Penting dan Untungnya Sikap Berlapang Dada

Suatu hari dalam minggu yang lepas, saya mendapat maklumat mengenai satu kejadian kemalangan melibatkan m/sikal dan m/kar di pekan Sungkai, dimana penunggang m/sikal mengalami cedera patah kaki kanannya. Pelbagai usaha saya lakukan untuk mengesan mangsa sama ada merujuk kepada pihak polis mahupun pihak hospital. Akhirnya saya berjaya mengesan mangsa dan menghubungi keluarga terdekat beliau untuk memberi nasihat mengenai apa yang perlu dilakukan dalam situasi ini bagi menjamin kepentingan mangsa sama ada untuk tindakan sivil mahupun tindakan trafik tidak tergugat.

Lazimnya apabila berlakunya suatu kemalangan, jika pihak polis ada dihubungi ataupun ada laporan polis dibuat berkaitan kemalangan sama ada laporan oleh pemandu yang terlibat ataupun laporan maklumat pertama oleh keluarga mangsa yang terlibat, pihak polis akan secepat mungkin pergi ke lokasi kejadian untuk mengumpul bukti, mengambil data-data dan fakta yang relevan yang wujud di tempat kejadian, mengambil gambar tempat kejadian dan kesan peninggalan perlanggaran seperti pecahan kaca, kompenan kenderaan, calar ataupun kesan brek yang mungkin wujud di atas jalan. Bagaimanapun jika pihak polis tidak dihubungi mereka tidak dapat pergi ke lokasi dan mencatitkan fakta, data dan peninggalan bukti yang wujud di tempat kejadian dalam kertas siasatan mereka, dan ini memberi kesan yang tidak baik kepada hasil siasatan kes itu kerana pegawai penyiasat mungkin kekurangan bukti untuk mengambil apa-apa tindakan yang patut dan perlu ke atas pemandu yang cuai dalam kemalangan itu.

Berbalik kepada kisah tadi, sebaik sahaja talian disambungkan, seorang lelaki dengan nada kasar dan kurang mesra menyambut panggilan. Saya memahami keadaan ini mungkin disebabkan dia berasa panik, tertekan dan rungsing memikirkan keadaan dan nasib mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu. Saya memperkenalkan diri dan memaklumkan akan maksud mengapa saya menghubungi beliau. Saya menasihati beliau untuk membuat laporan maklumat pertama kepada pihak polis berkaitan kejadian, dimana dalam report ini beliau hanya perlu memaklumkan bahawa ahli keluarga beliau terlibat dalam kemalangan jalanraya, memasukkan butiran kenderaan terlibat, lokasi kejadian dan dimana ahli keluarga beliau sedang dirawat.

Malangnya nasihat saya bukan sahaja tidak diterima, sebaliknya dipandang sinis, tetapi lebih buruk lagi beliau membuat pelbagai tuduhan yang tidak tepat dan negatif terhadap saya. Saya dikatakan penipu, cuba mengambil kesempatan atas keadaan mangsa, tetapi paling teruk beliau mencabar dan mempertikaikan kredibiliti sebagai paralegal yang mahir dalam undang-undang berkaitan kes kemalangan jalanraya. Pada mulanya saya tidak membalas tuduhan kesat beliau, bagi saya mungkin kepala orang ini ada gangguan akibat tekanan yang sedang beliau hadapi, tetapi apabila beliau mula melebih-lebih saya terus berbahas dengan beliau dan menyatakan kepada beliau, saya tiada kepentingan dan beliau tidak boleh buat tuduhan melulu tanpa bersemuka dan mengenali diri saya kerana tindakan beliau ini tidak adil tanpa asas yang kukuh dan dipengaruhi emosi yang keterlaluan. Saya menamatkan komunikasi telefon itu dengan memohon maaf kepada beliau jika saya ada tersalah cakap dengan beliau. Selepas itu saya langsung tidak mempedulikan kes tersebut.

Selang beberapa hari, saya dihubungi oleh pegawai penyiasat kes ini yang memaklumkan kes itu, pegawai itu juga meminta saya membantu mangsa jika boleh, tetapi beliau menyatakan siasatan kes ini agar longgar kerana beliau tidak dapat menemui apa-apa bukti, material dan peninggalan yang boleh membantu siasatan di tempat kejadian kerana pemandu m/kar dalam kejadian ini juga tidak membuat laporan awal, sebaliknya 5 hari selepas kejadian. Justeru itu siasatan beliau hanyalah berpandukan kepada keterangan dan maklumat daripada pengadu iaitu pemandu m/kar.

