Gantirugi Am dan Bagaimana Ia Ditaksirkan

Gantirugi Am adalah meliputi satu bentuk gantirugi yang memerlukan taksiran dibuat oleh pihak Mahkamah Yang Mulia. Tuntutan gantirugi am terdiri daripada gantirugi akibat kecederaan, kesakitan dan kecacatan kekal, kehilangan sumbangan dan tanggungan simati di bawah Seksyen 7 Akta Undang-undang Sivil 1956 (pindaan 1987), kehilangan pendapatan masa depan, kesakitan dan pembedahan masa depan dan kos penjagaan masa depan.

Gantirugi am bagi kecederaan, kesakitan dan kecacatan akan ditaksirkan dalam ruang lingkup berdasarkan autoriti-autoriti atau kes terdahulu yang melibatkan kecederaan serupa yang pernah diputuskan di Mahkamah. Ia boleh ditaksirkan mengikut jumlah pampasan paling minima sehingga jumlah pampasan maksima yang pernah ditaksirkan mengikut ciri-ciri dan keserupaan kecederaan tersebut dalam kes-kes terdahulu yang pernah dibicarakan mengikut kedudukan Mahkamah, dimana Mahkamah Rendah perlu terikat kepada keputusan atau penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah yang lebih tinggi seperti Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Semua keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan akan mengikat keputusan Mahkamah yang lebih rendah daripadanya. Laporan perubatan dan laporan pakar akan dirujuk dan pembuatnya akan disoalbalas di Mahkamah untuk mengesahkan kecederaan tersebut.

Gantirugi am bagi kehilangan sumbangan dan/atau tanggungan simati ditaksirkan di bawah Sesyen 7 Akta Undang-undang Sivil 1956 (pindaan 1987), dimana simati pada masa kematian mestilah dibuktikan adalah seorang yang sihat dan berpendapatan. Secara matematiknya pengiraan untuk gantirugi ini terbahagi dua:-

(a) Simati berusia di bawah 30 tahun pada masa kematiannya

jangka masa sumbangan adalah 16 tahun x 12 bulan x pendapatan bersih tolak kos sara diri simati

(b) Simati berusia 30 tahun ke atas pada masa kematiannya

jangka masa sumbangan adalah 55 tahun tolak (-) umur masa kematian bahagi (/) 2 x 12 bulan x pendapatan bersih tolak kos sara diri simati.

Gantirugi ini perlu dibuktikan dengan kewujudan dokumen asal slip gaji, penyata KWSP dan surat pengesahan pendapatan oleh majikan simati. Dokumen tersebut akan ditender dan pembuatnya akan disoalbalas dalam Mahkamah untuk mengesahkan pendapatan simati.

Gantirugi kehilangan pendapatan masa depan adalah sama seperti kehilangan sumbangan, dimana pada masa kemalangan mangsa mestilah seorang yang sihat dan mempunyai pendapatan, ciri-ciri pengiraan juga adalah serupa dengan gantirugi kehilangan sumbangan.

Gantirugi kos penjagaan mangsa di masa depan memerlukan bukti yang kukuh dengan adanya satu laporan daripada pusat penjagaan yang telah memeriksa dan merawat mangsa dan mengesahkan bahawa mangsa memang memerlukan penjagaan intensif, profesional dan rutin yang berkala. Pembuat atau pengeluar laporan ini akan disoalbalas di Mahkamah untuk mengesahkan bahawa mangsa memang memerlukan penjagaan dan rawatan rutin berkala yang profesional yang tidak boleh didapati jika mangsa tinggal di rumah persendiriannya. Gantirugi ditaksirkan berdasarkan perkiraan umur 68 tahun jangka hayat biasa rakyat Malaysia tolak umur masa kemalangan x kos penjagaan yang dicajkan secara bulanan x 12 bulan.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.