APA ITU LITIGASI FRAUD?

1. Mutakhir ini tuntutan palsu atau litigasi fraud berkaitan kes kemalangan jalanraya sudah kerap dikesan sama ada oleh pihak syarikat insuran, mahkamah, pegawai penyiasat dan  peguamcara sendiri. Kenapa ianya menjadi trendy?kerana ianya satu jalan mudah untuk mendapatkan wang pampasan yang banyak.
 
2. Definasi fraud merujuk kepada Kamus Undang-undang adalah nyataan palsu tentang sesuatu penyataan atau perlakuan yang dibuat dengan tujuan memperolehi kelebihan material. Justeru situ ecara mudah dan ringkasnya kes fraud ini  boleh dikatakan adalah satu tuntutan atau litigasi palsu atau bercanggah dengan undang-undang yang dibawa oleh litigan dengan tujuan untuk menipu pihak insuran bagi mendapat faedah material.
 
3. Objektif litigasi fraud dalam kes sivil accident adalah untuk mendapatkan pampasan gantirugi yang sebenarnya tidak sah dari segi undang-undang, tidak suci dari segi agama dan moral walaupun dibuat mengikut saluran undang-undang yang sah.
 
4. Siapakah litigan kes fraud? majoriti litigan kes fraud adalah mangsa kecelakaan jalanraya yang mengalami kecederaan parah atau kerugian dalam suatu kemalangan yang tidak melibatkan kecuaian pihak ketiga, tetapi adalah disebabkan kecuaian diri sendiri seperti terjatuh motorsikal, terlanggar haiwan, terlanggar tiang dan pembahagi jalan.
 
5. Bagaimana kes litigasi fraud diwujudkan? semasa mangsa kemalangan cuai sendiri ini berada di wad kecemasan, mereka akan didekati oleh agen atau tout, mereka diberi nasihat yang salah, dihasut, dipujuk dan diyakini untuk terlibat dalam satu pakatan bagi mewujudkan satu kes kemalangan jalanraya yang palsu.
 
6. Bila mangsa bersetuju, agen atau tout akan mencari rakan subahat dan mengarahkannya membuat laporan polis mengikut skrip yang direka. Kemudian apabila mangsa keluar hospital dia akan membuat laporan polis mengikut skrip yang reka oleh agen atau tort itu. Sementara itu Pegawai Penyiasat Trafik akan menjalankan siasatan seperti biasa dan di akhir siasatan dia akan mengeluarkan saman kecuaian kepada rakan subahat. Akhirnya kes kotor ini telah pun menjadi satu kes tort kecuaian jalanraya yang baik.
 
7. Kemudian kes ini dipanjangkan kepada peguamcara untuk dijadi kes litigasi di mahkamah untuk mendapat remedi gantirugi. Tetapi majoriti litigasi fraud dapat dikesan semasa proses perbicaraan atau pun mana peringkat penyiasatan oleh adjuster insuran. Saya masih ingat pada tahun 2009 akhbar tempatan melaporkan beberapa orang peguam, pegawai insuran, penyiasat trafik, agen dan taut telah ditahan untuk siasatan dalam operasi besar-besaran oleh SPRM bagi melumpuhkan sindikit penipuan dan pemalsuan tuntutan insuran ini. Ini menunjukkan aktiviti merancang dan menjayakan litigasi fraud ini wujud dan menjadi ancaman kepada masyarakat, undang-undang dan juga negara.
 
8. Kesan litigasi fraud kepada industri insuran. Tuntutan palsu ini telah menyebabkan kerugian dan kehilangan wang berbilion ringgit, gejala ini sekiranya tidak dikawal secara berkesan boleh mengakibatkan industri insuran menjadi lumpuh dan bankrap. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan ekonomi negara apabila banyak syarikat insuran tempatan gulung tikar kerana terpaksa menanggung pampasan palsu yang tinggi.
 
9. Kesan litigasi fraud kepada institusi guaman. Kewujudan litigasi fraund ini sangat menjejaskan reputasi pengamal undang-undang, selain itu pengamal undang-undang yang terlibat dalam perwakilan litigasi fraud ini akan mengalami kerugian yang sangat besar daripada segi masa, imej, reputasi dan wang ringgit. Apabila syarikat insuran dapat mengesan kewujudan litigasi fraud yang direpresentasi oleh mana-mana firma guaman, selepas itu mereka mark dan lebih berhati-hati kepada lain-lain litigasi yang direpresentasi oleh firma guaman tersebut.
 
10. Kesan litigasi fraud kepada indeks rasuah negara. Penambahan kewujudan litigasi fraud ini akan memberi kesan kepada indeks rasuah negara dan mewujudkan presepsi negatif kepada masyarakat awam. Sekurang-kurangnya komuniti awam akan beranggapan litigasi fraud tidak mungkin berjaya tanpa ada pakatan dan unsur-unsur rasuah dalam semua lingkungan pihak terlibat. Ini sudah tentu melibatkan senarai panjang seperti peguam, pegawai tuntutan, pegawai penyiasat trafik, agen dan taut.
 
11. Kesan litigasi fraud kepada masyarakat. Sepertimana telah dinyatakan di atas, kes ini adalah kes tuntutan palsu, dibuat melalui pakatan terancang, semua timbul daripada semua unsur penipuan dan pemalsuan. Apa jua hasil yang lahir daripada perbuatan memalsu dan menipu akan memberi kesan buruk sama seperti mencuri dan menzalimi hak orang lain. Mudahnya mana-mana agama dalam dunia ini melarang penganut mereka melakukan kezaliman, penipuan, mencuri dan menjarah hak orang lain, apatah lagi majoriti rakyat di negara ini beragama Islam, agama kita menitik beratkan rezeki yang bersih dan halal. Supaya umat kita akan sentiasa menjadi manusia yang hebat fizikal dan rohaninya. Litigasi fraud ini sama macam barah yang merosak hati dan jiwa masyarakat.
 
12. Kita selalu mengkritik dan menghukum pemimpin atau sesiapa saja sebagai pencuri, penjarah, perasuah, penipu dan pelbagai tuduhan hina dan keji yang lain. Tapi pada masa yang sama bila kita ada peluang untuk menipu, menjarah dan merompak hak insuran, kita lupa pula perbuatan itu adalah dosa, kita terus setuju berpakat untuk menipu, di mana harga diri dan iman kita? Adakah nilainya cukup setakat 10K-40K yang pampasan yang kita tipu itu? murahnya.....iman kita. Punca rezeki yang kotor dan tidak halal hanya akan menyebabkan hati gelisah, jiwa tidak tenteram dan iman pula semakin menipis. Insaflah.
 
13. Ramai orang tidak sedar, ketika kita diuji dengan kesakitan dan kecelakaan, itu sebenarnya wake up call daripada Allah SWT. Allah memberi kita sedikit ujian dengan kesusahan dan kesakitan kerana Dia amat mengasihi kita, ingin kita kembali kepada jalanNya. Tapi kita tidak melihat hikmah, masih terperangkap dengan kecemasan dan ketamakan dunia. Dunia hanya sementara, nikmatnya sangat sedikit berbanding akhirat. Banyak jalan untuk menuju ke syurga Allah, salah satu membuat amal kebajikan dan berakhlak mulia. Saya ingin melihat dan berdoa agar semua warga mampu menjadi insan terbaik kalau bukan untuk negara, cukuplah untuk diri sendiri dan masyarakat kita. Insyallah.

#karlzkampau #paralegal #tuntutankemalangan #samansivil #litigasikemalangan #kemalangan
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.