Bagaimana Anda Boleh Berjaya Mendapatkan Pampasan Gantirugi Khas Secara Maksima

 
Kebanyakan orang yang saya temui semasa saya menjalankan tugasan saya setidak-tidaknya berfikir ataupun ada anggapan bahawa tuntutan insuran akibat kemalangan adalah satu tuntutan yang mudah, ringkas dan paling utama mesti dapat nilai pampasan yang amat tinggi tanpa perlu pemeriksaan ke atas dokumen, keterangan dan bukti yang nyata. Umpamanya bila mereka ingin pampasan maksima ke atas kos membaiki motorsikal, mereka berpendapat adalah cukup sekadar kemukakan bil atau resit membaiki motorsikal semata-mata. Sebenarnya pendapat ini adalah satu pendapat yang salah dan amat bertentangan dengan prinsip undang-undang dan prosedur tuntutan.

Perlu diingatkan bahawa satu-satu dokumen yang diterima atau dipersetujui dalam kes ini ialah bil dan resit perubatan itupun hanya yang dikeluarkan oleh hospital kerajaan. Saya masih ingat ketika saya bertugas sebagai paralegal di firma guaman yang menjadi panel utama syarikat insuran terkemuka di negara ini pada tahun 2004 - 2009, tugas hakiki dan utama saya adalah membantu rakan kongsi utama untuk melayani dan menangani saman sivil, pernyataan tuntutan dan segala dokumen termasuk bil yang dikemukakan oleh peguamcara plaintif (penuntut/mangsa kemalangan) dan kemudiannya memulakan prosiding menentang tuntutan tersebut.

Tugas utama dan objektif saya ketika itu adalah untuk membuat semakan, pemeriksaan dan penelitian ke atas segala fakta, informasi, dokumen dan  bukti yang dikemukan di hadapan saya, kemudian saya perlu mencari atau sekurang-kurang meneliti aspek kelemahan kes tersebut. Perlu diketahui ketika saya berfikir bahawa semua tuntutan yang dibawa oleh plaintif (mangsa kemalangan) adalah satu tuntutan yang tidak benar, proud, mungkin berlebihan dan bukti yang mungkin sengaja diada-adakan. Justeru itu kami akan highligt mana-mana fakta, maklumat, dokumen dan keterangan yang meragukan dan kemudiannya kami akan menasihati anakguam kami (syarikat insuran) untuk melantik inspektor penyelaras (adjuster) bagi menyiasat tuntutan dan mencari bukti yang mungkin boleh digunakan oleh pihak defendan untuk menentang kes sivil yang dibawa oleh plaintif tersebut. 

Dalam kebanyakan kes kami berjaya menafikan sekurang-kurang 30% dari jumlah pampasan gantirugi khas yang dikemukan oleh pihak plaintif kerana disebabkan faktor-faktor berikut:-
  • Bil dan resit proud (tidak wujud);
  • Bil dan resit yang di make up secara keterlaluan;
  • Bil dan resit yang tiada soft copy di premis pengeluar bil;
  • Bil dan resit yang tiada dokumen sokongan; 
  • Pengeluar atau pembuat bil gagal untuk hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan dan diperiksa balas berhubung bil yang dikeluarkannya.
 
Justeru sekiranya anda ingin berjaya ataupun sekurang-kurang memperolehi nilai pampasan yang maksima dalam skop ini, terlebih dahulu anda perlu mengetahui apakah gantirugi yang ada dalam skop ini. Gantirugi yang berada dalam skop ini adalah seperti berikut:-
  1. Bil dan resit rawatan perubatan;
  2. Bil dan resit belian barangan, sokongan dan perkhidmatan yang terbit daripada kemalangan contohnya  bil perbelanjaan pengangkutan, alatan sokongan, kelengkapan dan keperluan istimewa mangsa, makanan berkhasiat, 
  3. Kos penjagaan atau nursing care pra bicara; 
  4. Hilang pendapatan pra bicara;
  5. Kos membaiki kenderaan.
Daripada 5 item gantirugi khas di atas yang paling popular dan selalu ditolak adalah item ke 5 iaitu kos membaiki kenderaan. Lazimnya tuntutan ini selalu ditolak oleh sama ada pihak mahkamah, peguamcara defendan atau pegawai tuntutan insuran kerana disebabkan faktor-faktor berikut:-
  • Plaintif hanya mengemukakan semata-mata bil atau resit baiki kenderaan sahaja;
  • Plaintif tidak mengemukan dokumen yang lengkap seperti gagal mengemukakan salinan geran, polisi insuran, lesen memandu pemandu/penunggang, adjuster report, gambar kerosakan kenderaan dan bil serta resit bengkel yang benar-benar tulen;
  • Pihak pengeluar (bengkel) bil dan resit tidak mempunyai salinan atau soft copy di premis mereka; dan
  • Pihak pengeluar (bengkel) gagal  hadir di mahkamah pada tarikh-tarikh perbicaraan sehinggalah beliau habis memberi keterangan dan diperiksa berkenaan dokumen bil dan resit tersebut.
 
Perlu diingatkan bahawa dalam apa jua situasi pihak plaintif terpaksa memegang tanggungjawab untuk membebaskan atau melepaskan beban pembuktian yang dipikulnya ke atas segala dakwaan, fakta dan keterangan yang beliau kemukakan dalam tuntutan mereka, sedangkan pihak defendan cuma perlu mencabar dan mewujudkan elemen keraguan terhadap fakta, dokumen dan keterangan yang dikemukan oleh plaintif, manakala pihak mahkamah pula akan membuat keputusan berdasarkan kepada prinsip imbangan keberangkalian sahaja. Oleh itu jika anda ingin tuntutan anda berjaya maka anda perlulah memenuhi segala keperluan untuk membuktikan perbelanjaan itu adalah benar, disokong oleh bukti dokumentasi dan diperkukuhkan dengan kehadiran pembuat bil di mahkamah semasa perbicaraan untuk diperiksa balas. Tanpa kesemua elemen ini pasti tuntutan anda jika tidak ditolak sepenuhnya pasti akan berlaku pemotongan nilai pada skala yang besar. Tapi yang lebih penting dari itu ialah anda perlu sentiasa berhubung (keep in touch) dan mendapat nasihat yang tepat daripada peguamcara  anda berhubung kes anda.























Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.