Apabila Kezaliman Semakin Berleluasa, Adakah Kita Mempunyai Pilihan Yang Secukupnya?

Agak lama saya tidak menulis apa-apa catitan dalam blog ini, bukan merajuk atau tidak berminat untuk menulis tetapi ada kekangan kerja dan jadual tugasan yang padat. Saya kembali terpanggil untuk menulis atau sekurang-kurang ada minat yang kuat untuk menulis apabila menerima kiriman e-mail dari pembaca blog ini, beliau memaklumkan permasalahan beliau seperti berikut:- 

"salam ,

saya ada satu petanyaan .sy telah melantik satu syarikat guaman bagi menguruskan kes kemalangan bagi isteri saya

dan pihak insurans telah bersetuju untuk mebuat bayaran pampasan sebanyak 80000 ,kes settle tanpa perbicaraan .

masalahnya sy kurang bersetuju dengan kos yg dikena kn pihak guaman iaitu sebanyak 42500

detail kos yg dikenakan ada seperti berikut :

settlement :rm 80000
fees             :rm16000
6% tax         :rm 960


1:Traveling expenses,miscellaneous
(POSTAGE,FAXES,TELEPHONE CALL ETC:RM 5500
2:LOAN                                                     :12500(SAYA CUMA AMBIL 11000 LEBIH SHJA  )
3:SPECIALIST REPORT                              :550
4:SUBPOENA I.O                                      :2800
5:ADJUSTER REPORT                               :4225
TOTAL TO PAY                                         
   42500

adakah bayaran ini setimpal dengan khidmat peguam tersebut ?
adjuster report dibayar oleh siapa?" 

Perasaan saya tersentuh dan begitu sedih dengan apa yang terpaksa beliau alami. Sebenarnya apa yang dialami dan dilalui oleh beliau dikongsi dan lalui sama oleh kebanyakan orang di luar sana, terutamanya bagi individu yang pertama kali terlibat dalam kemalangan dan juga individu yang kurang bermaklumat. Tetapi sebelum mencari jalan penyelesaian dan jawapan kepada permasalahan ini,saya suka menyelusuri dan mencari titik mula kepada isu penipuan ini. 

Kenapa Permasalahan Ini Berterusan 

Faktor penyebab yang menjadi penyumbang kepada permasalahan ini adalah kerosakan sistem, rasuah dan ketirisan dalam kehidupan bermasyarakat pada hari ini. Setiap di antara kita sebenarnya gagal memahami tanggungjawab sosial dalam masyarakat yang sememangnya wujud sebagai bebanan ke atas diri kita semua. Allah SWT berfirman:

  "Bertolong-tolonglah kamu berbuat kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolong membuat dosa dan aniaya.." (Q.S Al-Maidah:2) 

Realiti yang wujud pada hari ini masyarakat kita dikelilingi oleh sifat individualistik dan materialistik yang melampau, mungkin faktor persaingan mencari kekayaan, peluang dan kebendaan yang melampau menyebabkan masyarakat hari ini langsung tidak memberi perhatian kepada firman Allah SWT di atas, sebaliknya lebih mementingkan diri sendiri. Dimana secara realitinya individu yang terlibat dalam perkhidmatan ini seperti peguam, agen, runner, pegawai insuran dan  polis trafik yang terlibat memang menyedari malah mungkin amat sedar dengan kezaliman, kebusukan dan penganiayaan ke atas mangsa kemalangan yang amat-amat memerlukan bantuan dan pertolongan. Mereka tidak memandangkan mangsa ini sebagai satu pihak yang amat-amat memerlukan bantuan, pertolongan dan pembelaan, sebaliknya berpandangan mangsa ini adalah mangsa, punca dan lubuk emas untuk membuat duit dan menambah kekayaan. Akhirnya pihak-pihak yang terlibat ini tanpa mengira apa jua jantina, kaum dan agama telah terjebak secara sedar dalam konpirasi terancang untuk menipu mangsa kemalangan yang ingin membuat tuntutan insuran tanpa memikirkan soal hukum halal dan haram, baik dan aniaya, kebaikan dan kezaliman. Ingatlah firman Allah SWT berikut:- 

  "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta orang lain dengan jalan yang batil.." (Q.S An-Nisa': 29) 

Dan juga firman Allah SWT 
  "Sesungguhnya Allah itu baik. Tiada menerima kecuali yang baik. Dan Allah memerintahkan kepada orang-orang mukmin dengan sesuatu yang Dia perintahkan kepada para rasul." " Hai sekalian rasul makanlah yang baik-baik dan kerjakanlah amalan soleh.."
(Q.S Al-Baqarah: 172)


