lokasi; 
  • membuka kertas siasatan;
  • merakamkan percakapan, keterangan dan maklumat pengadu mengenai kemalangan tersebut; 
  • menganalisa bahan-bahan bukti dan merekodkan data-data yang boleh membantu siasatan; 
  • melengkapkan siasatan berpandu data-data, maklumat, keterangan, bahan bukti dan peninggalan di suatu lokasi kemalangan;
  • mencadangkan pertuduhan dan memanjangkan kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan dan keputusan mengenai pendakwaan;
  • menghadiri perbicaraan di mahkamah sebagai saksi; 
Pegawai penyiasat trafik dicegahkan dan dihalang oleh undang-undang untuk terlibat dalam apa-apa bentuk perniagaan atau badan yang menjalankan suatu perkara yang berobjektifkan keuntungan kerana ianya boleh menimbulkan satu konflik kepentingan, tugasan dan bercanggah dengan profesionalisme kepolisan.

Sekiranya anda berjumpa ataupun berdepan dengan situasi dimana anda diberi tekanan, ugutan dan paksaan untuk melantik mana-mana peguamcara yang anda tidak sukai ketika anda berjumpa pegawai penyiasat sama ada dalam sesi rakaman percakapan atau sebaliknya, anda dicadangkan untuk merakamkan peristiwa itu secara bertulis, visual dan audio melalui rakaman telefon bimbit yang rata-rata pada masa kini mempunyai teknologi video HD. 

Ini kerana jika ditakdirkan di suatu masa nanti wang pampasan insuran anda diperdaya dan diselewengkan dengan secara melampau, zalim dan keterlaluan oleh firma guaman yang anda dipaksa melantiknya oleh pegawai penyiasat trafik, maka anda ada bahan bukti secara visual dan audio yang boleh dikemukakan kepada pihak berwajib. Ini kerana tanpa bukti yang kukuh dan konkrit apa-apa aduan adalah bersifat keterangan dengar cakap yang longgar dan tidak dapat diterima pakai untuk membuktikan suatu tuduhan rasuah ataupun penyelewangan sama ada oleh pegawai penyiasat mahupun peguamcara dalam suatu kes, maka keadaan ini akan terus berkekalan tanpa kesudahan dan kejadian-kejadian seumpama mimpi ngeri dan mitos yang tidak dapat dibuktikan secara nyata dan jelas.









Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.