SIAPA IDOLA YANG MEMPENGARUHI ANDA?

Sejak zaman berzaman, setiap insan ada idola dan sanjungan yang memberi kesan dan mempengaruhi hidupnya. Begitu juga dengan saya, sejak dari zaman kanak-kanak sampai umur dewasa ini begitu banyak idola yang muncul satu persatu dalam kehidupan saya.

Semasa di usia kanak-kanak idola saya adalah kalangan manusia yang rapat dalam kehidupan saya seperti ayahanda, bonda, bapa saudara, sepupu dan ahli keluarga yang terdekat.

Sampai umur dewasa saya masih dipengaruhi oleh karisma dan pemikiran mereka. Salah seorang yang begitu kuat mempengaruhi memori dan hidup saya ialah Allahyarham Samad Omar bin Maksum, beliau merupakan bapa saudara saya, mantan ketua kampung, pemimpin masyarakat dan setempat.

Wajah segak beliau, dengan susuk badan tegap, bermisai dan berkaca mata bingkai penuh warna hitam mirip Tun Abdul Razak, dalam suit baju melayu siap bersongkok sentiasa segar dalam minda saya. Walaupun saya tidak lama menikmati pengalaman dan hidup disamping arwah iaitu cuma di zaman kanak-kanak semasa bersekolah rendah.

Dari jendela hati dan kaca mata saya beliau seorang yang hebat, berkarisma, prihatin, toleransi, disukai kawan dan musuh serta sangat pengasih dan penyayang. Sangat kontras dengan ayahanda saya Hj Zainun yang mempunyai prinsip tegas dan garang. Terjadi beberapa insiden dalam hidup saya, arwahlah yang menjadi pembela dan memberi kasih sayang serta nasihat kepada saya.

Begitu kuat pengaruh beliau, sehingga saya menyimpan cita-cita dan hasrat untuk menjadi seperti beliau, tidak dapat 100%, cukuplah 50%, kalau itu tidak berjaya memadailah 25% dari karismanya. Alhamdulilah sedikit sebanyak saya sedang cuba untuk menjadi seperti beliau, tetapi dalam medium, instrumen dan cara-cara yang diperbaharui.

Kemudian di zaman remaja dan di usia muda, ada 2 orang tokoh yang menjadi idola saya. Mungkin bagi orang lain mereka ini tokoh biasa, tapi bagi saya mereka ini hebat. Kedua-dua tokoh ini adalah tokoh pemuda dan masyarkat di kampung saya. Tokoh pertama adalah Encik Rahmat bin Omar, ketika itu beliau adalah SU JKKK dan SU Kariah Surau Kg Ketoyong. Tokoh kedua adalah Allahyarham Zulkapli Katib Mantan Ketua Pemuda kg saya.

Mereka berdua banyak memberi tunjuk ajar, menyokong dan memberi galakan kepada saya ketika itu diamanahkan sebagai SU Persatuan Pemuda kg saya. Paling berharga En Rahmat Omar pernah menghadiahkan saya sebuah buku bertajuk "Pemimpin Kecil Masyarakat Setempat". Pada zaman itu adalah zaman gemilang Kelab Bolasepak Kg Ketoyong, zaman ini anak-anak muda begitu aktif dalam kegiatan masyarakat, bagi saya ini zaman emas kami yang menjadi nostalgia dan kebanggaan sehingga kini.

Dalam dunia pekerjaan dan kerjaya saya dipengaruhi oleh karisma, idealogi dan termatologi serta pendekatan oleh tokoh-tokoh seperti Peguam Tuan Kunasekaran, Peguam Tuan Farhan Abd Hamid, Peguam Tuan Tong-Veng Ky, Peguam Tuan Lim Bee Leong, Peguam Tuan David Ivan Churme. Mereka ini adalah guru dan master saya, segala ilmu dalam perundangan adalah hasil didikan, asuhan dan tunjur ajar dari mereka.

Sampai sekarang saya masih ingat galakan dan dorongan pertama yang keluar dari mulut Tuan Kunasekaran, beliau berjanji " saya akan ajar, didik dan pastikan you jadi setaraf, sehebat dan setanding dengan peguam walaupun you tidak belajar law secara formal, asalkan you rajin dan ikhlas belajar". Galakan ini dibuat pada hari pertama saya bertugas sebagai pembantu beliau pada Oktober 1997.

Semenjak hari itu sehingga kini, saya masih terus belajar dan berkhidmat dengan beliau. Dia menjadikan diri saya apa yang anda lihat pada hari ini. Saya sangat bertuah kerana pernah bertugas dan berkhidmat bersama peguam-peguam yang hebat dan handal dalam bidang masing-masing.

Tanpa dedikasi, kesabaran, kesediaan dan keikhlasan mereka ini sudah tentu saya tidak akan ke mana-mana, mungkin saya tetap menjadi siapa saya pada awal tahun 1997 itu. Siapa pula tokoh dalam hidup anda?

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.