Anda Berperanan Mengubahnya Jangan Sampai Sikap Dan Amalan Ini Menjadi Habit Yang Berleluasa Dalam Masyarakat

Isnin lalu saya dimaklumkan oleh rakan-rakan berkenaan suatu kemalangan yang berlaku di satu lokasi dalam kawasan Slim River, berdasarkan maklumat awal penunggang dan pembonceng berkemungkinan mendapat kecederaan parah. Saya membuat semakan di balai polis dan hospital untuk mendapatkan pengesahan maklumat tersebut. Siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu m/van pihak ketiga yang memasuki jalan sah m/sikal.


Kedua-dua mangsa bekerja sebagai buruh ladang dan esoknya saya diperkenalkan kepada penyelianya, penyelia itu memberitahu saya bahawa dia diberi kuasa untuk menguruskan hal dan perkara berkenaan kes kemalangan ini oleh keluarga mangsa yang berada di luar kawasan serta diberi mandat oleh mangsa sendiri. Oleh kerana saya percaya bahawa beliau ada kuasa penuh, maka saya mula memberi taklimat dan konsultansi berkaitan kes ini. Selepas itu kami terus ke hospital untuk melawat mangsa untuk melihat kecederaannya dan bagi mendapatkan mandat daripadanya supaya kes ini dapat dibuka dan tindakan segera yang perlu dapat diambil.

Selepas berjumpa mangsa dan mendapat mandat darinya, saya memohon untuk beredar kerana perlu ke balai polis untuk membuat tindakan susulan. Tiba-tiba sipenyelia ini tanpa ragu-ragu terus membuka mulut meminta saya membayar beliau duit minum teh berjumlah RM300.00, dia kata sebelum ini dia banyak bagi kes kepada lawyer dan RM300.00 adalah pengeras biasa untuk sumbangan beliau. Saya tergamam dan terkejut kerana orang yang sama ketika berada di katil mangsa kelihatan dan bersikap prihatin, penuh kasih sayang dan bertindak hanya untuk membantu mangsa, tapi bila sahaja kakinya melangkah keluar walaupun hanya sebelah kaki dari wad itu, terus sikap beliau berubah 100%. Orang yang saya kenali sebelum ini seorang lelaki budiman, baik dan penuh kasih sayang berubah menjadi orang terdesak, hipokrit dan meminta-minta. Penyelia tersebut tanpa segan dan ragu-ragu meminta dan mendesak saya membayar beliau RM300 kerana atas recommendation beliau, maka saya dapat kes anak buahnya itu. Beginilah sikap ulat-ulat, broker dan agen berkepentingan, mereka adalah pelakon yang hebat, boleh menukar diri dan wataknya dalam sekelip mata, apa yang penting dan utama dalam kotak pemikiran adalah duit dan wang, lain-lain perkara tidak penting bagi mereka termasuklah hal berkenaan kebajikan dan kepentingan diri mangsa itu sendiri.

Pagi ini sebelum bertolak ke Hospital Teluk Intan untuk melawat seorang lagi mangsa, saya telah dimaklumkan oleh penyelia tersebut bahawa keluarga mangsa telah berada di sana, mereka ada peguam sendiri. Saya meminta no hand phone bapa saudara yang menjadi ketua dan jurucakap bagi keluarga mangsa. Saya dapat bercakap dengannya dan memperkenalkan diri saya, sempat juga saya memohon untuk melawat mangsa dan jika berkesempatan saya ingin berjumpa dengannya, beliau berjanji untuk menelefon saya semula. Setelah menunggu hampir 10 minit dan ketika saya hampir membatalkan rancangan untuk ke Hospital Teluk Intan, tiba-tiba jurucakap keluarga mangsa menghubungi saya, beliau terus meminta saya membayar RM500 untuk beliau dan RM500 lagi kepada penyelia tadi. Saya terus memberitahunya permintaan ini adalah melampau dan saya tidak kesal jika saya tidak dapat kes ini kerana tiada gunanya saya mengambil kes ini jika saya bukan saja akan rugi, malahan terpaksa mengeluarkan dana dan perbelanjaan dari poket sendiri semata-mata untuk membela kepentingan kedua-dua mangsa, sedangkan kedua-dua mereka sipenyelia dan sijurucakap senang-senang telah membuat duit dan untung atas angin dengan mengambil kesempatan atas musibah orang lain tanpa menghadapi apa-apa risiko kerugian, kewangan, masa dan komitmen berpanjangan ketika kes ini berjalan sampai ianya dapat diselesaikan sepenuhnya. Sebagai penghargaan kepada usaha mereka akhirnya saya bersetuju untuk membayar RM500 sahaja dan nilai ini hendaklah dikongsi bersama oleh sipenyelia dan sijurucakap itu.

Saya terus bersyarah kepada sijurucakap bahawa kami ini mengambil semua risiko, meletakkan semua masalah dan persoalan yang timbul ataupun bakal timbul kepada mangsa sama ada hal berkaitan kebajikan, pengurusan kes, kemungkinan kesilapan dan kealpaan mangsa dalam memberi keterangan dan kerjasamanya kepada mana-mana pihak yang memungkin kes ini ditolak oleh mahkamah dalam otak dan pemikiran kami selama mana kes itu hidup dan aktif di pejabat kami. kami hanya akan dapat merasa lega dan tidur lena apabila kes ini telah ditutup dan mangsa telah menerima wang penghakimannya sebagai pampasan atas kecederaan dan kerugian akibat kemalangan itu. Sementara kes itu masih hidup dan aktif kami tetap akan menanggung segala risiko kewangan dan perbelanjaan bagi memulakan prosiding tindakan sivil kes ini di Mahkamah, ini tidak termasuk risiko perlu menanggung kos peguamcara Defendan/Insuran jika kes ini ditolak oleh Mahkamah. Jika kes ini aktif dan hidup dalam pejabat kami selama 1-2 tahun ataupun 3 tahun, selama itulah kami akan terpaksa melayani semua persoalan ini tanpa jemu siang dan malam, sedangkan ulat-ulat, broker dan agen senang-senang membuat duit RM1000 tanpa mengambil sebarang risiko, tanpa mengeluarkan perbelanjaan, tanpa memberi komitmen yang berpanjangan terhadap kes tersebut, cukup dengan hanya membuat recommendation dalam masa 1 hari boleh untung RM1000 tanpa kos, untung bersih tanpa risiko rugi, bukankah ini namanya mengambil kesempatan atas kesusahan, musibah dan kesulitan orang lain.