Justeru saya percaya masalah ini boleh dicegahkan seandainya setiap dari kita mempunyai kesedaran dan hati yang bersih dan ikhlas untuk memerangi gejala kezaliman ini. Janganlah ada segelintir di antara hanya bertindak jika melibatkan diri mereka sendiri dan saudara mara mereka,tetapi membiarkan gejala zalim berlaku jika tertimpa kepada orang lain. Setiap di antara mesti sedar dan beramal bersungguh-sungguh dengan ayat 2 Surah Al-Maidah di atas dengan hati ikhlas disamping tawakal kepada Allah SWT. 

Bagaimana Masalah & Gejala Ini Berlaku

Penipuan, penganiayaan dan pemanipulasi kos dalam pengendalian kes  tuntutan insuran ini memang berlaku secara leluasa pada masa kini, tetapi malangnya pelaku dan pengamalnya adalah terdiri dari segelintir pengamal undang-undang, agen dan runner firma guaman. Mereka-mereka ini adalah orang atau individu yang sepatutnya menjadi pembela dan penegak keadilan kepada masyarakat sivil sekalian, tetapi sebaliknya mereka menjadi yang orang paling pandai dan licik mengambil kesempatan untuk menipu, memanipulasi, menindas dan menzalimi mangsa yang menerima wang pampasan dari syarikat insuran. 

Pada zaman peguam RK Nathan, Manjit Singh dan Jagjit Singh lewat tahun 80-an amat jarang kedengaran mangsa kemalangan yang menerima wang pampasan insuran ditipu, dianiaya dan dimanipulasikan oleh peguam yang mengendalikan kes mereka. Ini kerana pada masa itu pengamal undang-undang amat menghormati harga diri, etika, kedudukan dan kehormatan mereka sebagai peguam berbanding pengamal undang-undang pada hari ini semakin berlambak-lambak di pasaran, sedangkan peluang dan projek amatlah terhad. Diburukkan lagi sikap materialistik masyarakat yang kuat pada hari ini menjadi punca dan tekanan kepada segelintir pengamal undang-undang dan juga peniaga untuk mencari alternatif dalam persaingan dan perebutan peluang dan projek bagi kelangsungan hidup bergaya mereka. 

Akhirnya mereka yang lemah iman dan mempunyai sifat kemanusian yang rendah melihat gejala rasuah sebagai cara yang ampuh dan terbaik untuk mendapatkan projek dan peluang. Maka di sini bermulanya peniaga (orang yang mempunyai wang tetapi tiada kelayakan undang-undang) menyalurkan sumber kewangannya untuk menubuhkan satu firma guaman secara perkongsian dengan segelintir pengamal undang-undang yang bercita-cita untuk menjadi kaya secara mudah, dimana pengurusan, pentadbiran dan kewangan dikawal oleh peniaga yang lebih dikenali sebagai agen atau runner, sedangkan rakan kongsi pengamal undang-undang itu hanya terlibat dalam hal pengendalian kes di mahkamah semata-mata. 

Dalam situasi ini disebabkan agen dan runner tidak memahami etika profesional guaman, maka mereka sebagai rakan utama telah bertindak menguruskan operasi firma mereka secara ala-ala bengkel tuntutan insuran. Bagi mendapatkan projek mereka sanggup mengupah agen, wakil, ulat-ulat untuk mencari pelanggan terutama mangsa kemalangan yang ingin membuat tuntutan insuran. Sementara itu, agen, wakil dan ulat-ulat ini ditempatkan di hospital-hospital dan balai-balai trafik,dimana kedua-dua lokasi ini amat signifikan dengan mangsa kemalangan. Malangnya, pekerja-pekerja ini tidak diberi ilmu dan kefahaman yang mencukupi tentang falsafah dan etika perkhidmatan guaman, mereka diberi tugasan dan tekanan untuk mencari pelanggan dan kes baru semata-mata. Justeru pekerja-pekerja ini mula berjinak-jinak dengan amalan rasuah sama ada melibatkan pihak polis ataupun kakitangan hospital semata-mata untuk mengawal dan menafikan persaingan sihat untuk mendapatkan pelanggan. 