Sebenarnya saya berat hati bila memikirkan kata-kata dan tuduhan ahli keluarga mangsa tempohari, tetapi bila memikirkan tanggungjawab saya kepada masyarakat, saya menilai semula keperluan saya untuk membantu mangsa. Akhirnya saya menghubungi ahli keluarga mangsa itu dan menetapkan satu temujanji untuk membincangkan hal ini panjang lebar. Dalam pertemuan ini, saya bercakap panjang lebar, berterus terang akan perasaan saya dan menjelaskan kepada beliau apa rasionalnya mengapa saya menghubungi beliau meminta untuk membuat laporan polis maklumat pertama. Beliau terus terang kepada saya beliau tertekan, keliru dan rungsing memikirkan keadaan mangsa, disebabkan itu beliau terlepas cakap kepada saya. Saya memaklumkan kepadanya, jika pada hari kejadian beliau mendengar nasihat saya liabiliti kes ini semestinya pada tahap 100% terhadap pemandu m/kar disebabkan:-

1. Pegawai penyiasat (IO) segera datang melawat tempat kejadian;

2. IO akan dapat mengumpul maklumat dan keterangan daripada kedua-dua pihak yang terlibat dan keterangan ini masih segar tanpa olahan dan rekaan bagi menguatkan versi dan pembelaan masing-masing, biasa kedua-dua pihak seboleh-bolehnya menafikan kecuaian dan kesalahan mereka dalam kemalangan itu;

3. IO akan dapat mengumpul dan mencatitkan data dan fakta yang relevan di tempat kejadian;

4. IO akan dapat merakam visual yang wujud di tempat kejadian dimana kesan peninggalan kemalangan ini masih segar tidak terusik dan dialihkan, kesan yang paling penting adalah dimana letakkan taburan peca kaca dan kompenan daripada kedua-dua kenderaan, calar dan kesan brek di atas jalan;

5. IO dapat merakam dan mencatit kedudukan kenderaan terlibat selepas perlanggaran;

6. IO akan dapat mengumpul dan merakamkan percakapan dan keterangan daripada saksi yang mungkin melihat kejadian itu berlaku dan merekodkan keterangan diri mereka supaya saksi ini boleh dikemukan di hadapan Mahkamah sama ada untuk kes jenayah (trafik) ataupun kes sivil (tuntutan insuran).

Saya lihat selepas beliau mengetahui hakikat ini, beliau begitu sedih dan kesal mengenepikan nasihat saya tempohari kerana pada masa kini liabiliti kes ini pada hakikat telah terhakis menjadi 50% terhadap pemandu m/kar dan 50% terhadap penunggang m/sikal kerana disebabkan:-

1. Tempat kejadian adalah simpang 3, dimana kedua-dua arah utara-selatan mempunyai 2 lorong;

2. Arah perjalanan m/sikal dari lorong kiri menuju lorang kanan perlahan-lahan untuk bersiap sedia membelok ke kanan bagi memasuki simpang;

3. Arah perjalanan m/kar ialah sedang mengekori m/sikal tetapi beliau ingin bergerak terus;

4. Impak perlanggaran adalah bahagian sisi kanan m/sikal;

5. Tiada kesan dan bukti ataupun peninggalan daripada kemalangan ini di tempat kejadian kerana kedua-dua pemandu ataupun ahli keluarga lewat membuat laporan polis, ini menyukarkan siasatan polis kerana kekurangan bukti dan bukti yang ada hanyalah berdasarkan kepada data dan fakta neutral di tempat kejadian serta bersandarkan hanya kepada keterangan pemandu m/kar tersebut, tiada saksi bebas dalam kes ini.

Saya menasihati pembaca budiman dan juga diri saya sendiri untuk melakukan perubahan dan anjakan baru dalam set minda kita. Kita boleh berhati-hati dan berburuk sangka, tetapi jangan sampai kebodohan mengusai kita sehingga kita boleh melakukan tindakan yang lebih bodoh dari sepatutnya. Sebaik-baiknya kita perlu berlapang dada, memberi kesempatan untuk memberi dan menerima pandangan orang lain, sekalipun kita seorang yang berilmu kita tidak boleh takbur dan beranggapan semua nasihat orang lain tidak benar dan mempunyai muslihat, adalah lebih baik kita memberi kesempatan kepada otak dan fikiran kita untuk menilai nasihat itu, dimana rasional dan kebenarannya, jika curiga buat siasatan, jangan menolak mentah-mentah jika kita sebenarnya langsung tiada ilmu dalam hal tersebut, sentiasalah merendah diri. Semoga perubahan ini boleh membantu kita menjadi manusia yang budiman, berilmu dan berkredibiliti tinggi, ini akan memberi kesan kepada yang besar kepada masyarakat dan juga negara amnya. Paling penting kita mesti menerima hakikat bahawa kita tidak semestinya pandai dan mahir dalam semua perkara, kita mungkin pandai dan pakar dalam bidang kita, tetapi mungkin tidak pakar dan pandai dalam bidang orang lain, justeru dalam apa jua perkara berlapang dadalah dan serahkan hal tersebut kepada pihak yang berautoriti, berkebolehan dan mempunyai kepakaran dalam hal itu supaya hak anda terjamin dan tidak tergugat oleh kebodohan dan kesombangan anda sendiri.





Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.