Apakah Jawapan Kepada Masalah Dual Representasi

Beberapa minggu yang lalu, saya dihubungi melalui email oleh seorang pembaca. Disebabkan jadual kerja yang ketat saya akan menjawab persoalan itu di sini. Masalah pengadu berpunca daripada isu dual representasi 2 peguam. Masalah ini timbul lebih kurang seperti berikut:-

- Pengadu tidak puas hati atas perkhidmatan dan respon firma guaman A yang mula-mula dilantik oleh beliau melalui agen/runner A; 

- Pengadu mendakwa sering menghubungi pejabat peguam A untuk mendapat maklumat balas dan perkembangan kes, tapi malang tiada input yang memuaskan; 

- Beberapa lama kemudian beliau terjumpa agen/runner A secara tidak sengaja. Beliau mencerita masalah dan rungutannya terhadap perkhidmatann peguam A kepada agen/runner A;

- Agen/Runner A mendakwa beliau tidak lagi menjalankan urusniaga dengan peguam A kerana banyak terima aduan daripada pelanggan berkenaan caj-caj tersembunyi dan pemotongan fee yang melampau; 

- Agen/Runner A mencadangkan kepada pengadu supaya membatalkan peguam A dan melantik peguam baru B sebagai penyelesaian masalah pengadu;

- Beberapa lama kemudian pengadu telah dihubungi oleh peguamcara A yang memaklumkan maklumat terkini kes dan meminta beliau hadir perbicaraan di mahkamah. Sebagai respon daripada maklumat itu, pengadu memberitahu peguamcara A bahawa beliau telah menamatkan peguam A dan telah melantik peguam B untuk mewakili beliau;

- Oleh kerana prosedur, cara dan etika pembatalan itu tidak teratur dan tertib, peguamcara A memberi amaran akan menyaman pengadu kerana peguam A telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dan besar untuk kes tersebut;

- Pengadu merasa bimbang akan saman oleh peguam A untuk isu yuran dan kos. Tambahan pula dia juga terpaksa menanggung dan membayar yuran dan kos peguam B. Beliau percaya bahawa dia telah diperdayakan oleh agen/runner A tersebut. Beliau bertanya apakah boleh agen/runner A boleh disaman kerana memperdayakan beliau yang tidak arif tentang hal ehwal tuntutan kes kemalangan. 


Jawapannya


Isu dual representasi ini memang diakui semakin parah dan menjadi wabak dalam industri ini. Persoalannya kenapa gejala ini berleluasa?. Apa yang mendorong ia menjadi lebih ketara pada masa kini?. Berdasarkan kepada pengalaman penulis isu dual representasi ini berlaku disebabkan faktor-faktor berikut:-

1. Pelanggan tidak memahami prosedur, tatacara dan etika sebenarnya kes ini;

2. Pelanggan diselubungi oleh perasaan tamak dan tidak sabar;

3. Pelanggan disajikan dengan maklumat yang tidak tepat berkenaan prosedur, tatacara dan etika tuntutan oleh agen/runner semata-mata untuk kepentingan diri agen/runner yang ingin menang dalam persaingan dan perebutan pelanggan;

4. Pelanggan termakan dengan rayuan, pujukan dan rasuah wang pinjaman oleh agen/runner semata-mata untuk memastikan kemenangan dalam perebutan pelanggan;

5. Pelanggan ambil kesempatan atas kemudahan pinjaman ehsan yang diberikan oleh peguam. Apabila peguam tidak melayan permintaan pinjaman yang kerap, berulang dan membebankan, pelanggan jenis ini tidak berpuashati dan marah;

6. Lebih suka mendengar dan mempercayai maklumat yang boleh diragui dan dipertikaikan berbanding nasihat dan rundingcara berdasarkan kepada fakta dan analisa betul terutamanya berkenaan nilai pampasan;

Kebanyakan kes dual representasi berpunca daripada rasa tamak dan ingin pampasa tinggi secara keterlaluan dan tidak munasabah. Individu bersikap sebegini memang disukai oleh agen/runner yang suka mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan berganda. Individu jenis ini akan mudah melantik dan membatal peguamcara tanpa berfikir panjang asalkan dapat wang pinjaman yang banyak dan dijanjikan dengan pampasan yang tinggi. 

