Jadilah Pengguna Bijak

1. Sekitar April-Mei yang lalu saya terpaksa melalui detik yang amat mencabar dalam karier dan kerjaya saya. Tidak pernah termimpi bahawa saya akan menerima ujian, cabaran dan asakan hebat daripada pesaing saya. Setiap hari pesaing itu akan mengganggu client saya sama ada melalui panggilan telefon atau menghantar bouncer semata-mata untuk memberi tekanan, mewujudkan ketakutan dan rasa tergugat dalam diri client saya, dengan objektif beliau bersedia untuk membuat pusingan u dan kembali semula mendapat khidmat dari firma guaman tersebut.

2. Sampai pada satu tahap dan peringkat client saya letih, jemu dan bosan dengan gangguan tersebut. Setiap kali beliau diganggu, saya akan menjadi tempat dia bercerita, mengadu dan meminta pandangan, sampai saya pun kadang-kadang merasa tertekan dengan semua ini kerana privasi dan hidup berkeluarga saya turut terjejas. Ini disebabkan gangguan tersebut terjadi tidak kira hari dan waktu sama ada hari bekerja, siang mahupun malam.

3. Oleh kerana gangguan tersebut semakin kerap dan tekanannya pula makin ketat dan kuat. Akhirnya client memberitahu saya bahawa beliau sudah letih dan tidak mampu menghadapi gangguan ini. Simpati dengan masalahnya, saya rujuk beliau kepada aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk bantuan dan nasihat. Encik Mustafa mencadangkan supaya client saya membuat satu laporan polis dan hadir ke pejabat PPIM untuk membuat aduan rasmi sebelum satu tindakan tepat dapat diambil oleh PPIM.

4. Atas nasihat itu, beliau membuat laporan polis di kawasan kediaman beliau. Malangnya tiada tindakan positif pihak polis dalam menandatangani masalah ini. Client saya masih terus diganggu, beliau diberi opsyen sama ada membayar yuran guaman RM14K secara tunai atau membatalkan notis pembatalan yang dihantar kepada firma tersebut.

5. Dalam situasi ini client saya membulatkan tekadnya dan tidak akan kembali kepada firma guaman tersebut kerana beliau telah melalui satu detik hitam yang amat malang ketika kes ini diuruskan oleh firma tersebut. Beliau ditinggalkan bersendirian terkontang-kanting menghadapi kesakitan dan kesulitan hidupnya akibat kecederaan yang dialaminya yang berpunca daripada kemalangan jalanraya kira 7 bulan yang lalu.

6. 7 bulan yang lalu selepas mendapat maklumat mengenai kemalangan itu, saya terus menghubungi isterinya, membuat temujanji dan memberi nasihat tentang perkara yang perlu diambil dalam kes ini. Keesokan harinya saya bergegas ke hospital bersama isterinya untuk melawat dan mendapat maklumat sebenarnya mengenai kejadian kemalangan itu. Setelah mengenai pasti keadaan dan punca kemalangan, saya dapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pihak ketiga. Oleh kerana beliau adalah kawan lama sekolah saya, saya terus memberi khidmat perundingan mengenai kes ini, saya menasihati dan memberi panduan kepada beliau berkaitan laporan polis, dokumentasi, prosedur dan jangkaan peluang kes ini berjaya.

7. Apabila beliau benar-benar telah faham, beliau terus bersetuju dan melantik firma saya untuk mengendalikan kes ini dan seterusnya menandatangani dokumen waran bertindak. Selang 3 hari kemudian beliau menelefon saya meminta bantuan kewangan untuk urusan pembedahan. Oleh kerana dia adalah kenalan lama, saya tanpa prasangka terus memberi pinjaman ehsan berjumlah RM3k kepadanya. Malangnya selang beberapa minggu selepas itu, saya gagal menghubunginya, taliannya tidak aktif dan kadangkala langsung tidak dijawab dan apabila dijawab saya diberitahu beliau sedangkan menjalani rawatan tradisional di suatu kawasan, itu sahaja. Saya cuba menghubunginya untuk temujanji kerana masa makin suntuk kerana beliau perlu membuat laporan polis berkaitan kemalangan itu. Tetapi saya tidak mendapat respon yang sewajarnya, saya menerima khabar angin beliau telah menukar peguam tanpa penjelasan dan sebab yang sewajarnya.

8. Walaupun sedih dan rasa dikhianati, saya menghubungi beliau tetapi telefonnya langsung tidak berjawap akhirnya hanya dapat menghantar pesan SMS meminta beliau menghantar notis rasmi untuk membatalkan firma saya dan memohon beliau mengembalikan semula wang pinjaman RM3K. Selepas itu saya terus berdiam diri kerana tidak ingin menganggu disamping memberi masa kepada beliau untuk menguruskan hal ini.

