"Abang Tak Patut Saman Saya Sebab Saya Sudah Jual Kereta Ni Sebelum Kemalangan"

"Abang tak patut saman saya sebab saya dah jual kereta ni sebelum kemalangan" kata seorang Defendan dalam suatu tindakan Mahkamah berkaitan kemalangan. "Saya dah jual kereta 3 bulan sebelum kemalangan ini" jelasnya lebih lanjut. Saya terus bertanya "Encik ada buat pindah milik kepada pemilik baru, kalau tidak ini bermakna pada masa kemalangan itu dan juga masa kini encik adalah pemilik yang sah yang di sisi undang-undang ke atas kereta tersebut". "Encik bukan sahaja telah melanggar Akta Sewa Beli Kenderaan, tetapi juga telah melanggar kontrak dalam perjanjian Polisi Insuran dengan syarikat insuran yang menanggung risiko pihak ketiga ke atas kereta encik". "Oleh demikian, kami tidak melakukan kesilapan apabila kami menyaman encik berkaitan kes kemalangan ini kerana encik adalah pemilik yang sah kereta berkenaan, dimana encik perlu menanggung liabiliti kecuaian oleh pemandu yang memandu kereta encik walaupun encik tidak kenal ataupun tidak tahu siapa yang pandu kereta encik". "Tapi saya percaya jika syarikat insuran mengetahui situasi ini, mereka akan atau boleh membatalkan atau mengelak dari bertanggungjawab atas polisi insuran yang encik miliki disebabkan encik gagal memaklumkan urusan jual-beli kereta tersebut, jika ini berlaku encik perlu bertanggungjawab atas keseluruhan tindakan ini termasuk jumlah pampasan, faedah dan kos".

Selepas mendengar penjelasan panjang lebar ini beliau diam dan nada suaranya kentur menjadi lemah tidak seperti mula seperti harimau lapar, penuh kekuatan dan kekuasaan. Dia hanya mampu menyatakan "Saya tak tahu sama sekali hal ini boleh mengakibatkan komplikasi undang-undang yang rumit". Saya menasihati beliau untuk segera membetulkan apa yang salah, beliau hanya perlu memaklum, merujuk dan kemudian mendapatkan persetujuan syarikat kewangan yang menjadi pemilik sebenar kenderaan itu untuk menjual dan memindahkan hak milik kereta itu kepada pemilik baru. Selepas urusan ini selesai, beliau perlu pula merujuk kepada syarikat insuran yang melindungi kenderaan itu, untuk urusan pemindahan nama dan kepentingan polisi kepada pemilik baru, jika kedua-dua urusan ini tidak dibuat dari segi undang-undang pemilik yang sah atas kenderaan itu adalah nama orang yang tercatat dalam geran kenderaan itu serta juga polisi insurannya.

Senario ini adalah senario biasa kepada masyarakat di negara ini. Hal ini berlaku sama ada rakyat di negara ini jahil ataupun buta undang-undang, mahupun sengaja atau malas untuk mengambil sedikit inisiatif untuk menjalankan apa jua transaksi melalui tindakan yang diperakui ataupun sah di sisi undang-undang. Kebanyakan antara kita gemar dan terdidik dengan sikap malas dan mengambil remah akan hal-hal perundangan. Transaksi jual beli kenderaan secara ilegal ataupun tidak mematuhi undang-undang ataupun khusus Akta Sewa Beli ini, boleh menjuruskan kepada satu implikasi besar, rumit dan ngeri kepada pelakunya sama ada pembeli ataupun penjualnya. Mari kita bincangkan sedikit implaksinya negatif di bawah ini.

Implikasi Dari Segi Jenayah

Sekiranya berlaku apa-apa kejadian ataupun perlakuan jenayah bersangkutan dengan penggunaan kenderaan itu, orang pertama yang akan cuba dikesan oleh pihak polis adalah pemilik berdaftar yang sah kenderaan itu. Contohnya anda menjual kenderaan kepada A tanpa memindah milik, tanpa mendapatkan persetujuan bank dan syarikat insuran. Si A telah sengaja mengambil kesempatan atas kesilapan anda ini dengan menjadi kenderaan ini sebagai alat pengangkutan semasa melakukan aktiviti jenayah. Oleh kerana tiada maklumat diri si A dalam sistem maklumat kenderaan JPJ, maka anda adalah subjek ataupun suspek utama pihak polis dalam siasatan ini. Selain itu, pemilik berdaftar juga akan berdepan dengan saman jalanraya oleh pihak penguatkuasaan seperti polis dan JPJ sekiranya pemandu atau pembeli baru melakukan kesalahan jalanraya seperti memandu laju memasuki perangkap laju.

