Takungan Air, Kemalangan & Implikasinya

Hujung minggu lalu kebetulan hujan turun dengan lebatnya, ini mengakibatkan takungan air banyak di mana-mana kawasan termasuklah di laluan lebuhraya PLUS di sepanjang kawasan Slim River-Kuala Lumpur. Saya percaya antara faktor mengapa laluan ini mudah digenangi air adalah kerana faktor fizikal jalan yang tidak rata, cara pembuatan dan binaan lebuhraya itu terkeluar daripada standard biasa. Tidak perlu tunggu hujan lebat selama 1 jam, cukup sekadar 15 minit saya yakin laluan di situ pasti akan digenangi air dengan pantasnya.

Salah satu kes yang dikemukan ke hadapan saya hujung minggu adalah kejadian kemalangan yang melibatkan sebuah m/sikal dan 2 biji m/kar. Saya sukar mempercayai bagaimana penunggang m/sikal itu boleh terselamat dan hanya mengalami cedera ringan di beberapa anggota badan sahaja, sedangkan beliau sebenarnya telah diseret oleh sebuah m/kar sejauh 4 km jauhnya. Subahanallah!. Saya dimaklumkan kemalangan itu berpunca daripada kewujudan takungan atau lopak air di sepanjang laluan itu yang bila-bila masa boleh mengundangkan risiko kepada pengguna terutamanya penunggang m/sikal. Kerana itu adalah lebih praktikal dan selamat jika penunggang m/sikal berhenti berteduh dan hanya meneruskan perjalanann sebaik sahaja hujan berhenti daripada mengambil risiko dengan meredah kesejukan dan keributan hujan lebat.

Kemalangan itu terjadi apabila m/sikal mangsa termasuk atau terlanggar lopak air sehingga mengakibatkan m/sikal itu hilang kawalan, lalu masuk ke lorong memandu perlahan. (lorong kiri). Oleh kerana jarak penglihatan yang buruk pada masa tersebut, datang sebuah m/kar yang kebetulan lalu di situ tidak sempat mengelak lalu terlanggar m/sikal mangsa. Perlanggaran ini mengakibatkan mangsa terjatuh ke atas laluan memandu dan diseret oleh sebuah m/kar yang lain sejauh 4 km. Bagaimanapun mangsa terselamat kerana kebetulan selepas terjatuh dari m/sikalnya beliau terus pengsan dan diseret sejauh 4 km.


Mangsa dirawat di Hospital Slim River, saya telah berhubung dan berjumpa dengan keluarga terdekat mangsa. Ketika itu dengan penuh semangat membara saya dimaklumkan oleh keluarga terdekatnya bahawa mereka ingin mendakwa dan menyaman PLUS semata-mata kerana kewujudan lopak dan takungan air tersebut. Mereka percaya kewujudan lopak air ini adalah punca utama kemalangan ini. Saya memberi nasihat dan pandangan saya kepada mereka bahawa tindakan menyaman PLUS ini tidak pratikal dan tidak tepat, sekalipun jika mereka ingin dan berhasrat untuk mendapat remedi sivil, pihak yang patut diksaman ialah m/kar pertama yang melanggar m/sikal dan juga m/kar kedua yang menyeret mangsa sejauh 4 km itu , ini pandangan saya. Malangnya pandangan jujur saya tidak disenangi, saya dicurigai, sebelum mengakhiri perbualan saya menasihati mereka supaya tidak tergesa-gesa membuat laporan polis, perlu bertenang, berfikir dan berbincang dengan saya ataupun peguam lain untuk mengelakkan sebarang kesilapan fakta dan perkara undang-undang dalam kes ini.