Senario ini telah menyebabkan ada sesetengah kakitangan hospital lebih kelihatan sibuk melobi mangsa untuk melantik peguam yang beliau ada kepentingan berbanding memberi khidmat untuk merawat dan melayani pesakit yang sedang mendapat rawatan di hospital mereka. Begitu juga dengan sesetengah anggota polis yang secara keterlaluan melobi dan kadangkala mengguna tekanan untuk memaksa mangsa kemalangan memilih dan melantik peguam yang beliau cadangkan. Senario ini memang melibatkan pelaburan kewangan yang tinggi, justeru tekanan kos yang tinggi akibat gejala rasuah ini  menyebabkan segelintir firma guaman bertindak secara tidak berperikemanusian mengalihkan kos ini kepada pelanggan mereka yang dibuat secara penipuan, penganiayaan dan manipulasi kerana pelanggan mereka tidak diberi taklimat, maklumat dan perjanjian  bertulis berhubung kaedah fee, caj dan kos tindakan sebelum mereka dilantik sebagai peguamcara yang mengendalikan kes tersebut. Kebiasaanya agen dan runner yang ditemui di hospital dan balai polis tidak bercakap secara jelas mengenai fee, caj dan kos tindakan yang dikenakan kepada pelanggan mereka. Mereka hanya beri keutamaan untuk memberi bantuan kewangan (tidak disebut sebagai pinjaman) kepada mangsa yang tersepit dalam situasi genting pada masa tersebut. 

Langkah yang paling efektif untuk mengelak dan mencegah anda dari menjadi mangsa penipuan agen dan runner firma guaman ialah anda perlu terbuka dan membuka saluran maklumat seluas-luasnya dari pelbagai pihak, anda perlu membuang segala ketakutan dan prejudis anda, jangan tergesa-gesa melantik peguam yang dicadangkan oleh pihak hospital ataupun pihak polis, sebaliknya dapat maklumat jelas,nyata dan terperinci mengenai caj, fee dan kos tindakan serta kaedah pembayarannya. Paling utama dapatkan jawapan muktamad sama ada caj tersebut all in (menyeluruh) atau sebaliknya. Selepas berpuas hati sila dapat surat perjanjian persetujuan caj, fee dan kos daripada firma guaman yang anda berpuashati untuk melantiknya dan akhirnya baru turunkan tandatangan persetujuan untuk perlantikan peguamcara.

Amalan Biasa, Caj dan Fee Untuk Kes Kemalangan

Sejak berpuluh-puluh tahun dahulu telah jadi amalan biasa kepada pengamal undang-undang yang menjalankan perkhidmatan secara terus kepada pelanggan tanpa menggunakan khidmat agen dan runner untuk mengenakan caj sama ada 20%, 25% dan 30% daripada wang pampasan. Dalam kaedah ini mangsa kemalangan biasanya tidak terbeban dan tidak perlu mengambil apa-apa risiko untuk membayar fee dan kos tindakan sekiranya tuntutannya ditolak oleh mahkamah dan tiada apa-apa bayaran deposit yang perlu dibayar kepada peguam pada mana-mana peringkat kes itu berjalan, melainkan apabila tuntutan itu berjaya dan wang pampasan telah diterima, maka atas persetujuan bersama di kedua-dua belah pihak, peguamcara akan mengeluarkan bil caj sama ada 20%, 25% dan 30% yang telah dipersetujui sebelumnya. Caj ini sebenarnya telah dan sekurang-kurangnya perlu meliputi perbelanjaan bagi  tindakan seperti berikut:-

1) Fee guaman (upah peguam untuk dakwaan dan kepeguaman);

2) Cukai perkhidmatan 6%; 

3) Kos mendapatkan dokumentasi seperti dokumen polis, laporan perubatan initial, carian JPJ dan lain-lain lagi;

4) Fee Mahkamah untuk pemfailan dokumen seperti writ saman, afidavit, fakta-fakta dipersetujui/tidak dipersetujui, ikatan dokumen, sepina saksi termasuk elaun kehadiran saksi dan penghakiman; 

