PENIPUAN DAN SALAH LAKU DALAM PROSES SETTLEMENT OF ACTION (PENYELESAIAN LUAR MAHKAMAH

Secara jujurnya saya selalu keliru apabila menerima pertanyaan dari pelanggan kami yang meminta kami menguruskan bayaran pampasan serta merta sejurus selepas suatu kes itu berjaya diselesaikan sama ada melalui mahkamah ataupun di luar mahkamah.
 
Saya merasa gusar kerana kami ini bukanlah institusi kewangan atau syarikat insuran yang mempunyai kapital kewangan yang tinggi dan mempunyai poket ajaib seperti Doreamon. Kami terpaksa menunggu sekurang-kurangnya 4 bulan sebelum cek pampasan itu diterima. Sebaliknya kami cuma sebuah firma guaman yang berskala sederhana, komited dan ikhlas dalam menjalankan amanah tugasan kami.
 
Akhirnya saya menjalankan siasatan sendiri dan menjumpai beberapa kes yang langsung tidak pernah terfikir boleh berlaku dalam kehidupan masyarakat kita yang masih lagi mengekalkan tahap kejujuran dan empati yang tinggi.
 
Semasa saya menjalankan tugas dan berjumpa ramai orang, melalui pendedahan mereka saya dapati ada kes terpencil yang menggunakan modus operandi yang sangat tersusun dan licik bagi tujuan mengaut keuntungan berlipat ganda oleh firma guaman dengan menolak prinsip intergriti dan hak pelanggan untuk mendapatkan jumlah penuh wang pampasan mereka.
 
Beberapa mangsa yang saya jumpa mendakwa selepas beberapa bulan kes mereka dibuka. Mereka mendapat panggilan dari peguam yang mengendalikan kes itu bahawa kes mereka telah diselesaikan dengan jumlah tertentu.
 
Kemudian selang beberapa hari peguam itu memanggil mangsa untuk mengambil wang pampasan itu melalui cek pejabat firma itu selepas ditolak lagi beberapa kos yang tidak logik seperti kos perbelanjaan makan, pengangkutan dan sebagainya.
 
Tetapi apa yang mangsa itu tidak tahu atau cuba disembunyikan secara licik oleh peguam ini ialah keadaan dan kedudukan sebenar kes itu. Tanpa pengetahuan mangsa kes itu masih diteruskan kerana tiada sebarang penghakiman difailkan atau nota perpelepasan disempurnakan oleh mangsa.
 
Apabila pihak insuran menawarkan sesuatu jumlah yang sangat menarik, peguam tersebut terus merekodkan penghakiman persetujuan atau menyempurnakan nota perlepasan. Seterusnya apabila cek pampasan diterima daripada pihak insuran, jumlah keseluruhan pampasan ini akan diambil oleh peguam tersebut.
 
Contoh mudah adalah seperti berikut. Ahmad telah terlibat dalam kemalangan berpunca dari kecuaian Ramli. Ahmad melantik peguam A untuk mengendalikan kes ini bagi pihaknya. Selang beberapa bulan, tiba-tiba peguam A memberitahu Ahmad kes tersebut telah diselesaikan dengan jumlah RM20,000.00 tanpa Ahmad dirujuk untuk mendapatkan persetujuan, tandatangan atau sebarang dokumen yang wajar untuk penyelesaian ini.
 
Bagi memulihkan keadaan dan memberi sedikit rasa gembira kepada Ahmad, selang 2 atau 3 hari Ahmad dipanggil ke sebuah bank bersama wakil peguam A tersebut. Ahmad diberitahu beliau kena bayar yuran guaman sebanyak 25% iaitu RM5,000, selain itu Ahmad juga diminta bertanggungjawab menjelaskan kos pengangkutan, makan minum, tax dan sebagainya. Sedangkan sebelum ini Ahmad cuma tahu dan bersetuju bahawa peguam cuma akan mengambil jumlah bersih sebanyak 25% sahaja.
 
