Anjakan Baru Membudayakan Persefahaman dan Kepercayaan Antara Peguam dan Anakguam

Sejak 1996 saya ketika saya mula menjalankan tugasan saya, saya berpeluang berjumpa, mengenali, menyelami dan memahami beberapa karektor manusia, di sini terdapat pelbagai kelompok manusia, ada yang baik, jujur, ikhlas dan sentiasa patuh kepada nasihat yang diberikan. Tetapi wujud juga sekelompok manusia yang tidak jujur, tidak ikhlas, penipu dan sentiasa dikurung oleh sikap negatif iaitu prasangka buruk, tutur kata, pemikiran, bahasa badan dan tingkah laku mereka ini yang sentiasa penuh dengan aura prasangka dan ketidakpercayaan. Golongan ini sentiasa membelakangi nasihat dan panduan yang diberikan untuk memandu mereka ketika prosiding tindakan berlangsung, tetapi lebih teruk mereka ini bertindak sendiri dan membelakangi peguam apabila membuat laporan polis berkaitan kemalangan sendiri tanpa memberitahu, berbincang dan merujuk kepada peguam, memberi maklumat dan dokumen kes sesuka hati kepada mana-mana pihak tanpa nasihat dan pengetahuan peguam.

Di sini saya ingin menekan betapa sikap dan tindakan membuat laporan polis berkaitan kemalangan tanpa berbincang dan merujuk kepada peguam akan memberi kesan negatif yang amat buruk kepada tuntutan anda terhadap pihak ketiga. Masih segar dalam memori saya, beberapa tahun lalu saya pernah mengendalikan satu kes kemalangan yang tidak berapa jelas isu liabilitinya, setelah merujuk kepada pegawai penyiasat, setelah meneliti fakta-fakta kes serta keterangan yang sedia ada, saya berpendapat kedua-dua pihak ada kecuaian sama rata disebabkan:-

1. Arah perjalanan kedua-dua kenderaan adalah sama;
2. Ada 2 lorong sehala di tempat kejadian;
3. Kerosakan kedua-dua kenderaan adalah bahagian sisi kanan pada m/kar dan sisi kiri pada m/sikal;
4. Keterangan sedia ada menunjukkan kedua-duanya bergesel pada ketika perlanggaran.
5. Kecederaan penunggang m/sikal banyak pada bahagian kanan menunjukkan selepas bergesel beliau jatuh dan terseret di bahagian kanan.

Saya telah menghubungi ibu mangsa, melalui komunikasi tersebut saya meminta untuk berjumpa dengan mangsa untuk mendapatkan keterangan, berbincang dan mengambil arahan-arahan daripada beliau berkaitan kes ini. Saya diberi signal dan kebenaran oleh ibu mangsa dengan syarat perjumpaan ini dibuat setelah anak beliau keluar daripada hospital. Tetapi malangnya bapa mangsa bersikap sebaliknya, beliau tidak membenarkan saya berjumpa dengan mangsa, malahan pernah menipu memberitahu bahawa anak beliau masih ditahan di hospital, sedangkan saya telah diberitahu bahawa mangsa telah keluar pada sebelah pagi hari tersebut. Selepas 1 minggu saya telah hadir ke rumah mangsa untuk berbincang dan mengambil keterangan beliau berhubung kemalangan tersebut agar saya dapat meneliti fakta-fakta, isu undang-undang dan keperluan-keperluan yang sesuai dalam kes ini. Tiba-tiba muncul si ayah memarahi anaknya, dia berkata seolah-olah saya memaksa anaknya menurunkan tandatangan pada suatu dokumen, sedangkan ketika itu saya hanya meminta mangsa melukis lakaran tempat kejadian, arah perjalanan m/sikal beliau dan bagaimana kejadian kemalangan itu berlaku.

