BELIA, KERJA DAN PEKERJA ASING

Ramai orang berpandangan isu gaji minimum adalah suatu isu utama yang membelenggu diri belia kita pada masa kini. Sebenarnya ini adalah dapatan yang salah, kita ada rekod yang sangat jelas, majikan tiada masalah dari segi bayaran gaji, malahan kita sendiri seolah-olah bersetuju bahawa pekerja asing telah mengaut keuntungan gaji ribuan ringgit dengan hanya bekerja di ladang-ladang sawit atau getah di negara ini.

Persoalan besar yang membelenggu dan menghalang kekuatan, kemahiran, bakat dan keupayaan belia kita berkembang secara pesat dan mampan ialah masalah dalaman dan diri belia kita sendiri, bukan masalah luaran seperti mana yang dipercayai oleh sebahagian daripada kita.

Jujurnya belia kita sangat manja, tiada mandiri, tiada kekuatan mental, lemah dari segi dislplin, tiada kemahuan yang kuat untuk perubahan. Paling merbahaya mereka ada tabiat buruk dari segi pemikiran dan respon bahawa apa jua berlaku kepada diri serta persekitaran maka kerajaan sentiasa akan menjadi tempat mereka bergantung harap dan mencari jalan penyelesaian untuk permasalahan mereka. Tapi sampai bila?5 tahun, 10 tahun, 20 tahun atau pun 50 tahun lagi?.

Kita bangga dengan kenyataan dan fakta bahawa belia kita kebanyakkan berpendidikan tinggi. Apa guna pendidikan tinggi yang kita dakwa hebat, tetapi ia gagal memberi impak kepada ekonomi, kemajuan, masyarakat dan negara.

Lihatlah betapa lemahnya belia kita, mereka ini sentiasa berharap dengan usaha yang minima akan memberi respon kepada hasil keuntungan yang berlipat ganda. Teori ini cacat dan cela, sebenarnya usaha dan pekerjaan sikit pasti akan menghasilkan keuntungan yang minima dan terhad, tetapi usaha dan pekerjaan yang gigih, kuat dan dedikasi pasti akan menghasil keputusan yang lumayan dan cemerlang, ini hukum alam, ini hukum logik.

Sedarkah kita bahawa kerajaan telah mencuba, berikhtiar dan mencari penawar kepada persoalan dan masalah ini. Tetapi usaha ini belum menghasil kejayaan seperti mana yang kita harapkan Kita tidak lemah dari segi sumber dan kekuatan pemikiran, tetapi kita lemah kerana kita tegas dengan mind set yang silap, tanggapan yang serong bahawa kerja berat dan kasar itu hanya layak dikerja dan dijayakan oleh pekerja asing.

Masyarakat, kita, saya dan anda semua harus berubah pradigma dan mind set bermula dari hari ini demi untuk melihat perubahan bahawa apa jua pekerjaan itu sama ada kerja pejabat, kerja profesional, kemahiran, kerja berat dan kasar sebenarnya adalah satu kerjaya profesional.  Semua pekerjaan mesti dipandang mulia, diperlukan dan diberi penghormatan.

Akhirnya mind set belia perlu diubah, diberi nafas dan didikan baru, bahawa negara ini adalah tanggungjawab kita bersama, jatuh dan bangunnya negara ini bergantung kepada kita. Setiap orang seharusnya memberi sumbangan, tiada sesiapa pun yang terkecuali dan berpeluk tubuh, kita perlu rajin malahan gigih mencari ilmu baru walaupun dalam apa jua bidang supaya kita dapat dinilai sebagai seorang profesional, berwibawa, gigih, berdisplin dan mempunyai kemahuan yang tinggi seperti bangsa jepun dan korea.

Hasilnya produktiviti negara akan berkembang, maju, peluang pekerjaan terbuka luas, ekonomi bertambah mantap, kekuatan mata wang kita terpelihara kerana tiada lagi aliran tunai keluar dari negara ini secara melimpah ruah, majikan pula pasti tersenyum puas apabila mereka mengeluarkan kos gaji buruh yang tinggi tetapi hasil produktivitinya sangat maju dan cemerlang, ini kerana ilmu ekonomi tetap menitik berat hal ehwal costing dan produktiviti dbagi memacu kekuatan keuntungan.

Malangnya hari ini majikan kita terpaksa membayar gaji atau upah pekerja tempatan secara tidak seimbang kerana terpaksa membayar gaji yang mahal kepada pekerja tempatan berbanding pekerja asing yang murah, tetapi mutu dan hasil produktivitinya berbeza dan mengecewakan dari segi nisbah dan kualiti. Akibatnya majikan kita ini perlahan-lahan hilang selera dan minat untuk memajukan sektor pekerjaan belia di negara ini kerana mereka sudah lali dan kematu dengan pelbagai masalah disiplin dan kerenah yang membelenggu pekerja tempatan.

Beberapa tahun akan datang, dunia semakin pesat, teknologi bakal mengambil alih pelbagai fungsi pekerjaan manusia, maka peluang pekerjaan semakin mengecil dari segi sektor pengurusan dan pentadbiran, maka sampai bila kita harus berpeluk tubuh dan membiarkan diri tanpa melakukan sesuatu yang bermakna untuk diri kita sendiri, apatah lagi untuk masyarakat dan negara.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.