Definasi 'Jalan' Mengikut Taksiran S(2)(a)APJ 1987

Selepas posting terakhir bertajuk 'Penting dan Untungnya Sikap Berlapang Dada' yang diposkan pada 28 Januari, 2011, saya langsung tiada bersempatan ataupun masa untuk menulis cacatan baru kerana dikepong oleh kesibukan tugasan harian, saya bekerja dari awal pagi dan hanya pulang ke rumah hampir lewat malam. Hendak membawa anak isteri berjalan-jalan mahupun menikmati makan malam di luar amat jarang berpeluang, terpaksalah anak isteri saya makan malam di rumah tanpa ketiadaan saya. Apa yang saya perhatikan isteri saya sudah mula memberi ulasan-ulasan kurang enak dan meminta saya menjadualkan semula tugasan, perancangan dan tindakan yang akan saya ambil mengikut priority atau keutamaan kepentingan kes. Malangnya kebanyakan kes kendalian saya semua hampir pasti memasuki zon priority kerana semua sudah memasuki zon bicara ataupun perundingan penyelesaian dan ada beberapa kes utama telah selesai serta hanya menanti pembayaran pampasannya. Dalam peringkat ini saya terpaksa membuat review berjadual dan memberi arahan kepada staff untuk cuba sedaya upaya mendapatkan beberapa bahan, dokumen dan bukti-bukti penting supaya kes perbicaraan kes dapat berjalan lancar ataupun perundingan penyelesaian mencapai tahap sasaran diputuskan. Ini tidak termasuk tugasan mengurus dan mengendalikan kes-kes baru, temujanji baru dan perundingan baru.

Alhamdulillah, syukur akhirnya pada hari ini saya berkesempatan untuk menulis cacatan ini untuk tatapan anda. Saya kira isu yang disentuh dalam artikel ini tidak kurang penting kerana kebanyakan orang tidak memahami pengertian 'jalan' dan kesannya ke atas mereka mengikut undang-undang. Dalam kebanyakan kes ada kemalangan yang berlaku bukan di atas jalan sebagaimana yang ditaksirkan oleh Seksyen (2)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memberi taksiran sebagai:-

"Mana-mana jalan awam dan mana-mana jalan lain yang awam mempunyai akses dan termasuklah jambatan, terowong, hentian sebelah, kemudahan feri, jalan bertingkat, bulatan jalan, pulau lalulintas, pembahagi jalan, segala lorong lalulintas, lorong laju, lorong perlahan, bahu jalan, garis tengah, jejambat, jalan tembok, jalan tuju, landasan masuk dan keluar, plaza tol, kawasan khidmat dan struktur dan lekapan lain bagi memberi kesan sepenuhnya kepada penggunanya; tetapi tidak termasuk mana-mana jalan persendirian, jambatan, terowong atau apa-apa yang berhubung dengan jalan itu yang diselenggara dan dijaga oleh orang atau badan persendirian"

Maksud jalan persendirian adalah jalan yang diuruskan oleh individu, organisasi, badan persendirian seperti jalan estet yang berpalang, jalan kebun kepunyaan individu, kilang dan rumah dan bangunan persendirian. Dalam keadaan ini sekiranya berlaku kemalangan di tempat yang tidak ditafsirkan sebagai 'jalan' di bawah taksiran Akta Pengangkutan Jalan, mana-mana pemandu kenderaan bermotor dan juga penunggang basikal dan trisikal tidak boleh dipertuduhkan sebagai melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan, iaitu bagi kesalahan di bawah Seksyen 41(1), 42(1), 43(1) dan Kaedah 10. LN 165/58.

Dalam kes seperti ini, sekiranya terdapat apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa mana-mana pihak telah memandu, menunggang atau mengawal kenderaannya, dengan cara yang sebegitu melulu ataupun cuai sehingga membahayakan nyawa manusia atau keselamatan diri orang lain, dan tidak membabitkan kematian, pemandu berkenaan hendaklah dituduh di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan. Tetapi jika berlaku kematian pemandu atau penunggang kenderaan bermotor itu boleh dituduh di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Tetapi apa yang penting kebanyakan orang selalu tidak membuat semakan ke atas polisi insuran kenderaan bermotor mereka sama ada polisi insuran yang dikuatkuasakan atas kenderaan mereka melindungi risiko pihak ketiga jika kemalangan berlaku di kawasan yang bertentangan dengan pengertian 'jalan' yang ditaksirkan oleh undang-undang berkaitan pada masa ini. Saya percaya kebanyakan syarikat insuran tidak melindungi risiko pihak ketiga apabila suatu kemalangan itu berlaku di luar kawasan yang ditaksirkan sebagai 'jalan' oleh Akta Pengangkutan Jalan. Jika suatu kemalangan berlaku mangsa kemalangan masih boleh menuntut remedi sivil atas kecuaian pemandu bermotor kenderaan pihak ketiga, tetapi tuntutan ini tidak dijamin dan dilindungi oleh insuran, maksudnya di sini, pemandu dan pemilik kenderaan bermotor itu perlu menanggung kos membela diri dan membayar apa-apa yang pampasan yang diputuskan oleh mahkamah secara persendirian, tidak seperti tuntutan yang dijamin dan dilindungi oleh insuran.

Justeru itu, saya suka menasihati pembaca sekalian bahawa apabila anda memasuki zon atau kawasan bukan 'jalan' seperti yang ditaksirkan undang-undang, anda perlu peka, prihatian dan sensitif berkali-kali ganda bagi mengelakkan berlakunya kemalangan kerana apabila berlaku kemalangan dan kematian anda bukan saya boleh dituduh di bawah Kanun Keseksaan tetapi dari segi tindakan sivil anda juga perlu bertanggungjawab secara sendiri terhadap kos pembelaan dan apa-apa yang pampasan yang diputuskan mahkamah.






Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.