2011 Apakah sasaran Gol Anda?

2010 selamat melabuhkan tirainya pada 31.12 jam 11:59:59, muncul pula 2011 genap jam 12:00 membuka tirai menandakan masa tetap berlalu seperti semalam, hari ini dan esok, apa yang berubah hanyalah catitan tarikhnya, namun detik dan masa tetap sama terus laju meninggalkan kita. Flashback atau menyorot kembali ke belakang, 2010 penuh duri dan ranjau, terlalu banyak peristiwa pahit yang mendatangkan satu pengalaman baru dan merupakan ujian hebat umpama satu peperiksaan setiap hujang tahun bagi pelajar. Alhamdullih bagaimanapun hebat, getir dan besar ujian tersebut, akhirnya saya berupaya melepasinya dan sekali lagi pada 2011 ini saya bersedia untuk menerima ujian dan cabaran-cabaran baru dalam bentuk pelbagai variasi sama ada dalam kehidupan peribadi, karier dan kerjaya saya.

Saya sudah bertekad membulatkan hati dan mempertingkatkan motivasi diri selain berserah dan bertawakal kepadaNya, saya percaya saya akan mampu keluar dari apa jua kemelut dan menguruskan apa jua bentuk risiko serta halangan yang cuba memperlahankan rentak kecemerlangan hidup saya. Saya akan senantiasa mempertingkatkan mutu dan kualiti hidup, komunikasi dan perkhidmatan saya agar sumbangan saya ini akan benar-benar mendatangkan kesan yang baik kepada individu, kumpulan manusia dan masyarakat serta negara amnya.

Kebiasaannya saya menulis dan membuat pendedahan tentang sikap tamak segelintir pengamal undang-undang, agen dan broker yang bergerak dan menjalankan aktiviti dan perkhidmatan semata-mata untuk mengaut keuntungan berlipat ganda tanpa mereka memikirkan dan mempertimbangkan atau sekurang-kurangnya bersimpati dengan pelanggan mereka telah mengalami kecederaan parah dan kecacatan kekal yang serius, tergamak mereka mengambil kesempatan bertindak curang, menipu dan memperdayakan pelanggan mereka semata-mata untuk mendapatkan manafaat kewangan yang berlipat ganda apabila mereka mengenakan caj-caj kos tindakan dan free guaman secara berganda dan bertindan tanpa pengetahuan dan kerelaan pelanggan mereka.

Tetapi apabila saya berdepan dengan beberapa kerat manusia yang tidak mengenang budi, tidak pandai berterima kasih, apatah lagi menghargai pertolongan, usaha dan perkhidmatan yang diberikan kepada mereka, saya terfikir orang-orang seperti ini memang layak dan adil dipertemukan dengan pengamal undang-undang yang laba dan curang tersebut, disebabkan kedua-dua mereka bertindak secara zalim, kejam dan terkeluar dari norma-norma orang yang budiman, penyantun dan ikhlas. Sepanjang 2010 ini saya dipertemukan dengan 4 orang pelanggan yang boleh diibaratkan seperti melepaskan anjing tersepit yang tidak pandai berterima kasih, mereka ini bukan sahaja tidak berterima kasih malah bertindak umpama menyerang dan mengigit kita kembali apabila kita sudah melepaskan atau sekurang-kurangnya memberi jalan keluar dari kemelut yang mereka hadapi.

