KENAPA KARLZ KAMPAU? APA OBJEKTIFNYA
Sudah agak lama saya tidak berkesempatan dan mempunyai masa untuk menulis artikel terbaru atau mengemaskini blog saya. Seiring dengan bertambahnya usia, begitu juga tanggungjawab dan komitmen saya kepada kerjaya dan keluarga. Rutin dan jadual kerja saya begitu padat sehingga kadangkala terlajak sehingga ke hari minggu, walaupun isteri saya begitu memahami kerja dan kesibukan saya, namun kadangkala dia juga meluahkan rasa dan keprihatinannya bahawa saya perlu berehat untuk mengumpulkan kekuatan dan kecerdasan.
Sejak dulu lagi saya kerap disapa dan ditanya oleh pembaca, mereka keliru dengan nama pena saya Karlz Kampau. Paling lucu ada yang menyangka saya bukan orang melayu dan beragama islam. Tapi saya tidak pernah menjawab atau sekurang-kurangnya memberi maklum balas kepada pertanyaan dan persoalan itu. Tetapi apabila semakin kerap pertanyaan serupa berulang dan berputar dari seorang pembaca kepada pembaca yang lain, akhirnya memilih untuk menjawab pertanyaan anda semua dalam penulisan ini.
Saya cukup sedar dan faham walaupun ada segelintir pembaca blog ini terdiri dari agen dan runner kes kemalangan, namun saya berbesar hati anda semua sudi membaca penulisan saya, memikirkan idea dan kritikan saya. Setidak-tidaknya saya berkongsi ilmu pengetahuan dengan anda semua, tidak kiralah samaada anda peguam, pelanggan, agen, runner, polis dan mangsa kemalangan ataupun orang ramai. Saya gembira dan merasa puas kerana kewujudan blog ini dan semua penulisan didalamnya bukan berniat untuk komersial dan kewangan, tetapi dengan objektif yang lebih luas dan besar iaitu saya ingin menjadikan blog ini sebagai medium sumbangan dan perjuangan saya demi memenuhi keperluan fardu kifayah, demi kebaikan dan perubahan kepada masyarakat. Jujurnya setiap kali bertemu dengan mangsa penipuan lawyer kes accident, saya merasa kesal dan sangat bersalah kepada diri saya sendiri kerana tidak dapat membantu mereka dan mencegah penipuan itu dari berlaku. Kini apa yang saya boleh lakukan untuk membantu mereka cuma berkongsi maklumat dan ilmu yang ada, dengan harapan ini dapat membantu dan membimbing mereka yang terlibat.
Setidak-tidaknya saya dapat berkongsi ilmu pengetahuan ini yang dikutip sejak 19 tahun yang lalu melalui master dan guru-guru hebat saya. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada master dan guru saya, mereka inilah yang membuka minda, mendidik pemikiran dan idealogi kerja saya. Sepanjang 19 tahun ini saya banyak menimba ilmu secara langsung dan tidak langsung dengan master dan guru-guru saya Peguam S.Kunasekaran, Peguam Farhan Abd Hamid, Peguam Tong Veng-Ky, Peguam Lim Bee Leong dan Peguam David Churme. Mereka ini banyak mencurahkan ilmu semasa saya bertugas di sisi mereka sebagai pembantu, setiausaha dan akhirnya paralegal. Saya bersyukur melalui pendidikan dan galakan ilmu daripada mereka dan secara kebetulannya majoriti mereka bukan melayu dan islam, apa yang utama dalam pembelajaran saya ialah melayan manusia secara adil dan berintergriti.
Dari jendela hati saya pengguna boleh merubah keadaan buruk yang berlaku hari ini apabila mereka bersedia melakukan transformasi. Transformasi kepada diri sendiri, cara berfikir dan bertindak. Rata-rata mereka yang selalu menjadi mangsa penipuan adalah mereka yang malas untuk mencari maklumat, malas bertindak balas kepada maklumat dan selalunya meletakkan diri sendiri dan nasibnya secara total kepada orang lain. Berhentilah bersikap begini, percayalah kepada diri sendiri dan keluarlah dari kebiasaan.
Kenapa Karlz Kampau?Apa Istimewanya
Karlz Kampau ini cuma nama pena saya sahaja, tetapi ia cukup istimewa kepada saya sehingga kadangkala nama Karlz Kampau seolah-olah telah menenggelamkan pula nama sebenar saya sendiri di alam realiti. Idea yang mencetuskan kewujudan nama Karlz adalah daripada nama kedua saya sendiri iaitu KALAM. Nama KALAM ini begitu popular dan amat serasi sejak kecil dan sampailah kini. Pada usia dewasa ini masih ramai saudara mara, teman sepermainan dan rakan sekolah masih memanggil saya dengan nama KALAM ini. Malah ibubapa saya sebati dan gemar memanggil saya dengan nama ini.
Nama KARLZ ini terbit atau berpunca daripada singkatan nama KAL, kemudian saya mengambil huruf permulaan nama ibunda saya R dan ayanda saya Z. Akhirnya daripada kombinasi dan gabungan tersebut lahir nama KARLZ. KAMPAU pula diambil daripada perkataan dalam dielek bahasa melayu suku kampar. Suku kampar ini wujud dan berasal dari Riau Indonesia, terdiri dan tergolong dalam kelompok suku minangkabau, jadi amat tidak hairanlah kalau budaya, adat dan bahasa kedua-dua suku melayu ini hampir sama.
Sejak kecil lagi saya membesar, diasuh dan hidup dikalangan dalam masyarakat kampar yang mempunyai jatidiri yang kuat di Tanjong Malim, Perak. Saya diajar untuk menjaga jatidiri dan mengamalkan bahasa dan budaya masyarakat kampar. Justeru itu, bila dewasa saya tidak lupa membawa nama masyarakat dan suku kaum saya di belakang nama saya. Cinta saya kepada masyarakat, budaya, adat dan bahasa kampar semakin kuat dan berkembang apabila saya berkenalan dengan Dato Amir Guntur Kampar Putra, Presiden IKMAL ( Persatuan IKatan Masyarakat Kamparputra Malaysia) dan menjadi ahli NGO ini pada tahun 2009. Sejak itu saya terus mengabungkan nama saya KARLZ bersama KAMPAU dan saya cuma ingin dikenali dalam bidang penulisan blog ini sebagai KARLZ KAMPAU dan untuk diri saya sendiri sebagai KALAM kerana nama ini dianugerah dan diilhamkan oleh datuk sebelah ibu saya sendiri, apa maksud KALAM ini?KALAM ini membawa maksud bicara dan kata-kata, saya rasa sangat istimewa dengan nama ini dan kalau boleh biarlah setiap bicara dan perkataan yang keluar dari hati dan mulut saya ini boleh mendatangkan manafaat, kebaikan dan perubahan kepada masyarakat. Insyallah wallahualam.
Comments
Post a Comment