Malangnya, mungkin disebabkan persepsi negatif dan juga fikiran yang simpit akhirnya mangsa membuat laporan polisnya dengan memasukkan fakta bahawa beliau ada melanggar lopak air lalu hilang kawalan masuk ke jalan sah m/kar pertama dan telah diseret sehingga mendapat cedera oleh m/kar kedua. Dengan kemasukan fakta-fakta ini, ia dengan sendirinya sebenarnya telah mengakui bahawa mangsa adalah subjek dan penyumbang utama kepada kemalangan itu. Kesilapan ini bukan sahaja akan menutup peluang beliau untuk menyaman PLUS, bahkan telah juga menutup peluang beliau untuk mendapatkan remedi sivil daripada pemandu m/kar pertama dan m/kar kedua disebabkan faktor dan hujahan-hujahan seperti berikut:-

1. Beliau penunggang m/sikal yang tidak terikat kepada kontrak atau perjanjian yang mesti dilaksanakan dengan pihak pengendali lebuhraya iaitu PLUS kerana pada masa kejadian mangsa bukan pengguna berbayar seperti m/kar pertama dan kedua yang apabila mereka melalui lebuhraya itu pasti akan dikenakan caj tol;

2. Beliau pada masa itu melalui lebuhraya itu dengan percuma berbanding 2 buah m/kar yang lain. Justeru itu, jika ada tuntutan pihak lebih layak dan tepat atau mempunya locus standi yang cukup untuk membawa tindakan itu adalah pemandu m/kar pertama dan kedua bukannya penunggang m/sikal yang melalui lebuhraya itu secara percuma;

3. Tempat kejadian mempunyai 3 lorong memandu dan 1 lorong kecemasan, m/sikal memilih melalui laluan antara lorong kecemasan dan lorong memandu paling kiri. Setiap pemandu berkewajipan untuk memberi perhatian kepada pemanduannya terutama kepada apa yang wujud di hadapan mereka. Tiada sebab mengapa penunggang m/sikal tidak dapat mengelak ataupun menghentikan m/sikal beliau sebelum dia sampai kepada lopak dan takung air tersebut kerana fizikal jalan adalah lurus dan tiada halangan penglihatan pada masa itu, tetapi saya bersetuju cuaca buruk hujan lebat telah menganggu penglihatan mangsa.

4. Disebabkan itu doktrin Volenti Non Fit Injuria terpakai dalam situasi ini kerana mangsa sebenarnya telah faham dan tahu akan risiko memandu atau meneruskan perjalanan dalam keadaan hujan lebat, dimana kesejukan dan titisan hujan boleh menjejaskan tumpuan dan penglihatan beliau. Beliau tahu ataupun sepatutnya tahu situasi ini akan mengundang risiko bahaya kepada beliau dan juga oleh lain, jika beliau tetap meneruskan perjalanannya dalam keadaan itu. Dalam kes ini beliau memilih mengambil dan mengengam risiko itu apabila dia tetap menunggang dalam cuaca buruk hujan lebat tersebut.

5. Beliau subjek dan punca kemalangan kerana kemalangan ini berlaku hanya apabila beliau masuk lopak air dan kemudiannya terbabas ke laluan m/kar pertama dan kemudiannya diseret oleh m/kar kedua.

6. Jika faktor takungan air dihujahkan, ini adalah disebabkan faktor end of the god kerana sebagai manusia yang waras dan ada pertimbangan kita seharusnya tahu bahawa dalam keadaan hujan kita perlu berwaspada mungkin 5 kali lebih berbanding waktu biasa. Jika kita berwaspada sudah pasti kita akan dapat melihat kewujudan takungan air jika kita beri perhatian penuh kepada pemanduan dan perkara-perkara yang wujud di hadapan kita. Melainkan kita tidak fokus, lalai, abai barulah kita akan gagal menyedari kewujudan takungan air tersebut.

7. Sebaliknya jika berlaku sebarang kerosakan pada harta awam yang wujud di sekitar tempat kejadian sepatutnya pihak PLUS mempunyai locus standi yang kuat dan kukuh untuk menuntut remidi sivil terhadap m/sikal berbanding penunggang m/sikal itu sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.