9. Malangnya sehingga Mac 2011 beliau masih gagal menghantar notis pembatalan, apatah lagi memulangkan pinjaman tersebut. Di sini saya tiada pilihan lain kecuali menghantar pesanan SMS memberi masa 2 minggu kepada beliau untuk menyelesaikan isu ini ataupun beliau akan menerima saman daripada firma saya. Akhirnya isteri beliau memohon masa 1 bulan untuk menyelesaikan masalah ini.

10. April menjelma saya terus melawatnya, bertanya khabar dan berbincang tentang bagaimana masalah ini dapat diselesaikan secara mudah dalam suasana persahabatan. Tetapi saya dikejutkan bila client ini memberitahu saya bahawa dia terpaksa menunggu tuntutan SOSCO dikeluarkan, barulah dia dapat membayar hutang tersebut. Saya menasihati beliau supaya menghantar notis kepada firma saya dan membuat bayaran dalam masa 14 hari kerana saya tidak mahu firma saya memfailkan saman ke atasnya. Walaupun dia mengkhianati saya, tetapi saya sedih dan simpati dengannya kerana dia ditinggalkan bersendirian menghadapi musibahnya tanpa pembelaan dan bantuan. Apa yang lebih malang beliau diberikan janji-janji manis oleh agen firma guaman tersebut, tapi 1 janji pun tidak ditunaikan, janji tinggal janji.

11. Client ini telah berkali-kali merayu dan memohon kepada firma guaman barunya untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi aduan dan permintaan beliau langsung tidak mendapat tempat dan diberi perhatian oleh firma itu. Akhirnya beliau putus asa dan kembali kepada firma saya untuk meneruskan kesnya. Saya menasihati beliau supaya menghantar notis pembatalan kepada peguam baru tersebut dengan segera.

12. Setelah notis tersebut diterima oleh firma berkenaan, beliau terus sahaja diganggu, ditakut -takutkan dan dipaksa kembali kepada firma tersebut walaupun tiada apa-apa tindakan dan kerja dilakukan oleh firma itu sepanjang mereka mengendalikan kes ini. Setiap hari pasti ada panggilan telefon, ada lawatan daripada bauncer untuk menakutkan client itu. Beliau dipaksa membayar yuran RM14k secara tunai dan tempoh masa yang tidak wajar sebagai bayaran perkhidmatan yang sebenarnya tidak diterima dan diberikan kepadanya. Gangguan ini makin hari makin kerap dan kuat, mula-mula bauncer datang seorang, lepas itu berdua, bertiga, berlima dan akhirnya beberapa biji kenderaan.

13. Mujurlah jiran-jiran beliau prihatin dan sudi membantu untuk menyelesaikan gangguan ini, atas inisiatif beberapa orang jiran beliau, maka beliau dapat bersemuka dengan bauncer kanan firma tersebut. Selepas beberapa siri tawar menawar akhirnya beliau bersetuju membayar RM8k untuk menyelesaikan kes ini. Beliau minta pandangan kami, kami katakan bahawa jika beliau setuju kami nasihatkan beliau membayar sahaja jumlah berkenaan supaya kes ini dapat diteruskan tanpa gangguan. Alhamdullih akhirnya masalah ini dapat diselesaikan apabila beliau menjelaskan jumlah RM8k tersebut.

14. Pengajaran dalam kes ini ialah anda jangan tamak dan gelap mata apabila anda ditawarkan sejumlah wang semasa anda dirawat di hospital. Wang ini adalah seumpama umpan kelihatan enak tetapi akan menjerat hidup anda, merosakan kepentingan dan masa depan anda sendiri. Modus operandi agen firma guaman yang tidak bertanggungjawab ini ialah menabur wang kepada anda dan anda hanya perlu tandatangan surat perlantikan peguam. Tiada penjelasan, tiada perundingan, tiada nasihat, tiada prosedur dan tiada apa-apa keterangan mengenai bagaimana kes anda dijalankan, bagaimana anda akan melalui prosedur kes tersebut, apakah bantuan yang akan diberikan kepada anda, apakah peratus peluang anda memenangi kes itu dan apakah langkah dan tindakan yang patut anda lakukan dari awal hingga kes ini diselesaikan.

15. Tetapi anda cuma diberitahu "peguam kami boleh buat kes ini", "berapa awak mahu duit, kami boleh bagi" dan "kes ini boleh menang, semua kami boleh uruskan". Sepatutnya sebagai pengguna anda perlu bertanya lebih lanjut mengenai prosedur, kos dan kaedah bagaimana kes anda akan dikendalikan. Apabila dapat penjelasan yang memuaskan hati, barulah anda menurunkan persetujuan perlantikan peguam, jangan sesekali bersetuju melantik peguam semata-mata anda disogokkan dengan sejumlah wang kerana mungkin anda akan dapat 3k-5k pada masa itu, tetapi akhirnya di penghujung kes ini anda akan rugi 15k-30k, siapa tahu anda berkemungkinan tidak bernasib baik terpaksa melalui detik-detik malang seperti client saya tadi yang terpaksa membayar RM8k atas perkhidmatan yang langsung diterima dan diberikan kepadanya.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.