PENYELESAIAN LUAR MAHKAMAH ATAU SETTLEMENT OF ACTION

Alhamdulillah setelah sekian lama hajat dan niat untuk menulis isu dan topik ini tertunda mungkin sudah tertunda sejak beberapa minggu yang lalu, akhirnya di pagi ahad yang damai ini saya menemui masa yang cukup baik untuk menulis. 

Saya bukan penulis sepenuh masa ataupun dibantu oleh beberapa orang admin untuk menyelenggara dan mengemaskinikan blog ini. Saya menulis untuk menyampaikan visi, idealisme dan berkongsi pengetahuan dan maklumat yang saya ada dengan pengunjung blog ini. Oleh itu saya cuma dapat menulis isu atau topik baru apabila saya benar-benar bersedia dan lapang daripada sebarang aktiviti. Di sini saya cuma ingin membicarakan atau menyentuh isu berkaitan penyelesaian luar mahkamah cuma setakat bagi kes kemalangan jalanraya sahaja, kerana setiap kes sivil lain mempunyai kaedah, tatacara, proses, pendekatan dan isu undang-undang yang berbeza.

Saya sengaja memilih isu dan topik ini kerana saya mendapati topik ini begitu popular, saya bukan sahaja ditanyai topik ini oleh pengunjung blog ini, tetapi isu ini selalu mendapat tempat dihati para pelanggan saya ketika saya mengendalikan seisi rundingcara kes kemalangan jalanraya.

Pemerhatian saya mendapati majoriti atau sebahagian besar daripada mereka ini mempunyai persepsi dan kesimpulan yang salah mengenai penyelesaian luar mahkamah ataupun dalam bahasa undang-undang ia dipanggil "settlement of action". Mungkin persepsi dan kesimpulan ini lahir kerana ketiadaan nasihat dan pendedahan maklumat yang tepat mengenai isu dan topik ini. 

Majoriti individu yang saya temui atau yang menghubungi saya berpendapat penyelesaian luar mahkamah ini adalah satu kaedah, satu proses, satu pendekatan atau satu pakatan dan kerjasama di antara peguamcara mangsa dan peguamcara insuran dalam menetapkan jumlah pampasan bagi suatu kes atau tuntutan kemalangan. Justeru itu, mangsa kemalangan selalunya akan diprejudiskan atau menerima pampasan yang sedikit atau kurang berbanding jika kes itu diselesaikan dalam mahkamah melalui keputusan hakim. Saya tidak tahu dan tidak faham bagaimana persepsi salah ini boleh berkembang dan diterima sebagai benar dan betul dalam sesetengah kelompok masyarakat kita pada hari ini.

Apakah Definasi  "Settlement of Action"

Sebelum saya menghuraikan lebih dalam, terlebih dahulu saya ingin mengajak pembaca budiman untuk memahami dan mengetahui apa definasi sebenar atau makna "settlement of action" dari segi undang-undangnya. Mengikut kamus undang-undang "settlement of action" bermaksud:-
   (Penyelesaian tindakan) Pengakhiran sukarela dalam litigasi awam dengan perjanjian-perjanjian pihak-pihak terlibat. Penyelesaian boleh dibuat pada sebarang masa dan selalu diikuti dengan pihak plaintif memfailkan notis pemberhentian atau penghakiman persetujuan.

Secara mudahnya penyelesaian luar mahkamah atau "settlement of action" ini adalah satu proses mengakhiri suatu tindakan secara sukarela dan damai di antara kedua-dua belah pihak plaintif (penuntut) dan pihak defendan (orang yang kena tuntut). Penyelesaian ini dibuat berdasarkan persetujuan dan perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dan kemudiannya diakhiri dengan memfailkan notis pemberhentian ataupun penghakiman persetujuan. 

Apakah Proses Membolehkan Suatu Tindakan Itu Mencapai  "Settlement of Action"

Mungkin anda tidak tahu bahawa sebelum kes anda dibicarakan di mahkamah, kes anda perlu melalui proses dan prosedur yang ditetapkan. Kes anda layak untuk dibicarakan di mahkamah setelah semua dokumen "cause paper"  difailkan dalam mahkamah seperti Ikatan Dokumen, Ikatan Dokumen Dipersetujui, Ikatan Dokumen Tidak Dipersetujui, Fakta dan Isu Dipersetujui dan Fakta dan Isu Yang Dipertikaikan. Oleh demikian mahkamah cuma akan mendengar, memeriksa dan mengadili berkenaan perkara dokumen yang tidak dipersetujui, isu dan fakta yang dipertikaikan sahaja.  