Apa yang patut anda tahu bahawa segelintir besar agen/runner menjalankan urusniaga perkhidmatan ini secara sambilan. Mereka ini dibayar upah yang tinggi untuk setiap kes yang dibawa masuk. Mereka tidak dibayar gaji secara tetap tetapi dibayar upah berdasarkan berapa banyak kes yang dibawa masuk. Sebab itu ada segelintir agen/runner yang begitu terdesak semata-mata untuk memenuhi desakan hidup sehingga sanggup menipu dan memperdaya orang ramai. Mereka ini akan tidak peduli kepada implikasi undang-unang yang berlaku ke atas orang ramai di kemudian hari

Apa yang penting mereka dapat bawa kes, jual dan menerima upah yang tinggi. Ada berlaku beberapa kes dimana agen/runner menjual kes yang sama kepada lebih dari 3 firma guaman. Akibatnya, pelanggan itu terpaksa membayar kos berganda sebanyak 3 kali kepada 3 firma guaman berbeza, sedang nilai pampasannya statik tidak lebih daripada nilai yang sepatutnya diawardkan oleh undang-undang.

Dalam keadaan ini pihak yang mendapat keuntangan berganda adalah agen/runner tersebut kerana beliau telah menerima bayaran upah yang tinggi  untuk kes yang sama daripada 3 firma guaman yang berbeza. Oleh kerana agen/runner ini bekerja secara sambilan atau tidak tetap, maka tindakan saman undang-undang walaupun boleh diambil tetapi agak sukar dilaksanakan kerana:-

1. Surat perlantikan peguam itu ditandatangani sendiri secara sukarela oleh pelanggan kecuali apabila dapat dibuktikan berlaku penipuan, ugutan dan pemaksaan dalam proses menandatangani surat perlantikan tersebut;

2. Agen/Runner berkhidmat secara sambilan dan tidak tetap dalam tempoh masa yang singkat;

3. Tiada maklumat diri agen/runner yang lengkap dan sempurna. Biasanya agen/runner tidak ada kad perniagaan sendiri, mereka menumpang kad peguam atau paralegal. Kemudian mereka tulis namanya secara ringkas dan nombor telefon menggunakan pen di atas kad perniagaan tersebut. Nombor telefon ini pun tidak kekal dan sering bertukar-tukar;

4. Tiada bukti dan perjanjian bertulis yang mengikat agen/runner dengan pelanggan. Bila berlaku sebarang masalah dan kemungkiran janji maka agen/runner boleh terlepas begitu sahaja.

Bagi mengatasi masalah ini berleluasa dan mengelakkan orang ramai menjadi mangsa. Bakal pelanggan perlu berhati-hati. Jangan bertindak tergesa-gesa. Dapatkan maklumat lengkap mengenai profil dan track rekod firma guaman ingin dilantik. Elakkan daripada melantik mana-mana firma guaman sekiranya:-

a) Anda tidak diberikan jaminan bertulis berkenaan pemotongan pampasan untuk bayaran yuran dan kos tindakan. Dapat maklumat lengkap dan penuh mengenai caj-caj yang dipotong daripada pampasan anda;

b) Anda dilobi dan didorong secara keterlaluan, berlebihan dan ada unsur paksaan untuk membuat perlantikan oleh pihak berkaitan temasuk agen/runner, pegawai penyiasat trafik, paramedik dan lain-lain; 

c) Anda masih trauma, keliru dan masih belum pulih daripada kecederaan dengan sepenuhnya; 
 
