SAKSI PERBICARAAN KES TUNTUTAN AKIBAT KEMALANGAN

Alhamdulillah di pagi 3 syawal Aidil Fitri 1438 H yang mulia ini, tiba-tiba ilham datang menerjah ke dalam minda selepas subuh tadi ketika saya sedang menikmati segelas susu segar di satu desa pedalaman dalam daerah Lipis, Pahang. Ilham dan idea ini boleh hadir pada bila-bila masa dan ia boleh berlalu begitu sahaja pun pada bila-bila masa. Saya tidak mahu ia berlalu tanpa saya merakamkan catitan dalam pages ini.

Ramai orang biasa mendengar perkataan "saksi" tetapi tidak ramai yang tahu apa makna dan pengertian saksi itu. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, saksi membawa maksud: "Orang yang mengetahui atau melihat sesuatu peristiwa (dan boleh memberi keterangan)". Oleh itu saksi adalah seorang yang mengetahui sesuatu peristiwa dramatik melalui pancainderanya (contohnya melihat atau mendengar), dan dapat membantu mengesahkan sesuatu perkara yang berlaku dalam suatu kejadian. Saksi sering dipanggil memberi keterangan di mahkamah.

Saya ingin memusat atau menghadkan perbincangan ini cuma kepada perkara saksi dalam kes tuntutan akibat kemalangan. Apa tugas saksi dalam kes ini? tugas seseorang saksi dalam kes ini ialah hadir memberi keterangan di mahkamah sama ada untuk mengesahkan atau menyangkal kewujudan atau kesahihan sesuatu perkara/fakta/peristiwa/kejadian/dokumen/keterangan yang diketahuinya atau dialaminya sendiri melalui pacaindera sendiri tetapi bukan melalui pendengaran percakapan pihak ketiga atau orang lain, ia mesti melihat dan mendengar sendiri peristiwa dan kejadian itu.

Siapakah saksi biasa dalam kes ini?apabila kes ini tidak dapat diselesaikan dengan secara perdamaian atau perbincangan atau mediasi. Maka kedua-dua pihak akan memanggil dan meminta saksi-saksi mereka hadir ke mahkamah pada tarikh perbicaraan. Biasanya pihak plaintif akan memanggil io trafik yang menyiasat kes ini, plaintif sendiri selaku pengadu, saksi bebas sekiranya ada, doktor pakar, pakar nursing care, pakar alatan anggota palsu, majikan, adjuster dan bengkel membaiki kenderaan.

Sementara itu siapa pula saksi defendan?defendan sendiri selaku pengadu, io trafik, adjuster, panel doktor pakar yang mengeluarkan 2nd opinion bagi kes itu dan sesiapa sahaja yang difikirkan perlu oleh pihak insuran bagi menguatkan kes pembelaan untuk mengenepikan kes plaintif.

Kenapa saksi ini dipanggil?biasanya saksi kes ini disepina ke mahkamah kerana disebabkan mereka adalah pengadu, pembuat dokumen atau saksi yang melihat atau mendengar dan mesti berada di tempat kejadian ketika kejadian itu berlaku.

Bagaimana proses yang sah untuk memanggil saksi ke mahkamah?pihak-pihak yang memerlukan kehadiran saksi perlu MEMFAILKAN SEPINA di mahkamah dan WAJIB MENYERAHKAN secara KEDIRI kepada saksi sekurang-kurang dalam tempoh 14 hari dari tarikh perbicaraan itu berlangsung dengan diserta ELAUN KEHADIRAN yang DITETAPKAN oleh mahkamah sesuai dengan peruntukkan Kaedah-kaedah Mahkamah 2012. Seseorang saksi kecuali SAKSI PAKAR tidak boleh sewenang-wenangnya menetapkan jumlah bayaran elaun kehadiran, tetapi ia mesti mengikut skala elaun berdasarkan jarak jauh kediaman saksi dengan mahkamah.

Apa kesannya jika saksi enggan hadir setelah diserahkan sepina?saksi yang enggan hadir boleh diambil tindakan sesesuai, patut dan munasabah oleh mahkamah salah satunya ialah mendapat warat tangkap dan waran pengkomitan.

Apa prosiding bicara yang perlu dilalui oleh saksi semasa perbicaraan di mahkamah?semua saksi akan dipanggil masuk satu persatu ke dalam mahkamah dan berada di kandang saksi untuk memberi keterangan dan menjawab soal jawab oleh peguamcara dan juga hakim perbicaraan.

Bagi kes plaintif, saksi akan mula-mula soal jawab oleh peguamcara plaintif, selepas itu akan disoal jawab oleh peguamcara lawan/defendan dan akhirnya akan disoal jawab semula oleh peguamcara plaintif. Pada mana-mana peringkat hakim perbicaraan boleh mencelah dan bertanyakan apa-apa soalan untuk mendapatkan kepastian dan penegasan berhubung apa jua perkara yang dibangkitkan berkaitan kes itu. Begitu juga dengan kes defendan, saksi kena melalui proses yang sama dengan kes plaintif, mula-mula disoal jawab oleh peguamcara defendan, selepas itu peguamcara lawan/plaintif dan akhirnya kembali semula oleh peguamcara defendan.

Bagaimanakah pakaian saksi ke mahkamah?saksi perlu memakai pakaian stardard yang mengikut etika berpakaian di mahkamah. berpakaian kemas dengan memakai baju kameja, berseluar slack dan memakai kasut.

Peguamcara yang pakar, profesional dan komited kepada tugasannya akan berada seawal jam 7.50 pagi di mahkamah untuk berjumpa saksi, berbincang dengan mereka serta memberi sedikit tunjuk ajar dan tips. Ini penting sebagai persiapan dan persedian diri kepada saksi supaya saksi lebih bersedia dan tenang semasa prosiding bicara. Justeru itu nasihat saya datanglah seawal jam 7.45 pagi supaya anda ada masa yang cukup dan bersedia untuk mengharungi perbicaraan ini.

Comments

  1. Assalamualaikum encik. sy nak bertanya, adakah benar bahawa bayaran untuk sepina termasuk dalam kos tindakan yang telah dibenarkan oleh mahkamah?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.