Akhirnya setelah dipaksa dan malas bertekak dengan wakil peguam A tersebut,  Ahmad pun terpaksa rela bersetuju menerima jumlah bersih RM12,000 dari jumlah RM20,000.Pembayaran ini pula dibuat melalui cek peguam A itu sendiri  dan Ahmad langsung tidak pernah melihatkan cek pampasan daripada pihak insuran sendiri. Selepas menerima wang ini Ahmad mati-mati fikir atau beranggapan kes ini telah selesai sepenuhnya.
 
Tanpa Ahmad sedar, disebabkan dia tidak pernah menyempurnakan apa-apa dokumen suratcara berkaitan penyelesaian ini. Kes dia sebenarnya masih berjalan kerana sesuatu kes itu cuma boleh dihentikan atau diselesaikan sama ada melalui penghakiman penuh, penghakiman persetujuan ataupun notis pemberhentian.
 
Bagi pelanggan yang memilih untuk menghentikan secara notis pemberhentian, maka mereka perlu menyempurnakan nota perlepasan yang dikeluarkan oleh pihak insuran. Tanpa penyempurnaan dokumen-dokumen ini kes itu sebenarnya masih belum selesai dan sedang berjalan.
 
Kemudian selepas beberapa bulan dari peristiwa ini, fail kes Ahmad ini benar-benar telah matang dan lengkap. Akhirnya pihak insuran berpuashati dan mengeluarkan tawaran penyelesaian berjumlah RM40,000. Peguam A pula membuat keputusan dan tindakan sendiri lalu bersetuju menerima tawaran penyelesaian tersebut dan memohon pihak insuran untuk mengeluarkan cek pampasan tersebut melalui akaun pelanggan firmanya.
 
Apabila cek pampasan itu telah diterima, peguam A terus mendebitkan ke dalam akaun pelanggan firma. Selepas cek itu clear, dia mengeluarkan jumlah keseluruhan wang pampasan milik Ahmad tadi dan memindahkan ke akaun peribadinya dan menggunakan untuk keperluan dan peribadi dia sendiri.

Dalam kes ini sebenarnya Ahmad berhak kepada pampasan sebanyak RM40,000 dan daripada jumlah ini dia perlu membayar RM10,000 sebagai yuran guaman dan kos kepada peguam A. Jadi jumlah bersih patut diterima oleh Ahmad adalah RM30,000
 
Tetapi melalui modus operandi licik dan tersusun ini Ahmad tidak sedar akan haknya. Dia cuma menerima RM12,000 sedangkan peguam A pula berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda sebanyak  RM28,000 dari kes tersebut.
 
Saya menasihati pembaca yang mungkin kes mereka sedang berjalan, apabila menerima panggilan daripada peguamcara anda memaklumkan bahawa kes anda telah selesai. Adalah lebih baik untuk bertanya atau mempertikaikan penyelesaian itu. Sila tanya hal-hal berikut:-
1. Jikalau benar kes itu selesai siapakah yang memberi kebenaran dan persetujuan untuk penyelesaian tersebut;
2. Siapakah yang menyempurnakan tandatangan anda dalam dokumen persetujuan atau Nota Perlepasan itu;
3. Jikalau kes ini didakwa diselesaikan secara penghakiman persetujuan, siapakah yang hadir dan menurunkan tandatangan ke atas fail kes sebelum penghakiman itu direkodkan di depan hakim.
 
Perlu diingatkan peguamcara tidak boleh menerima, memutuskan dan bertindak sendiri bersetuju dengan apa jua jumlah pampasan yang ditawarkan oleh pihak insuran dalam mana-mana kes, kecuali selepas beliau berunding, menasihati dan mendapat persetujuan nyata daripada anakguam.
Persetujuan ini perlu dizahirkan melalui indosment, pengakuan bertulis dan penurunan tandatangan oleh anakguam sama ada di atas fail, surat atau pun dokumen Nota Perlepasan.

Comments

  1. Jika terjadi seperti cerita diatas, ape yang perlu dibuat atau tindakan yang perlu diambil?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.