Kemalangan Jalanraya di Malaysia

Statistik kemalangan jalanraya makin meningkat saban hari, makin banyak lebuhraya dan jalanraya dibina, makin hebat dan canggih pembinaannya, makin kerap kemalangan berlaku. Begitu banyak korban nyawa, kepayahan, kesusahan, keperitan, kerosakan harta benda yang diakibatkan oleh kejadian malang tersebut.
Makin banyak kemalangan berlaku, makin banyak korban nyawa, kecederaan tubuh badan dan kerosakan harta benda serta kerugian wang ringgit terjadi. Semua ini berpunca dari sikap manusia itu sendiri iaitu pemandu yang cuai, lalai, mementingkan diri sendiri, tidak cekap, tidak mahir, gopoh ketika memandu, tidak mempunyai lesen memandu, membawa muatan berlebihan dan membawa muatan tersebut secara tidak selamat.
Bayangkan betapa banyak kerugian nyawa, harta benda dan wang ringgit dialami oleh mangsa dan bukan sedikit kesukaran dan kepayahan dialami oleh mangsa tersebut. Oleh itu di bawah undang-undang negara ini, mangsa kes kemalangan boleh memperoleh kedua-dua remedi sivil dan jenayah dan bukan semua kes kemalangan jalanraya berakhir dengan pendakwaan dan sabitan terhadap mana-mana pihak, walaupun melibatkan kemalangan maut.
Ini kerana seseorang pemandu itu mungkin melakukan kecuaian berhubung pemanduan kenderaan, namun ianya tidak disokong oleh bukti yang mencukupi, sedangkan dalam kes jenayah elemen yang utama adalah beban pembuktian mestilah melebihi paras keraguan. Ketiadaan bukti yang mencukupi menyebabkan tiada pendakwaan dilakukan terhadap mana-mana pihak walaupun dalam kes tersebut melibatkan kecederaan, kerosakan harta benda dan korban nyawa.
Bagaimanapun ini tidak bermakna mangsa atau waris mangsa kemalangan tidak berpeluang mendapat apa-apa remedi. Mereka masih berpeluang memperoleh remedi sivil dalam bentuk pampasan dan gantirugi untuk membantu meringankan penderitaan mangsa. Lazimnya pembuktian untuk kes sivil berpanduan kepada prinsip imbangan kebarangkalian dan beban bukti tersebut perlu dilepaskan oleh pihak yang mendakwa telah berlaku satu kecuaian dalam pemanduan oleh mana-mana pihak yang telah mengakibatkan kepada kehilangan, kecederaan, kerosakan dan kerugian wang ringgit kepada mangsa tersebut.
Pada hari ini orang ramai sering keliru berkenaan fungsi seseorang peguamcara yang mengendalikan kes kemalangan untuk memperoleh remedi sivil tersebut. Terdapat andaian kakitangan firma guaman yang mengendalikan kes kemalangan untuk memperoleh remedi sivil ini adalah wakil syarikat insuran bagi mendapatkan pampasan insuran.
Penulis berpendapat situasi ini berlaku mungkin disebabkan persepsi umum bahawa hanya wakil insuran yang menguruskan hal berkenaan pampasan bila seorang itu terlibat dalam kemalangan jalanraya. Kecetekkan pengetahuan mengenai hak-hak memperoleh remedi sivil telah mengakibatkan masyarakat menyamakan wakil atau kakitangan firma guaman dengan wakil insuran setiap kali saya berurusan dan bertemu mangsa kemalangan jalanraya bagi memulakan suatu prosiding bagi memperoleh remedi sivil tersebut.
Namun situasi ini juga terjadi kerana disebabkan wakil atau kakitangan firma guaman yang ditugaskan bertemu dan berurusan dengan mangsa kemalangan tersebut tidak terlatih dan tidak mempunyai pengetahuan undang-undang yang mencukupi, telah memberi input dan maklumat yang salah mengenai cara, prosedur dan tindakan bagi memperoleh remedi sivil di mahkamah semasa berurusan dengan mangsa. Ini telah menyebabkan masyarakat telah terpesong jauh daripada mendapat penjelasan dan nasihat yang betul sebelum memulakan prosiding tindakan sivil tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.