URUSNIAGA KENDERAAN SAMBUNG BAYAR

Mutakhir ini urusniaga jual beli kenderaan bermotor secara sambung bayar menjadi satu trend yang popular, menarik, mudah dan ringkas. Mungkin ini didorong oleh keinginan materialistik, sikap bermegah dan ingin sanjungan tanpa mengambil kira kedudukan dan realiti kekuatan kewangan diri masing-masing.
 
Walaupun popular, ringkas, mudah dan menarik tetapi ramai orang yang terjebak dalam urusniaga ini akhirnya sedar dan insaf bahawa tiada jalan mudah, ringkas dan pantas untuk memiliki harta tanpa perlu mematuhi undang-undang.
 
Setiap hari ada saja orang baru yang menjadi mangsa penipuan sama ada mereka disaman oleh agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan JPJ, atau dikena tindakan perundangan oleh pihak bank dan agensi kewangan dan/atau disaman oleh mana-mana individu yang mengalami apa jua kerugian dan kecederaan akibat daripada penggunaan, pengawalan dan pemanduan kenderaan tersebut.

Semua ini berlaku apabila kita segelintir rakyat meremehkan atau memandangkan ringan kepada terma dan syarat dalam perjanjian sewa beli di bawah Akta Sewa Beli 1967. Tanpa berfikar panjang segelintir daripada kita sewenang-wenangnya menjual kenderaan bermotor kepada pihak ketiga untuk mendapatkan wang segera tanpa mendapat kebenaran pihak bank dan tanpa menukar nama dalam geran kenderaan.

Melalui Akta Sewa Beli 1967 ini hak dan kepentingan kedua-dua pihak iaitu pemunya (institusi kewangan) dan penyewa (peminjam) dijamin, dipertahankan dan dipelihara. Ramai penyewa (pembeli kenderaan secara pinjaman bank) tidak memahami atau tidak sedar bahawa mereka bukanlah pemilik atau pemunya kenderaan tersebut sehinggalah mereka melunaskan semua pinjaman pembelian kepada pihak bank (pemunya).

Setiap transaksi atau urusniaga atau jual beli kenderaan bermotor atau apa saja barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli mestilah terlebih dahulu perlu mendapat persetujuan dan kebenaran daripada pihak bank/syarikat kredit yang sebenarnya menjadi pemunya barangan tersebut.

Implikasi utama yang selalu terjadi ialah apabila ada pembeli baru yang sedikit cerdik dan memahami Akta Sewa Beli 1967 ini akan mengambil kesempatan dengan membayar sedikit wang kepada penyewa dan akhirnya dengan wang yang sedikit ini beliau dapat mengguna pakai kenderaan tersebut sepuas-puasnya tanpa perlu terikat membayar ansuran bulanan, tanpa takut implikasi undang-undang, tanpa takut kepada tindakan saman oleh PDRM atau JPJ kerana semua ini akan terikat dan ditanggung oleh penyewa kenderaan tersebut.

Sedarkah anda berapa ramai antara pembeli secara sambung bayar ini telah culas dan lari dari membayar ansuran bulanan, walaupun telah diikat dengan perjanjian bertulis. Terlalu ramai sebenarnya, setiap hari ada saja penyewa baru yang dikenakan tindakan muflis kerana pembeli sambung bayar ini telah melarikan kenderaan dan tidak membayar ansuran bulanan seperti yang dijanjikan kepada pihak bank.

Perlu anda sedari sebagai penyewa dan pemilik berdaftar apa jua kenderaan bermotor anda sememang terikat dan terkait dengan kenderaan tersebut sama ada dari segi pematuhan perjanjian sewa beli, undang-undang jalan raya, undang-undang sivil. Apa sahaja yang berlaku disebabkan kegagalan melunaskan hutang pinjaman semua ini akan terbeban kepada anda, sekiranya kenderaan itu digunakan untuk tujuan jenayah, maka andalah suspek utamanya, sekiranya pemandu kenderaan itu melanggar undang-undang jalanraya raya, maka saman itu akan dipertanggungjawabkan kepada anda. Malah sekiranya kenderaan itu terlibat dalam kemalangan sudah semestinya anda jugalah perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan semua isu dan masalah berbangkit.

Tetapi apa yang orang ramai tidak tahu ialah di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967 memperuntukkan bahawa menjadi satu kesalahan apabila menjual apa-apa barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli tanpa kebenaran dan persetujuan pemunya (bank/syarikat kredit) dan dijika didapati bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

 

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.