Dokumen ini pula merangkumi bentuk, kesahihan, kewujudan, pengeluar, pembuat dan kandungan dokumen itu sendiri. Justeru itu semua dokumen dan fakta yang dipertikaikan mestilah dibicarakan di hadapan mahkamah dengan mengemukakan saksi sama ada pengeluar, pembuat dan pengesah kandungan dokumen. Boleh dikatakan apa jua berkaitan dokumen itu semuanya tidak dipersetujui melainkan pembuat, pengeluar dan pembuatnya hadir memberi keterangan dan disoalbalas berhubung kesahihan, kewujudan, kandungan, fakta dan maklumat yang terkandung dalam dokumen itu. 

Bagi peguam yang berpengalaman, mereka akan mengetahui tahap dan keadaan diri, psikologi, kesediaan dan kekuatan pelanggan mereka. Ini kerana bukan semua saksi dapat menjawab setiap soalbalas peguam di dalam kandang saksi mahkamah dengan baik, jelas dan konsisten, ini termasuklah individu yang biasa dengan mahkamah seperti pegawai penyiasat trafik. Justeru itu "settlement of action" ini cuma alternatif untuk menjaga kepentingan pelangan mereka dan ia boleh dicapai sekiranya:-

(1) Pihak plaintif berjaya mengumpul semua maklumat, keterangan, bukti dan dokumen yang diperlukan dalam kes ini. Tugasan ini bukan mudah ia memerlukan komitmen dan sistem pengurusan tindakan berkala yang efisien daripada pejabat peguamcara yang mengendalikan kes. Tanpa sistem KIV atau tindakan berkala yang teratur dan efisien mana mungkin semua bukti dan dokumen berjaya dikumpul mengikut masa yang disasarkan. Ini juga sebab utama kenapa banyak kes berlarutan lama kerana tanpa kesempurnaan bukti dan dokumen kes anda tidak dapat diselesaikan ataupun diselesaikan secara alah kadar;

(2) Pihak plaintif benar-benar bersedia dan telah memfailkan semua dokumen cause paper dalam mahkamah. Kerana sekiranya pihak insuran atau defendan gagal memberi apa-apa tawaran penyelesaian damai, peguamcara plaintif boleh meneruskan proses perbicaraan tanpa kompromi dengan pihak insuran; 

(3) Peguamcara plaintif mengeluar dan menyediakan legal opinion berhubung pandangan dan hujahan pihaknya terhadap keseluruhan kes itu, termasuklah cadangan untuk nilai pampasan. Legal Opinion mestilah merujuk kepada dokumen, bukti, fakta dan autoriti-autoriti undang-undang terkini dan semasa sebagai sokongan. Tanpa kewujudan legal opinion ini pihak insuran tidak akan mempertimbangkan sebarang langkah untuk penyelesaian luar mahkamah;

(4) Mahkamah biasa terlebih dahulu mencadangkan supaya pertikaian atau kes ini cuba diselesaikan secara baik dan damai supaya ia dapat menjimat masa, tenaga, komitmen dan wang semua pihak yang terlibat dalam pertikaian itu.

Kebaikan Dan Manafaat "Settlement of Action"

Ramai orang mempersoalkan proses "settlement of action" ini dan beranggapan peguam mereka malas dan berpakat serta bekerjasama dengan peguamcara insuran untuk menyelesaikan kes ini pada nilai yang rendah dan tidak adil. Saya ingin menegaskan proses ini memerlukan komitmen tinggi dan sistem pengurusan yang cekap, proses ini tidak boleh dilaksanakan oleh peguamcara yang malas dan sambil lewa.

Ini kerana sebelum proses ini berjaya peguamcara perlu ada sistem KIV yang efisien dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpul bukti, keterangan, maklumat dan dokumen mengikut masa yang disasarkan. Mereka mestilah melepasi apa jua halangan dan rintangan untuk mendapat apa sahaja bukti dan dokumen itu, mana mungkin peguam yang malas boleh melakukan perkara ini mengikut tempoh masa sasaran, ia cuma boleh dilakukan oleh individu yang rajin dan komited dengan tugasannya.

