LAPORAN PERUBATAN PAKAR (SPECIALIST REPORT)

 1. Orang kita memang diakui gemar kepada perkara yang pantas, laju dan ekspres. Orang kita sangat alah kepada masa, dalam serba serbi mereka ingin cepat dan pantas. Umpamanya makan cepat, solat cepat, belajar cepat, pokoknya dalam semua urusan dan perkara masa dan kecepatan adalah perkara utama yang diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. Tetapi mereka terlupa kepada persoalan kualiti.
 
2. Justeru itu, oleh kerana kita begitu obses kepada semua perkara dan hal yang cepat dan ekspres, jadi tidak hairanlah sekiranya ramai orang kita juga jadi mangsa penipuan dengan cepat dan ekspres, sebagaimana kita suka kepada hal dan perkara ekspres, begitulah natijah akhir yang kita terima iaitu kena tipu juga dalam keadaan secara cepat dan ekspres.
 
3. Masyarakat kita menolak untuk memberi sedikit masa dan ruang bagi meneliti, menyemak dan menimbangkan sesuatu perkara itu secara rasional, asalkan apa yang mereka dengar atau pun lihat itu sesuatu yang untung dan cepat, mereka terus percaya dan yakin. Langsung tiada semak dan imbang. Disinilah kunci kejayaan seorang penipu mereka tahu anda suka kepada hal dan perkara yang cepat dan ekspres.
 
4. Saya acapkali dipertanyakan atau setidak-tidaknya dipersoalkan sama ada dokumen laporan perubatan pakar (specialist report) adalah suatu keperluan yang kuat dan asas dalam suatu kes tuntutan kemalangan. Ini terjadi kerana ada tout, agen, ulat dan wakil guaman yang memberi informasi yang salah dan mengelirukan pengguna. Dalam perbincangan atau konsultansi mereka ini cuma memberi fokus utama kepada kecepatan dan betapa ekspresnya mereka menyelesaikan kes tuntutan kemalangan. Ada yang mendakwa boleh menyelesaikan kes melibatkan mangsa yang mengalami cedera patah anggota badan dalam tempoh masa 5 bulan selepas tarikh kemalangan.
 
5. Boleh dikatakan, majoriti tout, agen, ulat dan wakil guaman yang berkeliaran mencari mangsa di wad-wad hospital dan balai polis trafik adalah individu yang tidak ada pengalaman, terlatih dan berpendidikan dalam bidang undang-undang. Tetapi harus diakui mereka ada bakat ayat power dan mulut manis yang sangat hebat. Di hadapan mangsa mereka boleh jadi sesiapa, boleh jadi hakim yang memutuskan award pampasan, boleh jadi peguam yang handal memberi jaminan semua perkara ok dan boleh diuruskan, menjadi seolah-olah io kes accident, malah kuasanya lebih hebat daripada pegawai PDRM sendiri.
 
6. Mari kita hentikan semua lakonan di pentas ini dan jangan beri kesempatan dan ruang yang besar kepada sipenipu itu untuk mengambil kesempatan ke atas kejahilan dan keterujaan kita kepada kecepatan dan kepantasan. Hari ini saya akan berkongsi dengan anda semua mengenai keperluan dokumen laporan perubatan pakar, anda akan tahu dan sedar betapa pentingnya kes anda perlu diuruskan oleh peguam yang sabar, tekun, teliti dan tidak berputus asa.
 
7. Ketahuilah apabila anda terlibat dalam suatu kejadian kemalangan dan anda perlu segera untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik atau hospital yang diiktiraf oleh majlis perubatan Malaysia dan KKM. Kemudian peguamcara anda akan memohon laporan perubatan daripada klinik atau hospital tersebut. Apakah kandungan utama laporan perubatan awal (initial medical report)?
 
8. Laporan perubatan awal biasanya cuma mengandungi fakta dan maklumat mengenai diri mangsa, sejarah kejadian dan rawatan, diagnosis kecederaan, rawatan dan ubatan yang diberikan kepada pesakit serta perkembangan pesakit. Biasanya maklumat ringkas diberikan mengenai proses rawatan pesakit ketika pesakit dalam rawatan pemulihan. Tempoh biasa yang dicadangkan untuk proses rawatan dan pemulihan oleh kebanyakkan doktor pakar ialah sekurang-kurangnya 9 bulan selepas tarikh kemalangan. Sebelum tempoh masa ini pesakit cuma boleh disahkan sedang mengalami kecacatan atau hilang upaya sementara sahaja.
 
