KENAPA ANDA PERLU PEGUAM YANG TEPAT

Dalam penulisan sebelum ini saya telah membincangkan secara ringkas mengenai kepelbagaian kepakaran dalam amalan guaman. Saya memberi opinion supaya anda melantik peguam yang berpengalaman dan pakar dalam bidang yang anda perlukan mengikut kesesuaian dan keselesaan anda. 

Ketepatan dalam menangani isu ini sangat mustahak. Justeru jika anda bercadang melantik peguam, sila amalkanlah sikap berhati-hati, buatlah sedikit kajian dan capailah segala maklumat berkenaan subjek firma guaman tersebut. 

Kesan kesilapan dalam melantik peguam yang tepat dan berpengalaman itu sangat mendalam. Bagi kes accident matters, kesilapan dalam melantik peguam yang tidak tepat akan menyebabkan kes anda berjalan sangat perlahan, mungkin berjalan secara merangkak kerana berlaku banyak kesilapan dalam tatacara, susun atur, prosiding dan kelemahan rundingan dengan pihak-pihak yang berkaitan. Paling bahaya ialah apabila kes anda tidak ditangani secara tertib dan tepat, akhirnya ini akan memberi kesan buruk kepada anda. 

Saya rujuk kepada pengalaman buruk sahabat saya sendiri, cukup sekadar saya merujuk dia sebagai M. Sahabat M ini telah mengalami kecelakaan jalanraya semasa dalam perjalanan pulang dari kerja. Dalam kemalangan itu beliau berlanggar dengan motorsikal simati, akibat kemalangan ini dia mendapat cedera parah. 

Selepas hampir 2 bulan selepas kejadian itu, saya terjumpa M secara tidak sengaja di hospital ketika saya sedang melawat dan mendapatkan arahan klien saya. Saya memberi sedikit pandangan dan nasihat berhubung kes itu.

Selepas  M discaj dari hospital, beliau memanggil saya ke rumahnya untuk berunding dan mendapatkan nasihat lanjutan. Akhirnya beliau setuju melantik firma tempat bertugas sebagai peguamcara dalam kes itu. 

Lanjutan itu saya menyiasat lokasi kejadian, fakta material, kesan peninggalan serta kerosakan kenderaan terlibat. Kemudian saya memerlukan masa lebih seminggu untuk mengkaji semua eleman termasuklah bukti, fakta, keterangan dan isu undang-undang yang relavan sebelum saya dapat menyediakan satu draf laporan polis untuk beliau. 

Selepas M membuat laporan polis, di akhir siasatan pihak polis dan TPR bersetuju untuk mendakwa M di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 kerana kemalangan ini melibatkan korban nyawa. 

Selepas mempertimbangkan fakta dan alasan pendakwaan saya mencadangkan M untuk lawan kes ini kerana sabitan dalam kes trafik ini akan menjejaskan tuntutan beliau dalam kes sivil. 

Bagaimanapun beliau telah melantik seorang peguam yang juga merupakan saudaranya sebagai peguambela dalam kes trafik itu. Walaupun saya menawarkan khidmat kami kepada beliau kerana ragu dan bimbang kerana sedikit kesilapan akan menjejaskan keseluruhan kes sivil yang kami kendalikan.

Akhirnya selepas proses perbicaraan, pihak TPR  menawarkan dan menurunkan tuduhan kepada Sek 43 (1) 1987 kerana kekurangan bukti. Malangnya peguambela yang dilantik oleh M ini tidak berniat melawan kes ini sampai M dibebaskan, tetapi berniat cuma sekadar melepasi hukuman penjara dan bayar denda.

Kerana itu dia menakut-takutkan M dengan hukuman penjara dan memberi nasihat serta pilihan untuk menerima opsyen mengaku salah dan menerima tawaran pihak TPR. Tiada langsung harapan diberi kepada M sebaliknya dia diberi gambaran dan ketakutan. Semasa sebutan akhir kes trafik itu M memutuskan menerima tawaran pihak TPR dan mengaku salah di bawah Sek 43(1) APJ 1987. 

Keputusan M mengaku salah telah menjejaskan dan merosakkan semua keadaan dalam kes sivil yang kami kendalikan. Daripada margin peluang 70% untuk menang kes akhirnya terus berubah secara drastik kepada 0%. 

Bagaimanapun kami tidak berputus asa, kami melihat ke hadapan, berusaha mencari sinar dan mencari strategi terbaik supaya klien tidak pulang tangan kosong. Akhirnya selepas beberapa kali hadir prosiding bicara, kami berjaya mendapatkan satu tawaran penyelesaian untuk M. Sesuatu yang mustahil dan ini mungkin rezeki beliau kerana dia telah mengaku salah dan membayar denda.

Nasihat saya jangan tiru kesilapan M itu. Kesilapan itu  memberi kesan mendalam kepada kes trafik dan kes sivil yang beliau hadapi. Saya yakin dan percaya jika seorang peguambela yang tepat dan berpengalaman telah dilantik untuk mendepani kes ini, saya percaya M boleh memenangi kedua kes trafik dan kes sivil itu. 

Kesan daripada kesilapan itu, beliau terpaksa membayar dengan harga yang mahal iaitu membayar kos pembelaan semata-mata untuk mengaku salah serta membayar denda. Selain itu M telah rugi besar dalam kes sivil sekurang-kurangnya sebanyak RM400K kerana mengaku salah.

Tetapi beliau patut bersyukur dalam keadaan 0% kami tetap berusaha untuk berjuang dengan gigih tanpa putus asa, akhirnya setidak-tidaknya beliau tidak pulang dengan tangan kosong, tetapi tetap membawa bersama wang pampasannya.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.