Seterusnya kembali kepada kes di atas peguamcara A memang berhak untuk menyaman pengadu kerana disebabkan faktor-faktor berikut:-

1. Pengadu membatalkan peguam A tanpa membayar sebarang upah, yuran dan kos; 

2. Pengadu tidak melaksanakan prosedur pembatalan secara betul dan tertib;

3. Peguam A telah giat melaksanakan kerja pengurusan, penyiasat, penyelidikan dan pengendalikan kes pengadu tanpa dibayar oleh pengadu;

4. Peguam A telah mengeluarkan wang dan perbelanjaan yang tinggi untuk melaksanakan siasatan, upah agen/runner, upah pekerja, kos dokumen, kos pengangkutan, pinjaman dan kos mahkamah; 

5. Pengadu tidak pernah membayar wang walaupun 1 sen kepada peguam A untuk apa-apa kos. Semua ini dibebankan atas bahu peguamcara;

6. Peguamcara menanggung risiko dan perbelanjaan penuh sekiranya kes tersebut ditolak ataupun tidak berjaya. 
 

Pembaca budiman, saya percaya anda semua benci atau setidak-tidaknya merasa sakit hati dan kecewa kalau ditipu dan dizalimi. Perasaan dan harapan ini dikongsi oleh semua orang tidak kira siapa jua diri anda sama ada anda peguam, hakim, polis, agen/runner dan/atau mangsa kemalangan. Justeru itu, kita seharusnya bertimbang rasa dan perlu meletakkan diri kita pada kedudukan atau kasut orang lain sekiranya kita ingin merasai atau memahami kesakitan orang lain.  

Contohnya anda seorang peguam, sebelum anda berniat hendak menipu pelanggan cuba anda bayangkan ketika itu anda bertukar tempat dengan pelanggan tersebut. Apa yang anda rasa bila wang pampasan anda dipotong separuh, sedangkan selama ini anda cuma tahu dan percaya bahawa sebanyak 20% ataupun 30% daripada wang pampasan anda akan dipotong untuk bayaran fee guaman dan kos tindakan sepertimana yang dijanjikan oleh agen/runner?. Saya sangat yakin, anda mesti kecewa, sedih dan marah kerana anda sebenarnya bergantung hidup atau menaruh harapan dengan wang itu kerana selepas kemalangan anda telah menjadi orang tidak berkeupayaan, tidak mampu bekerja, terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan. Semua ini memerlukan wang dan perbelanjaan yang tinggi, tetapi wang yang anda perolehi itu telah dicuri secara licik. Mesti anda marah, menyumpah dan memaki semua orang yang terlibat dan bersubahat sehingga anda terjebak menjadi mangsa,  sekiranya tidak boleh dinyatakan secara fizikal, cukup sekadar anda menyimpan rasa itu didalam hati. Percayalah perasaan itu jugalah dialami oleh semua mangsa penipuan dalam urusniaga ini. Kita jangan sampai hilang rasa kemanusian dan empati. Perasaan dan rasa inilah yang melayakkan kita dipanggil manusia.

Begitu juga hal sekiranya anda pegawai penyiasat, sebelum anda melobi dan memberi tekanan kepada mangsa kemalangan untuk melantik firma guaman yang anda ada kepentingan peribadi. Cuba bayangkan dan letakkan diri anda sebagai mangsa. Jangan disebabkan kepentingan diri dan sedikit imbuhan, anda sanggup membiarkan orang lain menjadi mangsa, menderita dan hilang tempat bergantung hidup. Sedangkan masyarakat menaruh harapan kepada diri anda untuk melindungi keselamatan dan kepentingan mereka. Bayangkan jika anda bertukar tempat, anda pula jadi mangsa, adakah anda menerimanya dengan ikhlas dan redha?tanya hati dan diri anda sendiri, anda boleh menipu orang lain tetapi tidak kepada hati dan diri anda sendiri.