5)  Kos pejabat seperti photocopy, komunikasi, bil telefon, surat menyurat dan pengangkutan serta kos ulang-alik ke mahkamah untuk sebutan dan bicara kes dan penyampaian apa-apa dokumen kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun ini bergantung kepada perjanjian dan persetujuan bersama dikedua-dua belah pihak sebelum mangsa memuktamadkan melantik perlantikan peguam untuk mengendalikan kes beliau. Justeru setiap firma dan firma yang lain akan mengandungi kelaianan caj dan fee, disinilah komunikasi, diskasi, debat dan perbincangan perlu diadakan secara menyeluruh melibatkan mangsa kemalangan, waris, paralegal atau peguam yang terlibat. Tanpa komunikasi dan diskasi yang menyeluruh bakal pelanggan dipercayai tidak akan mendapat maklumat yang jelas dan terperinci mengenai caj, fee dan kos tindakan. Apabila kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan, maka eloklah bakal pelanggan memohon untuk dibekalkan satu penjanjian  bertulis mengenai persetujuan caj, fee dan kos tindakan bagi mengelakkan manipulasi, penipuan dan penganiayaan di kemudian hari, ini kerana segelintir pengamal undang-undang amat mahir mencari alasan, bukti dan kaedah yang membolehkan mereka diberi ruang untuk mengambil secara berlebihan berbanding apa yang telah dipersetujuinya sebelum ini.

Apa Tindakan Yang Perlu Dilakukan Jika Anda Menjadi Mangsa Penipuan

Ramai yang tidak mengetahui bahawa pengamal undang-undang dikawal ketat oleh Akta Profesyian Guaman. Dimana setiap tahun pengamal undang-undang perlu mendapatkan lesen amalan guaman dari Mahkamah Tinggi Malaya dan juga dari Badan Majlis Peguam Malaysia. Justeru itu sebarang salah laku atau tatatertib boleh dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Majlis Peguam Malaysia.

Bagaimana sebarang bentuk aduan dan dakwaan salah laku peguam perlu disertakan bukti-bukti yang konkrit. Tanpa bukti-bukti berbentuk dokumentasi dan nyata pengadu boleh disifat lebih menjuruskan kepada salah laku fitnah. Sebagaimana yang anda tahu memfitnah adalah satu kesalahan sivil yang boleh menyebabkan anda disaman kerana memfitnah seseorang atau sekelompok orang tanpa bukti yang nyata dan kukuh. 

Justeru itu kepada mana-mana mangsa penipuan jika mereka tidak bersetuju dengan amaun caj tersebut, langkah yang paling bijak adalah mencabar bil yang dikeluarkan oleh peguam. Mereka mempunyai hak untuk mencabar dan menafikan pembayaran kos yang keterlaluan serta tidak dibuktikan perbelanjaannya secara nyata dan jelas kecuali mana-mana yang telah dipersetujui secara bersama sebelum ini. Sementara itu peguam pula patut diberi kesempatan untuk membentang apa-apa perbelanjaan yang telah dialaminya semasa mengendalikan kes tersebut kecuali mana-mana bahagian yang telah tertakluk kepada persetujuan bersama umpamanya sekiranya peguam itu bersetuju sebelum mengendalikan sesebuah kes untuk mengenakan caj 25% all in atas nilai pampasan ke atas pelanggannya, maka beliau telah dihalang oleh perjanjian tersebut untuk membentangkan apa-apa perbelanjaan selain hanya caj 25% tersebut semata-mata, tetapi perlu ada bukti yang jelas dan nyata berbentuk dokumentasi seperti perjanjian bertulis.Jika peguamcara itu ingkar, ini bermakna beliau telah menyeleweng, melakukan penipuan, manipulasi dan salah laku dalam amalan guamannya. Justeru itu beliau dibolehkan dirujuk atau diadukan kepada lembaga tatatertib untuk dibicarakan dan diambil tindakan yang sesuai dengan kesalahannya. Akan tetapi tanpa bukti dan sokongan yang nyata aduan itu bukan sahaja menjadi sia-sia malah peguam tersebut berhak menyaman pengadu kerana kesalahan memfitnah secara semberono sehingga boleh menjejaskan nama baik beliau dan firma guaman tempat beliau beramal.

 



 

 




 

Comments

  1. Saya melihat fee yang dikenakan agak berpatutan. Biasa kes accident, peguam dahulukan wangnya. Dalam kes ini mungkin peguamcara ambil 20% sahaja dan nilai tersebut adalah agak rendah memandangkan biasanya 25-30%. Kekadang peguam tiada pilihan memandangkan anakguam tiada kos untuk membuat pembayaran awal. Maka caj fee RM16k yg hanya 20% adalah amat rendah dan juga yuran laporan pakar juga amat murah memandangkan kos laporan pakar perubatan boleh cecah RM1k-6k.

    Apa yang menjadikan ia banyak ialah hutang yang dibuat kepada peguam. Pertambahan mungkin disebabkan di bawah faedah 8% atau mana-mana perjanjian dibuat sebelumnya. - www.hishamnazir.com

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.