Bagaimana Mangsa Kemalangan Berperanan?

Satu sistem berjaya atau dapat beroperasi di tengah-tengah masyarakat sekiranya masyarakat itu menerima, menyokong dan mengamalkan sistem itu. Sehebat dan sekukuh mana pun pengaruh sistem itu, jika ia dipaksikan oleh sifat-sifat yang negatif seperti penipuan, manipulasi, menolong orang yang zalim, menzalimi orang yang lemah, pasti suatu hari nanti sistem itu berkubur dan akan digantikan dengan satu sistem baru yang lebih adil, budiman dan ehsan asalkan sahaja masyarakat di sekelilingnya inginkan perubahan dan perubahan itu disokong dengan jitu dan tanpa jemu oleh masyarakat itu.

Sebenarnya masalah ulat, broker dan agen yang berleluasa pada masa kini yang mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan bukan sahaja terhadap mangsa kemalangan tetapi juga terhadap pengamal undang-undang masih boleh diatasi sekiranya individu dan masyarakat sendiri dapat menjalankan peranan mereka dengan betul tanpa putus asa. Suatu sistem tidak akan aktif dan berperanan jika masyarakat tidak menerima dan menjadikannya amalan biasa dalam kehidupan kita. Dalam isu ulat, broket dan agen ini kita sama-sama berperanan untuk mencegah dan menghapuskan sistem lapuk yang menindas orang ramai terutama mangsa dan masyarakat pengguna sekalian.

Peranan Mangsa Kemalangan Sendiri Bagi Mencegah Sistem Ini

Bagaimana ulat, broker dan agen boleh menyusup masuk dan mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan ke atas mangsa? 7 daripada 10 kes penipuan atau mengaut keuntungan ini sering berlaku ke atas mangsa yang pertama kali mengalami atau terlibat dalam kemalangan jalanraya, mereka adalah orang jahil mengenai undang-undang, prosedur tuntutan insuran dan hal-hal ehwal perlantikan peguam. Oleh itu beberapa tindakan dicadangkan supaya kegiatan ulat, broker dan agen ditumpaskan antaranya:-

1. anda perlu rajin membaca buku ilmiah, membuat rujukan dan semakan di internet mengenai hal-hal umum dan kepenggunaan, apa-apa ilmu amat berguna kepada kita dalam apa jua situasi dan keadaan terutama ketika anda mengalami kesusahan, jika tiada ilmu walaupun sedikit anda umpama terkandas di lautan luas tanpa kemudi;

2. jangan cepat mengelabah, cemas dan takut apabila diprovokasi oleh mana-mana pihak , sebaik-baiknya, sila tanya nama, daripada mana, apa tujuan orang itu berjumpa anda, jika perlu minta kad kuasanya;

3. setelah anda pasti siapa yang menemui anda, maka dengar dengan teliti dan cermat apa yang disampaikan oleh orang itu kepada anda, jika ada keraguan sila lontarkan pertanyaan, lebih banyak anda bertanya, maka lebih kuranglah peluang anda untuk ditipu;

4. apabila anda betul-betul faham akan maklumat, penjelasan dan keterangan yang diberikan oleh orang itu, anda jangan tergesa-gesa menurunkan tandatangan atas apa-apa jua dokumen melainkan borang kebenaran pembedahan dan rawatan hospital, lain-lain dokumen minta penangguhan;

5. sebaik-baiknya anda perlu berjumpa lebih dari seorang peguam, paralegal atau wakil firma guaman untuk dibuat perbandingan terutamanya berkenaan perancangan, tindakan dan kos yang dikenakan, lagi banyak anda berjumpa lagi luas variasi anda dalam hal ini. Pilihlah firma guaman yang membentangkan rancangan pengurusan dan pengendalian kes secara terancang dan sistematik, apabila kes anda diuruskan secara terancangan dan sistematik, kes anda akan dapat diselesaikan dengan awal kerana firma yang sistematik biasanya mempunyai sistem review fail dan tindakan yang teratur, berkala dan terancang. Selain itu, pilihlah firma guaman yang menawarkan kos guaman yang sederhana, adil dan patut, tidak terlalu murah dan tidak terlalu mahal, tapi sebelum itu sila dapat pengesahan mengenai hal ini dengan jelas dan muktamad, biasanya ulat, agen dan broker tidak akan memberi penjelasan yang jelas dan jitu akan hal ini, jadi anda perlu tanyakan hal ini kepada mereka sejelas-jelasnya;

