Mengapa Kenderaan Anda Perlu Dilindungi Insuran?

Bayangkan pada suatu hari anda terlibat dalam satu nahas jalanraya yang dahsyat dan ngeri, serpihan kaca dan komponen kenderaan bertaburan di atas jalan, manakala tumpahan darah merah membasahi jalan tersebut. Dalam kemalangan ini, anda didapati mengalami kecederaan patah tulang femur dan patah tulang radius and ulna, manakala kenderaan anda pula remuk dan mengalami kerosakan teruk, berkemungkinan boleh ditaksirkan sebagai total loss. Siasatan pegawai penyiasat trafik pula mendapati kemalangan ini berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan pihak ketiga.
Secara ringkasnya akibat tragedi ini anda telah menjadi orang kurang upaya sementara, penganggur terhormat kerana tidak dapat menjalankan pekerjaan anda seperti biasa akibat masalah kesihatan yang anda dialami selepas kemalangan tersebut. Manakala itu, kenderaan anda terbiar sepi dan tersadai di luar premis membaiki kenderaan tanpa apa-apa tindakan untuk melindungi kepentingan dan kerugian anda dalam kemalangan ini kerana sebenarnya kenderaan anda tidak dilindungi oleh polisi insuran komprehensif melainkan oleh polisi insuran pihak ketiga semata-mata, sedangkan syarikat kewangan telah mengeluarkan notis penarikan kerana anda gagal melunaskan ansuran kenderaan sekian lamanya.
Anda telah menemui dan berjumpa sekian ramai peguam untuk memulakan prosiding bagi mendapatkan remedi sivil bagi tujuan menuntut gantirugi dan pampasan daripada pemilik dan pemandu kenderaan pihak ketiga tersebut. Tetapi sekian ramai peguam tersebut tidak terdaya dan menolak kes ini, bukan kerana mereka tidak mahir dan tidak pakar, tetapi semata-mata kerana kenderaan pihak ketiga tersebut pada masa kejadian tidak dilindungi insuran, manakala itu kenderaan anda pula hanya dilindungi dengan insuran pihak ketiga sahaja.
Akhirnya setelah bersusah payah, anda berjaya membawa prosiding ini terhadap pihak ketiga dan satu penghakiman telah didapatkan. Tetapi di akhir episod ini, anda tetap menjadi mangsa dalam semua keadaan kerana anda bukan sahaja cedera, hilang upaya, hilang kerja, hilang kereta, hilang duit, tetapi juga terpaksa menanggung kos guaman yang tinggi, sedangkan penghakiman yang didapatkan itu tidak memberi sebarang kesan dan memberi makna untuk membantu dan melindungi semua kerugian, kehilangan dan perbelanjaan yang telah dialami kerana ia tidak dapat dikuatkuasa ke atas pihak ketiga disebabkan dia juga adalah individu yang lemah dan terhad dari segi kemampuan kewangan.
Kesimpulan dari kisah di atas, saya amat bersetuju dan berterima kasih dengan dasar dan tindakan kerajaan yang memansuhkan pembelian premium insuran pihak ketiga, sebaliknya menetapkan setiap kenderaan bermotor perlu memiliki polisi insuran komprehensif bila berhasrat memperbaharui cukai jalan bagi kenderaan motor pada tahun ini.
Kerajaan sepatutnya telah lama menjalankan dasar dan tindakan ini untuk melindungi kepentingan awam memandangkan statistik kemalangan jalan sentiasa meningkat dari masa ke semasa. Bagaimanapun hukuman ke atas pesalah yang memandu kenderaan yang tiada perlindungan insuran perlu ditambah, memandangkan banyak kerugian, penderitaan dan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh orang ramai yang telah menjadi mangsa kemalangan yang melibatkan kenderaan tiada perlindungan insuran tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.