9. Oleh itu adalah menjadi keutamaan dan keperluan yang sangat munasabah untuk merujuk pesakit kepada doktor pakar bagi melakukan suatu pemeriksaan dan ujian intensif bagi memeriksa dan mengesahkan sama ada pesakit itu ada mengalami kecacatan dari segi fizikal, emosi dan mental, hilang upaya  sementara atau kekal yang mungkin boleh menjejas kehidupan, pekerjaan, hubungan sosial pesakit dengan masyarakat.
 
10. Tanpa adanya laporan perubatan pakar disediakan dalam kes tuntutan kemalangan pesakit itu tidak dapat membuktikan apa-apa kecuali kecederaan yang beliau alami ketika kejadian kemalangan ini berlaku. Kita harus sedar kecederaan itu pula boleh sembuh dan pulih sama ada pulih sebahagian atau sepenuhnya. Malangnya ini tidak dapat disahkan dengan hanya berpegang kepada laporan perubatan awal sahaja.
 
11. Boleh dikatakan kes yang diselesaikan dalam tempoh masa 6 bulan ke bawah adalah satu kes yang diuruskan secara cepat, cincai dan ekspres. Situasi ini sama seperti kita melantik tukang rumah untuk menyiapkan rumah dengan cepat, laju dan ekspres, mereka akan siapkan dengan cepat tanpa memberi perhatian kepada kualiti sama ada fizikal atau kekuatan dan keutahan bangunan asalkan cepat siap. Kerja yang pantas tanpa kecermatan selalu akan menghasilkan kualiti fizikal yang buruk, tidak kukuh dan tahan.
 
12. Sama juga dengan pengendalian kes tuntutan kemalangan, peguamcara yang bagus dan berpengalaman tidak akan mengendalikan kes anda secara semberono, cincai dan cepat. Mereka sangat memberi perhatian kepada keadilan dan kepentingan anda sebagai manusia, mereka sangat prihatin akan kemungkinan anda akan mengalami masalah kesihatan, kehidupan, pekerjaan dan hubungan sosial dengan masyarakat. Justeru itu mereka tidak akan mengambil tindakan menyelesaikan kes anda tanpa mereka rujuk anda kepada doktor pakar untuk pemeriksaan dan pengesahan kecacatan, hilang upaya dan  kesan lain yang kekal akibat atau timbul daripada kecederaan yang alami dalam suatu kemalangan.
 
13. Selain itu, prosedur tuntutan SOSCO dan insuran hayat juga memerlukan anda untuk menjalani suatu pemeriksaan dengan panel doktor pakar yang dilantik oleh SOSCO atau syarikat insuran hayat selepas tempoh 12 bulan selepas anda mendapat kecederaan dalam suatu kemalangan. Tanpa laporan perubatan pakar anda tidak layak sama sekali untuk menuntut gantirugi pampasan bagi kecacatan atau hilang upaya kekal. Begitu dalam kes sivil tuntutan kemalangan, tanpa laporan perubatan pakar anda tidak layak untuk menuntut pampasan gantirugi kecacatan, hilang upaya, hilang keupayaan pendapatan masa depan, hilang keseronakan hidup, hilang peluang berkahwin dan lain-lain lagi. Diharap penulisan ini dapat memberi kefahaman yang betul kepada pengguna, pengguna smart adalah pengguna yang bijak dan bermaruah.
 
#karlzkampau #paralegal #tuntutankemalangan #initialmedicalreport #specialistreport #accidentclaim #penggunabijak #penggunabermartabat #penggunabermaruah
 
 
 
 
 
 

Comments

  1. salam, saya nak tanya tentang kemalangan di tempat kerja akibatnya berlaku compression fracture pada tulang belakang. adakah patah/retak pada tulang belakang dikira sebagai permanent disablement?

    ReplyDelete
  2. walaikumsalam,
    Cuma pakar orthopedik yang boleh membuat dan memberi pengesahan berhubung kecederaan en sama ada ianya cacat kekal atau cacat sementara

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.