OBJEKTIF UTAMA PAMPASAN GANTIRUGI KECEDERAAN DIRI DAN KEMATIAN SERTA REALITINYA

Objektif utama undang-undang membenarkan orang yang tercedera atau waris yang orang terkorban dalam suatu kemalangan jalan raya ialah untuk menjamin dan memastikan pihak-pihak berkenaan mendapat remedi sivil yang berupa pampasan gantirugi walaupun mungkin tiada proses pendakwaan jenayah terhadap mana-mana pihak akibat kekurangan bukti atau bukti tidak mencukupi bagi membolehkan proses pendakwaan dilakukan. 

Objektif utama pampasan gantirugi ini adalah untuk memberi pampasan yang adil, patut munasabah, sesuai dan perlu sebagai proses satu pembelaan dan penjagaan kepentingan mangsa kerana disebabkan:-
  • Orang tercedera menjadi cacat akibat pemotongan anggota badan; 
  • Orang tercedera mengalami penderitaan, kesakitan dan keterbatasan pergerakkan aggota badan;
  • Orang tercedera mengalami kepayahan dan kesusahan hidup akibat kecacatan dan hilang upaya akibat kecederaan tersebut;
  • Orang tercedera terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menampung kos perubatan, pembedahan, implant, alat bantuan sokongan seperti kaki palsu dan rawatan susulan;
  • Orang tercedera berkemungkinan besar hilang prospek perkahwinan, hubungan sosial dan keriangan hidup seperti biasa;
  • Orang tercedera hilang mata pencarian untuk menyara hidup apabila tidak mampu bekerja seperti biasa akibat pemotongan anggota badan, keterbatasan dan kesukaran pergerakkan anggota badan;
  • Orang tercedera mungkin pencari nafkah tunggal kepada keluarga dan ini sangat menjejaskan kualiti dan kehidupan keluarga tersebut;
  • Orang yang terkorban adalah penanggung dan pemberi nafkah utama keluarganya dengan iaitu warisnya hilang tempat bergantung hidup dan kehidupan mereka terjejas dengan teruk;