Mengendalikan kes tuntutan akibat kemalangan bukan satu tugas yang mudah, dan senang, seseorang pengendali kes ini mestilah bersedia untuk berkorban masa, wang dan tenaga serta kehidupan peribadi mereka. Kehidupan peribadi kami sentiasa mendapat gangguan daripada pelanggan, kami hilang kualiti hidup berkeluarga, beristeri dan berehat apabila pelanggan kami menghubungi kami tidak kira siang ataupun malam, apatah lagi jika waktu pejabat. Bayangkan ketika anda sibuk menguruskan urusan keluarga umpama keluar makan malam dengan keluarga, tiba-tiba pelanggan anda menelefon atau meminta anda menemui mereka semata-mata untuk mendapat nasihat atau bertanyakan hal yang remeh, sedangkan ini urusan pejabat yang sepatutnya diselesaikan pada waktu pejabat, malangnya pelanggan seperti tidak tahu apa itu waktu pejabat, mereka berfikir waktu pejabat adalah 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Selain itu kami terpaksa berkorban wang ringgit apabila kami terpaksa mengeluarkan setiap ongkos dan perbelanjaan pengurusan, logistik, komunikasi, dokumentasi, pengangkutan dan operasi bermula sejak pelanggan menurunkan tandatangan pada waran bertindak yang memberi kuasa pelantikan kepada kami sebagai peguamcara dan kuasa untuk memulakan tindakan sivil tersebut. Oleh kerana kebanyakan mangsa kemalangan tiada kewangan yang kukuh kami juga mempertimbangkan untuk menanggung semua kos tersebut bermula dari detik waran bertindak ditandatangani oleh pelanggan sehinggalah kes tersebut selesai sepenuhnya.

Kami hanya menuntut bayaran fee kami setelah pelanggan kami menerima wang pampasan mereka daripada syarikat insuran. Bayangkan betapa banyak kos kewangan yang terpaksa kami tanggung tidak termasuk kerugian masa dan benefit lain yang kemungkinan kami boleh perolehi jika tidak mengendalikan kes pelanggan penipu dan curang tersebut. Sebenarnya kami tidak kisah atau peduli jika ada pelanggan yang ingin menamatkan perkhidmatan kami sebelum kes mereka selesai sepenuhnya asalkan mereka memaklumkan kepada kami secara bertulis dan menjelaskan semula semua kos dan perbelanjaan hangus yang telah kami laburkan semata-mata untuk mengurus dan mengendalikan kes mereka. Mereka bukan saja tidak menjelaskan kos hangus tersebut, malah enggan dan ingkar untuk mengembalikan semula wang pinjaman yang begitu susah untuk kami dapatkan ketika mereka begitu terdesak dan kesempitan untuk menjelaskan kos implan, pembedahan dan bil perubatan, tetapi bila sudah keluar dari hospital terus melarikan diri, mematikan telefon dan enggan berhubung dengan kami, apatah lagi untuk menjelaskan apakah situasi terdesak yang memaksa mereka untuk menukar peguam sedangkan mereka ada pengetahuan penuh bahawa kami telah mengurus, mengendalikan dan menjalankan kes mereka sejak mereka melantik kami.

Sekiranya mereka mendapat tekanan daripada mana-mana pihak sekalipun yang mengakibatkan mereka terpaksa melantik peguam baru, mereka seharusnya memaklumkan kepada kami supaya satu tindakan yang berkesan dapat diambil mengatasi masalah ini. Mereka bukan sahaja membiarkan diri mereka diperalatkan tetapi mereka tidak sedar akan kemungkinan mereka terpaksa menanggung kos berganda. Sebenarnya apabila anda melantik peguam baru, anda perlulah menjelaskan apa-apa kos dan free guaman kepada peguamcara terdahulu anda, jika anda enggan atau gagal berbuat demikian, satu tindakan undang-undang boleh dimulakan ke atas anda untuk menuntut kerugian tersebut dimana anda bukan sahaja perlu menjelaskan prinsipal hutang itu, malahan termasuk faedah dan kos tindakan juga akan dikenakan jika pembelaan anda gagal di Mahkamah. Oleh itu kepada mana-mana pelanggan yang merasakan mereka adalah pelanggan curang dan penipu tersebut, anda seharusnya bersedia untuk menerima apa jua bentuk pembalasan kerana Allah itu Maha Adil setiap kebaikan dan keburukan pasti akan menerima pembalasannya walaupun perbuatan itu sekecil-kecil zahir sekalipun, jika tidak menerimanya di dunia, anda tetap anda mendapat balasan diakhir, dimana di situlah tempatnya semua hutang penghakiman akan dijelaskan sepenuhnya oleh sipenghutang penghakiman terhadap pemiutangnya.


Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.