Situasi diluar jangkaan ini memberi tekanan dan kejutan kepada pembantu saya, beliau kelihatan tidak selesa, bagaimanapun situasi ini adalah perkara biasa kepada saya, alhamdullilah saya tidak panik dan keadaan ini dapat dikawal dengan baik. Saya memaklumkan kepada si ayah tujuan kedatangan saya hanyalah untuk berbincang, melawat dan mendapatkan keterangan serta gambaran berkaitan kemalangan. Saya selanjutnya memberitahu saya tidak memaksud untuk mendapatkan apa-apa persetujuan ataupun tandatangan perlantikan peguam, adalah menjadi amalan dan prosedur biasa saya, bahawa saya hanya akan menandatangani pelanggan saya apabila mereka benar-benar faham dan jelas akan penerangan saya berhubung bagaimana kami akan mengendalikan dan mengemudikan kes ini, apakah prosedur tuntutan ini, apakah tanggungjawab pelanggan dan apakah tanggungjawab kami. Dan akhir sekali apabila mereka benar-benar faham dan bersetuju mengenai caj yuran guaman yang akan dicajkan ke atas mereka. Selagi mereka tidak faham, ragu-ragu, saya menasihati mereka untuk berfikir dan mendapatkan pandangan pihak-pihak berkaitan, setelah itu, jika mereka sudah membulatkan hati dan niat untuk melantik kami, barulah saya berjumpa untuk urusan dokumentasi.


Selang 2 minggu kemudian, saya dihubungi oleh ayah mangsa, beliau memberitahu saya dia ingin kami mengendalikan kes ini, tetapi laporan polis berkaitan kemalangan telah buat, saya tanya mengapa saya tidak dirujuk sebelum laporan itu dibuat, beliau memberi alasan terpaksa berbuat demikian kerana cuti sakit anaknya hampir berakhir. Saya merujuk perkara ini kepada pegawai penyiasat dan mendapati laporan walaupun tiada kesan dan kerosakan besar dilakukan dalam keterangan laporan polis tersebut, tetapi beberapa fakta penting telah tertinggal untuk dimasukkan. Ini menyebabkan strategi, cara dan kaedah bagaimana kes ini dapat dikendalikan perlu diubah semula bermula dari sifar, hal ini boleh mengakibatkan kerugian masa dan boleh menjejaskan kekuatan kes apabila ia mula diperdengarkan di Mahkamah. Sebagai peguam sememangnya kami ingin sentiasa menjuarai kes-kes yang dibawa untuk pengadilan di Mahkamah, malangnya langkah dan pencak silat kami sentiasa sumbang dan tempang apabila seringkali diserang hendap oleh lawan kami akibat sikap dan tindakan pelanggan kami sendiri yang sengaja mendedahkan rahsia, senjata, perancangan dan taktikal kepada lawan kami sebelum pertandingan itu bermula tanpa pengetahuan kami, Justeru itu, kami tidak bersedia dan tiada keupayaan untuk menghakis serangan tersebut kecuali kami diberi masa penangguhan untuk mengkaji dokumen dan fakta-fakta baru sebelum serangan balas dapat dilakukan, tetapi kadangkala walaupun kami diberi masa, namun kami tidak dapat menangkis serangan lawan semata-mata disebabkan bukti-bukti yang dikemukakan oleh lawan kami begitu jelas, ditambah pula pelanggan kami sendiri mengakui kelemahan, kesalahan dan kecuian mereka dalam kejadian kemalangan jalanraya tersebut.

Justeru saya menyeru kepada anda semua untuk melakukan anjakan baru, perubahan minda yang baru. Apabila anda telah melantik peguam untuk mewakili anda dalam suatu kes, anda perlu dan sememangnya perlu mempercayai bahawa peguam anda akan sentiasa menjaga dan melindungi kepentingan anda, anda jangan sesekali bertindak curang dan tidak jujur apabila melakukan apa-apa tindakan atau komunikasi dengan mana-mana pihak tanpa memberitahu dan berbincang dengan peguam anda. Sebenarnya mereka bukan sahaja amat letih, tetapi juga banyak berkorban masa dan wang ringgit semata-mata untuk membina, menjaga dan melindungi kes anda supaya kes ini dapat dijuarainya, adalah tidak adil untuk anda sendiri yang sabotaj dan membunuh tunas dan putik kes yang semakin berkembang tanpa pengetahuan peguam anda, sehingga tunas yang pada mula segar, sihat dan kuat, akhirnya layu dan mati dipertengahan jalan. Siapa sebenarnya yang rugi, sama ada anda ataupun peguam anda?jawapannya kedua-dua pihak mengalami kerugian yang teruk, anda rugi kerana segala perbelanjaan dan kecederaan yang dialami anda tidak dapat dipampaskan, manakala pihak peguam rugi dari segala segi sama ada masa, tenaga dan wang ringgit yang dilaburkan semata-mata untuk membawa keadilan kepada anda yang menjadi mangsa kecuaian pemandu pihak dalam suatu kemalangan jalanraya.



Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.