Apa yang menjadi harapan dan keperluan orang tercedera atau waris simati kepada peguamcara yang mengendalikan kes tuntutan mereka adalah seperti berikut:-
  1. Mengendalikan kes dengan cekap, pantas, jujur dan akuantabiliti;
  2. Berjaya mendapat pampasan gantirugi yang tinggi dan banyak;
  3. Memotong dan mengambil wang pampasan pada jumlah yang munasabah, patut dan menepati janji lisan yang diberikan pada awalan kes ini berjalan.
Realitinya mutakhir ini 7 orang daripada 10 orang yang tercedera atau 70% daripadanya sangat kecewa, sedih dan terpedaya bil menerima cek pampasan gantirugi di pejabat peguamcara mereka disebabkan perkara-perkara berikut:-
  • Wang pampasan mereka dipotong melebihi nilai 50% daripada nilai cek;
  • Peguamcara memotong dan mengambil jumlah 25%-30% sebagai bayaran guaman dan kos seperti mana yang dijanjikan diawal penyediaan kes;
  • Tetapi selain itu peguamcara juga memotong dan mengambil jumlah tambahan sebanyak sejumlah 15%-20% daripada nilai cek pampasan dengan alasan terpaksa membayar perbelanjaan agen/runner/informer, kos mahkamah, kos pejabat, kos telekomunikasi, kos pengangkutan, kos surat dan pengeposan, kos elaun kehadiran dan cukai GST, sedang dulu berjanji dan mengesahkan semua kos telah terkandung dalam yuran 25%-30% tersebut;
  •  Apa yang menyedihkan pemotongan dan pengambilan kos tambahan ini tidak pernah diberitahu, dimaklum atau dipersetujui oleh orang tercedera, hal ini cuma diberitahu semasa mereka ingin mengambil wang pampasan mereka;
Kenapa keadaan dan gejala penipuan ini boleh berlaku dan bagaimana modus operandinya berjalan?. Gejala ini berlaku disebabkan peranan, cara, kaedah dan tindakan yang diambil oleh agen, wakil, runner atau peguam semasa menjalankan urusniaga dengan orang tercedera di awal kes tersebut.Orang yang tercedera atau waris simati telah diperdaya, ditipu, ditekan dan dimanipulasikan sehingga mereka jadi keliru dan akhirnya tanpa berfikir panjang bersetuju melantik peguamcara tersebut untuk mewakilinya dalam kes itu. Biasanya orang yang tercedera atau waris diberi janji manis secara lisan seperti berikut:-
  • Kes tersebut akan diselesaikan dengan sangat pantas; 
  • Mereka akan dapat pampasan yang sangat-sangat tinggi, tidak munasabah dan tidak mengikut trend award semasa mahkamah;
  • Mereka tidak perlu membayar apa-apa wang atau perbelanjaan;
  • Mereka cuma perlu membayar yuran guaman sebanyak 25%-30% daripada nilai pampasan;
  • Tiada lain-lain caj tambahan dikenakan;
  • Mereka boleh meminjam sesuka hati tanpa batasan.   
Malangnya semua ikrar dan janji di atas hanya tinggal janji dan ikrar kosong kerana tidak disusuli dengan perjanjian bertulis dan tindakan yang jujur dan amanah. Realitinya janji tidak dipenuhi dan akhirnya orang tercedera terpaksa melalui situasi dan keadaan buruk sebegini:-
  1. Kes mereka memakan masa yang panjang;
  2. Mereka mendapat pampasan setimpal yang munasabah mengikut trend atau award semasa mahkamah, bukan suatu nilai yang luar biasa dan sangat tinggi;
  3. Mereka kena membayar yuran guaman 25%-30% daripada nilai cek pampasan;
  4. Mereka juga dipaksa membayar caj-caj tambahan tersembunyi, tidak telus dan tidak ada masa mereka berbincang sebelum perlantikan peguam dibuat.
Solusi, jawapan dan jalan keluar daripada permasalahan dan gejala di atas hanya memerlukan tindakan ringkas dan mudah seperti berikut:-
  • Apabila terlibat dalam kemalangan, jangan panik dan gopoh;
  • Ambil dan simpan maklumat kemalangan seperti tarikh, masa, lokasi dan kenderaan terlibat;
  • Kemudian fokus kepada rawatan perubatan;
  • Apabila anda semakin sihat dan stabil barulah anda memikirkan persoalan lain seperti tuntutan insuran dan sebagainya;
  • Berjumpa dan berbincanglah dengan seramai mana agen, runner, wakil, paralegal dan peguam untuk mendapat pandangan awal berkenaan kes anda;
  • Jangan tamak dan mudah terpedaya menerima sogokan wang pinjam;
  • Buatlah perbandingan yang adil, saksama dan menyeluruh kepada semua cadangan yang anda terima;
  • Dapatkan penjelasan yang jelas dan terperinci berkenaan yuran guaman dan caj-caj lain yang mungkin dikenakan ke atas anda daripada agen, runner, wakil, paralegal dan peguam yang berkenaan;
  • Anda berhak bertanya, bersetuju dan menolak apa-apa terma atas cadangan perlantikan peguamcara tersebut;
  • Setelah anda berpuashati minta satu surat jaminan bertulis daripada peguamcara bagi mengelakkan anda diperdaya, ditipu, dan dipaksa membayar apa-apa caj tambahan yang tersembunyi daripada pengetahuan anda sebelum ini;
  • Kemudian selepas anda benar-benar jelas dan faham dengan semua terma perjanjian serta berpuashati dan bersetuju dengannya, maka teruskanlah proses perlantikan peguamcara.
Sekiranya anda mungkin bernasib malang dan menjadi mangsa seperti keadaan di atas, janganlah terlalu bersedih dan merasa dunia ini telah gelap. Setiap masalah yang wujud pasti ada jawapan dan jalan keluar kerana Allah SWT itu maha pengasih dan penyayang. Anda dinasihat berbincang secara baik dan bersemuka dengan peguamcara anda, cari jalan keluar dan minta peguamcara untuk mengikuti atau mematuhi perjanjian lisan yang dicapai bersama dahulu. Jangan benarkan peguam anda memotong wang pampasan anda sesuka hati tanpa persetujuan, kebenaran dan kerelaan anda. Tanpa persetujuan anda peguamcara anda tidak akan boleh dan berjaya memotong dan mengambil caj-caj tambahan tersebut.
 
Sekiranya masih tidak berjaya masalah ini anda perlukan keberanian dan ketegasan untuk memanjangkan masalah ini kepada Lembaga Displin Majlis Peguam dan anda perlu membuat laporan polis kerana anda menjadi mangsa penipuan dan pemerdayaan oleh peguamcara anda. Apa yang patut anda tahu, setiap transaksi, perjanjian dan tindakan dalam kes tersebut perlu dan mesti dirunding, dibincang, dipersetujui dan diakui oleh kedua-dua belah, barulah ia menjadi sah dan kemudian barulah anda patut dan diperlu dipertanggungjawab ke atasnya. 
Contoh mudahnya, kita sebagai pengguna membeli tiket penerbangan dan diberitahu bahawa bayaran itu telah mengandungi bayaran untuk semua perkhidmatan yang tersedia dalam pesawat penerbangan tersebut. Tetapi ketika anda berada di dalam penerbangan itu, anda diminta pula membuat bayaran tambahan lain untuk perkhidmatan tersedia itu. Maka ini adalah satu perbuatan jenayah komersil dan penipuan, anda berhak untuk tidak membayarnya kerana pengendali penerbangan ternyata telah memperdayakan anda, tidak menepati promasi pemasaran dan mungkir janji. Paling penting hak anda sebagai pengguna terjamin, anda berhak membawa kes itu kepada pihak berkuasa untuk diadili dan demi melindungi kepentingan diri anda sendiri.

 
 







 

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.