Majoriti kes yang diselesaikan secara "settlement of action" selalunya mendapat lebih nilai dan manafaat berbanding kes yang diselesaikan melalui keputusan mahkamah kerana:-

(1) Menjimatkan masa, tenaga dan kos semua pihak sama ada bagi pihak plaintif, defendan dan pihak mahkamah;

(2) Kebiasaannya pihak insuran mengeluarkan tawaran "settlement of action" pada nilai yang sangat munasabah berpandukan kepada bukti dan dokumen serta legal opinion daripada peguamcara plaintif tanpa mereka merujuk atau memeriksa dokumen atau keterangan itu secara intensif dan komprensif seperti soalbalas di mahkamah. Lebih mudah pihak insuran mengeluarkan tawaran penyelesaian tanpa sebarang pertikaian terhadap apa-apa isu dan dokumen.

(3) Soalbalas yang panjang dalam mahkamah akan menyebabkan beberapa dokumen, bukti dan keterangan akan terjejas dengan teruk apabila saksi pembuat atau pengeluar dokumen itu tidak dapat memberi penjelasan yang jelas, teratur dan kosisten terhadap apa jua isu yang berbangkit ke atas dokumen itu. Ini akan benar-benar menjejaskan pampasan plaintif;

(4) Nilai pampasan plaintif tidak akan ditingkatkan hanya semata-mata kes itu dibicarakan dalam mahkamah sekiranya pihak tidak mempunyai dokumen, fakta, bukti dan keterangan tambahan yang membolehkan dia mendapat pampasan lebih tinggi, contoh bagi kes patah kaki jika plaintif tidak boleh membuktikan dia hilang pekerjaan dan pendapatan akibat kecederaan dalam kemalangan, dia cuma hanya layak untuk menerima pampasan setakat mana kecederaan itu sahaja, bukan pampasan kecederaan bersama hilang pendapatan;

(5) Apabila pihak insuran menawarkan satu tawaran yang adil dan munasabah untuk suatu kes berdasarkan bukti dan dokumen, tetapi plaintif plaintif tidak bersetuju kerana sebab-sebab tertentu dan isu dibawa kepada pemerhatian hakim perbicaraan. Ini akan memberi pandangan dan interprestasi yang tidak baik kepada kes plaintif itu jika ia diteruskan untuk perbicaraan.  


Apa yang berlaku kepada masyarakat hari ini memang memelikkan kerana banyak terjadi mangsa kemalangan tidak bercerita perkara yang benar dan sengaja meningkatkan nilai pampasan yang mereka terima tanpa sebab yang diketahui apabila ditanyai oleh rakan atau kenalan mereka. Inilah punca yang menyebabkan masyarakat kita keliru dan membuat tohmahan yang tidak benar kepada peguam dalam isu "settlement of action" kerana mereka membuat perbandingan yang salah umpama membandingkan harga kereta mercedes dan harga kereta proton persona, sedangkan kedua-duanya adalah sebuah kereta tapi mempunyai nilai dan market yang berbeza. Tetapi masyarakat tidak melihat ia begini kerana apabila mereka melihat kereta, mereka terus berpendapat ianya adalah sebuah kereta dan nilainya adalah sama, sedangkan terlalu jauh beza harga di antara kereta mercedes dan proton persona itu, tapi begitu tanggapan umum dalam isu ini. 

Comments

  1. Assalamualaikum. Sy nak mintak pandangan saudara. Abang sy accident tahun lepas dan meninggal dunia. Semasa kejadian, tiada saksi kecuali pemandu kereta yg terlibat dalam kemalangan dan masih hidup. Kami sangsi dengan keterangan kejadian dan statement polis report,yang menyalahkan semua kepada si mati, walaupun bukti2 seperti kesan tayar di tempat kejadian membuktikan sebaliknya. Kes dibawa ke mahkamah tapi baru2 ini pihak peguam suggest utk settle kes di luar mahkamah. Bagaimana pula dengan pembelaan nasib si mati? Apa yang perlu sy buat untuk membuktikan kes ini dan tak biarkan org yg bersalah terus menerus buat salah? Mohon pandangan saudara

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.