NEGARA KITA PERLU ADA LEBIH RAMAI ORANG BERBANDING SEORANG SHAHRIL


Negara kita tidak kekurangan orang yang baik dan mulia, tetapi ia tidak selalu menonjol kerana sikap dan pendirian kita yang mementingkan diri sendiri dan bersifat defensif. Buktinya apabila berlaku suatu kecelakaan jalanraya, lihatlah betapa ramai orang berpusu-pusu mengerumuni lokasi kejadian dengan pelbagai tujuan dan maksud tertentu. Ada yang datang sekadar memberi bantuan, ada yang melihat dan ada juga sekadar menjadi pemberita alam maya untuk menjadi orang yang pertama viral berita kemalangan itu. 

Tetapi anda mungkin lupa bahawa selain daripada perkara-perkara yang saya sebutkan tadi, pertolongan yang paling utama diperlukan oleh mangsa selain daripada bantuan perubatan ialah bantuan untuk menjadi saksi kejadian. Kita tanya kepada diri sendiri betapa banyaknya kejadian langgar lari atau kes kemalangan yang tidak mempunyai bukti kerana ketiadaan saksi yang tampil untuk memberi bantuan keterangan. Sedangkan dalam apa jua kes keterangan dan bukti sangat diutamakan. Kesannya pihak yang sepatutnya didakwa dan dipertanggungjawab bagi kejadian terlepas dan bebas begitu sahaja, sedangkan mangsa pula dizalimi kerana tidak dapat pembelaan dan meneruskan hidup dalam keadaan hilang upaya. Ini bukan hanya salah pelaku kecuaian tetapi peristiwa ini juga berpunca daripada sikap kita secara bersama dan berjemaah.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada ilthizam, komitmen, kesedaran dan bantuan yang diberikan oleh saudara Shahril kepada kami dalam pengendalian kes di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu semalam. Sikap beliau harus dipuji kerana jarang ada orang yang berada di lokasi dan melihat kejadian mahu tampil membantu dan menjadi saksi kepada kes tersebut. Pelbagai alasan diberikan untuk menafikan bantuannya dalam pembangunan, penyediaan dan siasatan kes. Alasan paling popular ialah tidak mahu melibatkan diri atau terseret dalam perbicaraan mahkamah sekiranya tampil menjadi saksi. 

Saya fikir masyarakat kita kena ubah mentaliti, kita mesti tanam satu sifat tanggungjawab dan kesedaran baru bahawa kita sentiasa ada tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Kita tidak seharusnya membeban dan mengharap pihak polis semata-mata untuk menyiasat dan membuktikan suatu perkara dalam suatu siasatan kes kemalangan jalanraya. Sudah sampai masanya kita ubah sikap kita, apabila kita melihat suatu kejadian sama ada kejadian kemalangan atau perlakuan jenayah, kita harus bertindak bersepadu dan tampil kepada pihak polis untuk menjadi saksi supaya pihak penyiasat ada maklumat, keterangan dan bukti yang konkrit dalam menegakkan siasatan dan keadilan sama ada dalam kes jenayah mahu sivil. Akan tetapi apakah kita bersedia?atau kita cuma sekadar meneruskan sikap yang cuma menjadi tidak lebih kepada sikepoh atau siheboh untuk menjadi popular di alam maya apabila kita hanya sekadar memuat naik berita atau gambar suatu kejadian tetapi tidak sanggup tampil secara formal sebagai saksi dalam membantu siasatan pihak berkuasa.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.