OBLIGASI DAN KEPERLUAN SURAT IKATAN PERJANJIAN


1. Sejak zaman lampau manusia menggunakan ikatan perjanjian sama ada ia dibuat secara lisan atau dalam bentuk dokumen rasmi seperti suratcara atau pun perjanjian bertulis.

2. Pada masa kini apabila manusia semakin maju dan berkembang maka keperluan untuk mengadakan suatu perjanjian rasmi bertulis semakin diperlukan, kerana seiring kemajuan tersebut manusia mempunyai hak dan perlindungan diri ke atas hak asasi, keselamatan, harta benda, wang, eset, pelaburan dan apa jua transaksi ekonomi.

3. Justeru itu tidak hairanlah pada hari ini dalam apa jua komunikasi perniagaan, interaksi sukan, jual-beli, penyewaan, pekerjaan, pelajaran dan perkhidmatan akan menggunakan ikatan perjanjian sama ada lisan atau pun secara perjanjian rasmi.  Mengadakan suratcara perjanjian rasmi sudah menjadi keperluan mustahak kepada manusia pada kini.

4. Malaysia menggunakan sistem perundangan inggeris common law seperti sistem torrens, Akta Kontrak 1950, Akta Perlaksanaan Spesifik bersama-sama beberapa Akta berkaitan dalam kebanyakkan surat ikatan perjanjian sama ada untuk transaksi jual beli hartanah, pelaburan, insuran, harta alih, pekerjaan, kontrak perkhidmatan, pinjaman atau pembiayaan kewangan dan sukan.

5. Bagaimana maju pun manusia hari ini, tetapi ada segelintirnya masih memandang remeh, tidak peduli atau serius terhadap kesan, obligasi dan kuatkuasa dalam mana-mana surat ikatan atau dokumen perjanjian rasmi.

6. Lebih malangnya ada pula sama sekali langsung tidak meminta atau bertanya untuk mengadakan suatu perjanjian rasmi bertulis apabila terlibat dalam suatu transaksi perkhidmatan seperti kontrak kerja, membina binaan atau ubah suai rumah, memberi pinjaman secara friendly, memberi pinjam harta benda, melatih atlet atau ahli sukan, memberi dan menerima perkhidmatan profesional seperti guaman, kesihatan, kejuruteraan dan sebagainya.

7. Mereka ini bergantung harap semata-mata pihak yang terlibat dalam transaksi dilaksanakan itu dapat menjalankan obligasi perjanjian lisan tersebut dengan ikhlas dan jujur. Akan tetapi ini tidak berlaku, selalunya akan menemui kegagalan, berlaku penipuan, penyelewengan dan kemungkiran, penindasan dan kezaliman.

8. Saya merasa sedih betapa banyak manusia dan organisasi telah mengalami kerugian, kepayahan, kesusuhan, menderita dan hilang kebebasan hidup kerana menjadi mangsa pihak yang mungkir kepada konsensus atau persetujuan lisan.

9. Beberapa kes yang dekat dengan saya, dialami oleh orang-orang sekeliling atau sekurang-kurangnya saya kenal. Terbaru sebuah kelab sukan amatur yang telah bersusah payah melatih dan mengilap seorang atlet, banyak komitmen dan wang telah dilabur untuk mengasah dan membawa ke depan bakat beliau. Tetapi apabila atlet itu telah menempah nama dan memenangi beberapa kejohanan amatur di peringkat dosmetik, ada kelab elit yang berminat telah mencuri dan mengambil atlet itu secara pintu belakang.

10. Saya fikir jika ada suatu kontrak rasmi secara bertulis di antara atlet dengan kelab telah dilaksanakan, situasi ini mungkin boleh dielakkan, sekurang-kurang kelab tersebut boleh menuntut gantirugi yang setimpal atas kehilangan bakat dan eset mereka tersebut dan kelab elit pula mendapat untung kerana mendapat atlet, bakat dan eset yang telah siap digilap.

11. Begitu juga jika ada seorang individu telah berjumpa seorang sahabatnya untuk memohon bantuan kewangan secara friendly, tanpa fikir panjang sahabat itu memberi pinjaman tersebut,  tetapi transaksi ini cuma diikat dengan konsensus lisan atas dasar sahabat dan percaya. Akhirnya peminjam tersebut culas, lari, enggan dan abai untuk membayar semula pinjaman itu. Akibatnya pemiutang itu menderita, rugi, payah dan dizalimi kerana penghutang menggunakan sistem undang-undang untuk menafikan pinjaman tersebut.

12. Kita semak juga halnya kepada seorang mangsa kemalangan jalanraya, dia telah mendapatkan suatu perkhidmatan guaman melalui agen atau orang tengah tanpa bertanya dan meminta ikatan perjanjian secara rasmi. Dia percaya bulat-bulat kepada konsensus, rundingan lisan bersama agen, tetapi tidak melibatkan firma guaman itu. Dimana di akhir kes, wang pampasan beliau ditipu dan dicuri dengan cara licik dan teratur.

13. Ada juga segelintir orang memasuki perjanjian atau ikatan janji secara rasmi, tetapi telah gopoh dan tergesa-gesa menurunkan tandatangan ke atas dokumen suratcara tanpa berfikir panjang, tanpa memahami terma dan syarat, tanpa mengkaji kesan perjanjian itu. Akhirnya dia juga menjadi mangsa dan menderita, contoh terbaru adalah kes peminjam yang masih berhutang kepada institusi kewangan telah memasuki perjanjian dengan syarikat pajakan kenderaan tanpa memahami terma, syarat dan kesan perjanjian itu. Akibatnya ansuran bulanan kenderaan sewa beli itu tidak berbayar dan mereka pula gagal mendapat manafaat dari kenderaan tersebut, sedangkan institusi kewangan pula  telah bersedia dengan proses perundangan untuk menuntut gantirugi atau hutang yang tidak berbayar itu.

14. Perlu difahami setiap pihak-pihak yang memasuki ikatan perjanjian rasmi mempunyai obligasi atau kewajipan undang-undang untuk patuh kepada semua terma, syarat dan kuatkuasa dalam dokumen tersebut. Bagaimanapun ia cuma terpakai kepada pihak yang sah dan layak untuk memasuki perjanjian rasmi itu.

15. Pihak yang layak dan sah memasuki perjanjian adalah seorang yang cukup umur, mengetahui, sedar dan tahu kesan perjanjian, ada milikan sah ke atas perkara, harta benda atau barangan yang menjadi subjek kepada perjanjian itu.

16. Seorang budak bawah umur,  seorang bangkrap, seorang yang tidak berkeupayaan, seorang penyewa dan bukan pemilik sah adalah dicegah untuk memasuki mana-mana perjanjian dan jika ia masih juga memasuki perjanjian itu, maka perjanjian adalah tidak sah.





Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.