RISIKO UNTUNG RUGI DALAM KES TUNTUTAN AKIBAT KEMALANGAN

Ketika sibuk mengemas rumah sempena menyambut ketibaan Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi, dalam mood bercuti dan lari sedikit dari rutin harian. Saya menerima chat whatapps dari pembaca blog ini. Dia meminta opinion saya berkenaan masalah yang dihadapi olehnya ketika ini. 

Saya diberitahu serba sedikit oleh pembaca tersebut, beliau telah terlibat dalam suatu kemalangan pada 03/05/2013. Akibat daripada kemalangan tersebut beliau telah mendapat cedera patah kaki dan telah memfailkan saman tindakan sivil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan pihak ketiga untuk mendapatkan suatu remedi bagi pampasan gantirugi khas dan am. 

Malangnya selepas melalui proses perbicaraan yang panjang, akhirnya Mahkamah Sesyen Kuantan telah memutuskan untuk memihak kepada pihak lawannya (insuran) dan menolak tuntutan pembaca tersebut dengan kos. 

Susulan daripada penghakiman itu, pembaca itu telah meminta peguamcara beliau untuk memfailkan satu rayuan di Mahkamah Tinggi Kuantan untuk mencabar keputusan Hakim Mahkamah Sesyen. Akan tetapi sekali nasib tidak menyebelahi beliau. Beliau kalah dalam rayuan tersebut dengan perintah membayar kos.

Susulan daripada kedua-dua penghakiman itu, baru-baru ini beliau menerima satu notis tuntutan daripada peguamcara syarikat insuran untuk menguatkuasakan penghakiman itu dan menuntut dia menjelaskan kos tindakan bagi kedua-dua kes berkenaanberjumlah lebih RM5K. 

Pembaca ini sangat sedih kerana beliau sudah menderita akibat kesakitan, rugi wang ringgit tetapi akhirnya terpaksa bertanggungjawab pula menjelaskan kos tindakan kepada pihak lawan. Kenapa situasi ini berlaku? pembaca ini termakan hasutan agen/runner supaya melantik peguamcara dan memfailkan saman terhadap pihak lawan, walaupun dalam keadaan sebenarnya beliau tahu dan sedar betapa fakta kes itu tidak memihak beliau. 

Saya suka menasihati anda semua, jangan terlalu ghairah dan elakkan diri berasa teruja apabila disogok dengan janji ratusan ribu ringgit yang bakal diperolehi oleh agen/runner. Perkataan BAKAL ini sudah cukup untuk memberi penjelasan bahawa ia belum tentu, tidak pasti dan cuma calon sahaja, ada nasib dapatlah, kalau malang langsung tidak dapat apa-apa. 

Anda harus berada di dunia yang nyata, menerima semua prinsip dengan adil iaitu dalam apa jua keadaan kes ia mesti datang dalam bentuk berpakej, berpegang kepada nasib, untung dan rugi, kalah atau menang. Anda perlu bersedia menerima semua risiko yang ada, anda tidak boleh hanya menerima untung tetapi anda juga perlu bersedia menerima rugi.

Ramai orang keliru dengan terma perjanjian yang menyatakan bahawa peguamcara AKAN mengambil sebahagian dari jumlah wang pampasan tetapi tidak melebihi nilai  25% sebagai bayaran kos guaman kepada peguamcara tersebut.  AKAN TETAPI sekiranya tuntutan gagal atau tidak berjaya anakguam TIDAK PERLU membayar apa-apa jumlah wang kepada peguamcara sebagai bayaran kos guaman. 

Apa yang orang ramai fikir, semua risiko akan diambil oleh peguamcara, kalau kes mereka gagal atau kalah mereka tidak perlu membayar apa-apa wang lagi kepada mana-mana pihak. Ini pemikiran yang salah, keadaan yang sebenarnya ialah mana-mana pihak yang membawa tindakan atau membela tindakan, akan tetapi kemudian mahkamah menolak atau menerima salah satu daripadanya, maka pihak yang kalah itu perlu bertanggungjawab kepada kos tindakan mahkamah tersebut. 

Dalam kes di hadapan kita ini, pembaca ini telah membawa tindakan sivil di mahkamah dan pihak insuran pula menentang tindakan ini, Di akhir prosiding mahkamah telah menolak tuntutan pembaca itu dan memihak kepada pembelaan pihak insuran dengan perintah pembaca membayar kos tindakan kepada pihak insuran. Jadi dia memang wajib bertanggungjawab untuk menjelaskan kos tindakan kepada pihak insuran kerana sekiranya beliau tidak memfailkan saman, pihak insuran pula pasti tidak perlu mengeluarkan wang untuk membela dan menentang tindakan ini.

Justeru itu, saya menasihati anda semua memberi pertimbangan yang munasabah dan wajar sebelum membuat keputusan nekad untuk melawan dan bertembung habis-habisan dengan pihak insuran di mahkamah.

Secara mudahnya jika anda melantik peguam dan memfailkan saman sivil anda perlulah memahami dan bertanggungjawab untuk:

  • peguamcara anda sendiri jika kes anda MENANG;
  • membayar kos tindakan kepada peguamcara pihak lawan sekiranya kes anda kalah;
  • AKAN TETAPI tidak perlu bayar apa-apa jumlah wang kepada peguamcara sendiri jika kes kalah.


Justeru itu, sekiranya ada tawaran penyelesaian yang munasabah dan sesuai dengan fakta serta keadaan kes ditawarkan kepada anda sebelum kes memasuki prosiding bicara, maka ada baiknya anda perlu memikirkan untuk menerimanya. Ini kerana apabila anda dikuasi oleh sentimen dan perasaan tamak, maka anda sendiri perlu bersedia menerima hakikat untung rugi dan risiko dalam kes itu. 

Mungkin hanya disebabkan beberapa perkataan yang keluar secara salah dan tidak sengaja daripada mulut anda ketika menjawab soalan atau bersetuju dengan cadangan peguamcara pihak lawan, maka anda kena bersedia untuk kehilangan hampir 50% daripada nilai tawaran penyelesaian yang ditawarkan sebelum ini.

Akan tetapi jika nasib anda malang, anda bukan sahaja hilang total pampasan anda jika kes anda ditolak, tetapi sebaliknya terpaksa pula mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membayar kos tindakan pihak lawan. Dalam hidup ini kita sentiasa diberi pilihan terbaik, cuma kadangkala kematangan dan kewajaran kita selalu diketepikan oleh perasaan tamak dan sentimen melulu, inilah musuh utama kita yang perlu diawasi dan ditentang habis-habisan.








Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.