6. anda harus menolak mentah-mentah mana-mana pihak cuba menaburkan wang ringgit secara mudah, jangan disebabkan duit 2-3 ribu yang diberikan sebagai gula-gula, anda mudah bersetuju dan melantiknya sebagai peguam sedangkan anda tidak tahu dan faham apakah plan dan perancangan firma itu dalam membela kes anda, anda tidak tahu syarat dan kondisi mengenai pembayaran pinjaman, kos dan yuran guaman, jika ini berlaku anda memang dalam zon bahaya, penipu sedang memasang perangkap hanya menunggu anda masuk untuk dijerat, jangan disebabkan gula-gula sebanyak 2-3 ribu, akhirnya anda akan rugi sampai puluhan ribu di masa depan;

7. kemudian sila rujuk kepada keluarga anda dan juga pegawai penyiasat kes anda, dapatkan pandangan mereka, biasanya pengawai penyiasat anda tahu dan mahir dengan mana-mana profile peguam terbaik ataupun sebaliknya dalam kawasan pentadbirannya;

8. anda perlu mengambil tahu akan profile peguam yang ingin anda lantik terutamanya mengenai profesionalisme, sikap, amalan, mutu perkhidmatan, rancangan dan plan pengurusan kes dan paling penting berapa nilai kos dan yuran yang akan dikenakan ke atas anda;

9. jangan serahkan kepentingan anda dalam kes ini secara mutlak dan penuh kepada orang lain kecuali ibubapa anda, kebanyakan penipuan dan manipulasi dilakukan oleh orang yang dikenali dan rapat dengan mangsa seperti saudara terdekat, rakan, teman, penyelia dan ketua anda. Biasanya mereka ini pandai memainkan peranan mencadang, memujuk dan memaksa mangsa melantik firma guaman yang bersetuju memberi imbuhan lumayan kepada mereka. Tugasan mereka ini hanya untuk mendapatkan mandat dan tandatangan perlantikkan peguam sahaja. Biasanya mereka ini jahil dan langsung tidak ambil peduli akan profile peguam terutamanya berkenaan caj guaman, modus operandi, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh firma itu, sekalipun mereka tahu firma itu biasa melakukan penipuan dari segi yuran dan kos guaman, tetapi ini bukan hal penting kepada mereka, apa yang penting berapa RM yang masuk ke dalam poket mereka. Bukankah ini namanya menjual kepentingan diri mangsa demi untuk mengaut keuntangan sekelip mana tanpa bersusah payah, tanpa mengeluarkan modal dan tanpa memberi apa-apa komitmen di masa depan, inilah peniaga yang hebat cuma bermodalkan musibah orang yang dalam kesusahan, kesempitan dan benar-benar memerlukan pertolongan.

10. setelah anda benar-benar berpuashati barulah anda menghubungi peguam, paralegal atau wakil firma guaman yang ingin anda lantik sebagai peguamcara anda untuk menguruskan hal dokumentasi kes itu dengan anda;

11. jangan melantik lebih dari 1 firma guaman untuk mengendalikan kes anda, jika ini berlaku kes anda akan digantung oleh syarikat insuran atas masalah dwi peguam atau dual representasi atau perwakilan, selain itu anda perlu membayar dan menjelaskan kos kedua-dua firma guaman tersebut. Oleh itu apabila anda telah melantik mana-mana firma guaman, sebaiknya anda kekal dengan firma itu sampailah kes itu selesai sepenuhnya, tetapi jika kes anda tidak berjalan lancar atau perkhidmatan yang diberikan amat buruk, anda berhak menukar peguam dan melantik peguam baru, tetapi anda terlebih dahulu perlu memberi notis pembatalan peguam dan menjelas bayaran kos dan yuran guaman kepada firma guaman lama anda.

12. sekurang-kurangnya dalam 5 bulan sekali anda perlu menghubungi peguam atau paralegal yang mengurus dan mengendalikan kes anda untuk mendapatkan status terkini kes anda. Selain dari mendapatkan status kes anda juga sebenarnya telah memberi reminder kepada peguam atau paralegal itu, sekurang-kurang mereka boleh membuat catitan dan tindakan kes atas kes anda. Jangan menghubungi peguam atau paralegal anda terlalu kerap, ini akan menyebabkan tugasan mereka terjejas dan terganggu dengan gangguan yang tidak diperlukan tersebut, kebiasaanya rutin kerja di firma guaman setiap hari dalam kesibukan yang melampau dan tekanan yang tinggi.


Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.