Begitu juga tidak terkecuali, jika anda sebagai pelanggan, anda sepatutnya bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu ketika anda hilang arah dan dalam kesusahan tanpa anda perlu keluarkan wang perbelanjaan. Malahan sebaliknya anda pula mendapat kemudahan pinjaman ehsan daripada peguam untuk meneruskan kesinambungan hidup ketika anda terlantar sakit dan tidak bekerja. Jadi dimana perasaan syukur dan berterima kasih anda itu? bukan sahaja kepada nikmat yang Allah berikan kepada juga insan yang banyak membantu ketika dalam kesukaran. Firman Allah SWT

      "Bukanlah kebaikan bahwa kamu menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, tetapi yang sebenarnya kebaikan ialah yang beriman kepada Allah swt. dan Hari Kemudian dan malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan kepada-Nya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya; dan orang-orang yang mendirikan shalat dan membayar zakat; dan orang-orang yang menepati janji mereka bila mereka berjanji, dan mereka yang sabar dalam kesusahan  dan kesengsaraan, dan tabah dalam masa perang; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa". (Q.S. 2:178)

       "Sesungguhnya Allah swt. menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan dan memberi kepada kaum kerabat ; dan melarang dari perbuatan keji, dan hal yang tidak disenangi, dan memberontak. Dia memberi kamu nasihat supaya kamu mengambil pelajaran." (Q.S. 16:91)


Firma Allah SWT di atas menyeru kita kepada kebaikan, marilah kita memperbaiki amalan dan banyak melakukan perkara kebaikan. Setiap usaha dan pekerjaan kita yang ikhlas dan jujur adalah satu ibadah dan amalan kepada Allah SWT. Semua masalah dan kepincangan hidup berpunca daripada nafsu yang menyimpang dan tidak terkawal. Kita patut rasa insaf bahawa setiap daripada kita adalah kompenan penting dalam masyarakat yang saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Disebabkan itu kita mempunyai tanggungjawab dan kemahiran yang berbeza supaya kita dapat membantu dan saling melengkapi. Negara yang baik akan bermula daripada masyarakat madani yang baik. Masyarakat yang baik itu pula akan lahir daripada anggota keluarga yang baik. Seterusnya keluarga yang baik akan lahir daripada rezeki yang halal dan diberkati. Manakala ibu bapa yang baik akan melahirkan anak-anak yang baik. Kemudiannya anak-anak ini akan menjadi anggota masyarakat dan rakyat kepada negara.

Sekiranya kita tidak bantu mendidik masyarakat untuk menjadi rakyat yang empati, jujur dan  ikhlas. Masyarakat ini akan menjadi masyarakat kapitalisme yang hanya mementingkan material, keuntungan dan kepentingan diri semata-mata tanpa mempedulikan halal haram, hak, nasib dan kebajikan orang lain. Kita masih berpeluang untuk membaiki keadaan ini sekiranya kita ikhlas dan jujur untuk membina masyarakat yang adil dan madani. Insyallah perubahan akan bermula daripada kesedaran diri kita sendiri. Wassalam.


















Comments

  1. Apakah prosedur yg betul utk penukaran peguam? Adakah selepas melantik peguam B, pelanggan tetap harus membayar kos upah peguam A sehingga mencecah ratus ribu ringgit walaupun kes belum dibicarakan lagi?

    ReplyDelete
  2. Apakah prosedur yg betul utk penukaran peguam? Adakah selepas melantik peguam B, pelanggan tetap harus membayar kos upah peguam A sehingga mencecah ratus ribu ringgit walaupun kes belum dibicarakan lagi?

    ReplyDelete
  3. Prosedur terbaik beri notis yang mencukupi kepada peguam lama dan minta mereka menyediakan bil kos. Mengenai bayaran fee guaman dan kos tindakan setakat mana yang telah dilaksana dan dibelanja oleh peguam lama adalah wajib dibayar oleh pelanggan atau bekas pelanggan

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.