Sistem ini memang telah lama dipratikkan, ia telah merosakan pemikiran manusia, menghilangkan sifat belas ehsan, menghilang sifat kasih sayang, menghilangkan keprihatinan tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa. Tetapi sistem dan sindrom ini lebih mudah merasuk dan masuk ke dalam sesuatu masyarakat itu atau lebih cenderung terjadi kepada individu ataupun masyarakat yang gagal untuk menimba ilmu, yang malas untuk menambah pengetahuan, yang malas untuk berfikir, tetapi suka percaya ataupun mengambil mudah atas urusan diri mereka serta meletakkan kepentingan diri sendiri ke atas bahu orang lain, sedangkan orang itu sebenarnya sedang membuat urusniaga, menjual kepentingan diri kita, mengambil musibah dan masalah kita sebagai satu urusan perniagaan yang amat menguntung sehingga orang ini sanggup mengambil atau bersetuju dengan mana-mana firma guaman tanpa mereka mengetahui dan membuat semakan atas profile firma tersebut, tanpa tahu bagaimana sikap, amalan dan profesionalisme yang diterapkan oleh firma itu, tanpa ambil peduli mengenai kos dan yuran guaman yang akan dikenakan, tanpa ambil peduli akan keikhlasan, kecekapan, kebijaksanaan dan pengalaman firma dalam kes kendaliannya. Ya semua ini mereka tidak peduli, apa yang utama dan penting adalah BERAPA JUMLAH RM YANG MEREKA DAPAT jika kes itu diberikan kepada lawyer itu.

Saya berpendapat sistem amalan ini adalah sistem yang rosak bukan sahaja dari segi moral keagamaan tetapi juga bertentangan dengan akhlak kemanusiannya. Sistem ini perlu dihapuskan dan digantikan dengan sistem yang baru berteraskan kepada masyarakat madani dan penyayang. Setiap individu perlu ambil tahu, menimba pengetahuan, rajin membaca dan peka kepada hak diri masing-masing. Jangan beri ruang kepada para dan pakar manipulasi untuk mengambil kesempatan atas apa jua kepentingan diri kita. Kepentingan dan kebajikan diri kita adalah hak diri kita, kita tidak patut menyerahkannya kepada orang lain, jika ini berlaku ruang untuk manipulasi akan terbuka luas kerana kita malas untuk mendalami, menyelidiki dan ambil tahu akan sesuatu perkara sama ada kecil ataupun besar. Anda boleh menerima nasihat dan pandangan orang lain, tetapi andalah yang berhak memutuskan dan mempertimbangkan suatu keputusan kerana andalah yang akan menanggung risiko atas kesilapan dan kesalahan anda dalam suatu perkara itu. Umpama anda memutuskan untuk percaya kepada penyelia anda, penasihat anda ataupun jurucakap keluarga anda tanpa anda mengambil tahu mengenai profile peguam, caj dan yuran guaman yang bakal dikenakan, bagaimana kes itu dijalankan, maka jika anda tersilap memilih dan melantik peguam yang salah, yang mengenakan caj berlebihan untuk menyerapkan kos-kos yang tidak sepatutnya umpamanya kos ulat-ulat, broker dan agen, kos pengangkutan kerana melantik peguam yang berpangkalan di luar kawasan kejadian contohnya kemalangan berlaku di Hulu Bernam, tetapi anda melantik peguam dari Alor Setar, memang diakui semua peguam boleh mengendalikan kes ini, tetapi apa yang berbeza adalah perbelanjaan yang dikeluarkan, jika anda melantik peguam dari Tg. Malim ataupun Kuala Kubu Bharu, kos pengangkutan tidak akan melambung tinggi kerana jarak di antara pejabat peguam itu dengan jarak mahkamah tidak melebihi 25KM yang mana kos pengangkutan paling tinggi RM30 sahaja.

Jika sistem yang rosak dan tidak bermoral ini dibiarkan berterusan, saya bimbang dalam masyarakat kita sudah tidak wujud insan yang prihatin, insan yang berkebajikan, insan yang ikhlas. Tetapi apa yang wujud adalah individu atau satu watak yang hipoktrik, pelakon yang hebat, pembicara yang manis tutur katanya dan boleh bertukar menjadi pendesak yang begitu terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan tanpa menilai sama ada jalan dan cara ini patut atau lebih keagamaan lagi adakah cara dan jalan ini selari dengan cara dan kehendak yang dituntut oleh agama kita, agama terbaik manusia iaitu ISLAM. Anda berhak memikirkan dan memutus sama ada kita sama-sama perlu berubah ataupun sistem ini dibiarkan terus menerus menghantui kita, generasi kita, perubahan bermula dari diri sendiri, kemudian kepada keluarga dan seterusnya terus kepada masyarakat, jika anda tidak bermula hari ini, bila lagi perubahan akan berlaku?

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.