Implikasi Dari Segi Penipuan

Sekian kali banyak orang telah menjadi mangsa penipuan disebabkan sikap alpa, malas dan remeh mereka dalam hal ini. Tadi kita bercakap mengenai pembeli yang curang, tapi di sini saya ingin merujuk pula kepada pemilik yang curang. Ada sesetengah kes dimana pembeli secara illegal ini bersikap taat, patuh dan amanah dalam perjanjian lisan mereka. Mereka begitu sabar dan patuh menyelesaikan ansuran bulanan kepada pihak bank ataupun syarikat kewangan, tetapi apabila perjanjian pembiayaan berakhir ataupun tempoh bayaran ansuran telah tamat, pihak bank tidak boleh memindah milik kenderaan itu kepada pemilik baru melainkan hanya kepada pemilik berdaftar yang juga orang yang memasuki perjanjian sewa beli kenderaan itu, bukannya pihak ketiga yang melakukan urusan jual beli kenderaan secara senyap dan sembunyi tanpa pengetahuan pihak bank. Secara mudahnya anda hanya jadi orang pembiaya kenderaan itu, tetapi kenderaan itu tetap jadi milik sah penjual kenderaan itu kerana anda tidak pernah melakukan pindah milik secara sah di sisi undang-undang, tetapi anda akan bernasib baik jika penjual itu orang yang jujur, baik hati dan patuh kepada perjanjian, tetapi amat susah berjumpa orang sebegini pada zaman ini, tetapi penipu dan pengambil kesempatan memang banyak.

Implikasi Dari Segi Sivil

Disebabkan tiada pemindahan milik dilakukan kepada pembeli baru kerana transaksi jual beli ini dibuat secara illegal ataupun tidak menepati kehendak undang-undang, kebiasaanya penjual dan pembeli secara illegal ini akan memasuki satu penjanjian lain yang sebenarnya tidak sah di sisi undang-undang kerana mengabai atau tidak melibatkan pihak bank ataupun syarikat kewangan dalam perjanjian mereka. Apabila perjanjian ini tidak sah, maka apa-apa jua implikasi atas penggunaan, pengendalian, aktiviti yang bersangkutan dengan kenderaan tersebut, maka subjek dan suspek utama yang dihalakan bidikan adalah pemilik berdaftarnya, tidak kira sama ada kenderaan itu telah dijual, digunakan ataupun disimpan oleh orang lain. Bahkan jika pembeli secara illegalnya lenyap bersama kenderaan itu tanpa membuat bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank sehingga pihak bank terpaksa mengeluar notis tarik kenderaan, tetapi kenderaan itu lenyap, maka penjualnya yang merupakan pemilik berdaftar perlu membayar dan menyelesaikan baki ansuran yang tertunggak ataupun berdepan tindakan perundangan daripada pihak bank.

Kita ambil kira pembelinya patuh kepada perjanjian lisan dan membayar ansuran bulanan secara teratur, tetapi beliau telah terlibat dalam kemalangan jalanraya. Orang yang menjadi subjek utama dalam tindakan sivil berkaitan kes ini adalah pemilik berdaftar kenderaan itu, jika pihak insuran tahu berkaitan transaksi illegal ini, mereka pasti akan menarik diri ataupun mengelak dari bertanggungjawab terhadap apa-apa risiko pihak ketiga atas kenderaan tersebut. Ini bermakna jika ada apa-apa tindakan sivil berkaitan risiko pihak ketiga, pemilik berdaftar seharus dan semestinya perlu membela dirinya sendiri, melantik peguambela, membayar pampasan yang diarwardkan mahkamah, menanggung kos dan faedah yang berkaitan.


Hakikatnya kita semua dapat mengelakkan implikasi-implikasi buruk di atas sekiranya kita dapat menjadi orang yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Tetapi kebanyakan antara kita lebih rela dan suka menjadi orang yang lebih mementingkan diri sendiri, jimat tak bertempat dan sentiasa memandangkan remeh hal-hal berkaitan undang-undang atas alasan nak jimat duit, tiada masa untuk menguruskan hal pindah milik yang sah, urusan pindah milik secara sah ini rumit, sukar dan memakan masa yang lama. Sampai bila kita harus dikongkong oleh budaya buruk ini?, mulai sekarang kita harus jadi lebih matang, berilmu dan bertanggungjawab atas diri sendiri, masyarkat dan negara, marilah kita semai budaya budiman yang diterapkan oleh islam iaitu prihatin, jujur, amanah dan sentiasa menjaga hak diri sendiri dan juga orang lain.




Comments

  1. Salam..sy skrg mngalami masalah yg dinyatakn di atas, pihak ketiga yg sy prcayai tak bayar ansuran kereta sy, tak renew road tax insurance dan skrg pihak bank nk tarik kereta tu. sY kesal krn sy mngmbil jln mudah dgn brpegang kpd kpercyaan dan menerima cadangan 'sambung bayar', pihak ketiga tu snggup menipu sy. Soalan sy, apakah hak sy dr segi undang2 trhdp lelaki tu? tiada jln lainkah selain drp pemilik kereta yg menanggung bebanan ini? MOhon bantuan pandangan peribadi encik. T.kasih

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.