Kenderaan Tidak Dilindungi Insuran, Apakah Penyelesaianya
Saban tahun statistik menunjukkan peningkatan ketara bagi kenderaan yang tidak ada perlindungan insuran. Dalam sebulan saya menemui sekurang-kurangnya tiga kes melibatkan kenderaan yang tidak ada perlindungan insuran. Gejala dan masalah ini lebih serius dan ketara di kawasan luar bandar seperti perkampungan dan tanah rancangan felda.
Kenapa gejala ini berlaku lebih kerap di luar bandar?saya berpendapat kemungkinan penguatkuasaan yang tidak mencukupi dan juga kesedaran penduduk mengenai kepentingan memiliki perlindungan insuran ditahap yang lemah atau sengaja diremehkan kerana merasa tiada keperluan yang mustahak untuk membeli perlindungan insuran terutamanya kepada penggunaan motorsikal.
Biasanya sebuah keluarga di kampung atau felda memiliki beberapa buah motorsikal, tetapi hanya sebuah daripadanya ada perlindungan insuran. Motorsikal yang ada insuran itu biasa digunakan secara utama untuk keperluan pengangkutan harian, sedangkan yang lain terhad kepada keperluan di kebun dan di kampung sahaja.
Tetapi kebanyakan orang akan ditimpa masalah dan kesulitan yang besar apabila berlaku kemalangan semasa dalam perjalanan ke kebun atau cuma sekadar pergi ke kedai untuk membeli barang harian. Masalah itu lebih rumit dan sukar apabila melibatkan kematian atau kecederaan kepada pihak ketiga.
Dari segi undang-undang sivil pihak yang cuai dalam suatu kemalangan perlu bertanggungan ke atas liabiliti dan kena membayar wang pampasan yang diputuskan oleh pihak mahkamah. Apa yang menjadi masalah ialah wang pampasan itu boleh mencapai nilai puluhan ribu ringgit malahan ada juga mencapai ratusan ribu ringgit sekiranya mangsa yang terlibat itu mengalami kecederaan yang amat parah seperti lumpuh.
Timbul persoalan, bagaimana hendak membayar wang pampasan sampai ratusan ribu ringgit, sedangkan untuk membeli perlindungan yang tidak lebih dari RM200.00 pun anda begitu berkira dan amat culas. Apa yang perlu anda tahu, bahawa menggunakan kenderaan bermotor seperti motorsikal, kereta dan jentera tanpa ada perlindungan insuran adalah satu kesalahan yang serius dari segi undang-undang.
Menurut Seksyen 90 (1) dan (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987
(1) "Tertakluk kepada bahagian ini adalah tidak sah bagi mana-mana orang menggunakan atau menyebabkan atau membenarkan mana-mana orang lain menggunakan sesuatu kenderaan motor melainkan jika ada berkuatkuasa berhubungan dengan penggunaan kenderaan motor itu oleh orang itu atau orang lain tersebut, mengikut mana yang berkenaan, suatu polisi insurans atau apa-apa jaminan berkenaan dengan risiko pihak ketiga yang mematuhi kehendak bahagian ini"
(2) "Jika seseorang bertindak dengan melanggar seksyen ini, dia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya, dan seseorang yang disabitkan dengan suatu kesalahan di bawah seksyen ini hendaklah, dihilangkan kelayakan daripada memengang atau mendapatkan suatu lesen memandu di bahagian II bagi tempoh masa dua belas bulan dari tarikh sabitan melainkan jika mahkamah oleh kerana sebab-sebab tertentu yang dinyatakan dalam perintah itu memikirkan patut untuk memerintahkan selainnya dan tanpa menjejaskan kuasa mahkamah untuk memerintahkan tempoh kehilangan kelayakan yang lebih lama.
Ringkasnya setiap penggunaan kenderaan bermotor di atas jalan awam tidak kira jalan kampung, perbandaran dan persekutuan perlu ada perlindungan insuran. Kegagalan berbuat demikian, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak RM1,000.00, penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya sekali dengan lesen memandu digantung selama tempoh satu tahun.
Bagaimanapun dalam kebanyakan kes ditemui, jarang ada pegawai penyiasat mengambil tindakan mengikut seksyen di atas, melainkan mengeluarkan kompaun sebanyak RM300.00 untuk kesalahan tersebut. Hal ini difahami kerana tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 90 (1) dan (2) APJ 1987 memerlukan sumber manusia, kepakaran, kemudahan logistik dan kewangan yang banyak. Ini memaksa pihak penguatkuasa terpaksa mencari alternatif yang sesuai dan mudah untuk menghukum dan melindungi kepentingan awam dengan cara yang biasa dilakukan tersebut.
Akan tetapi cara tindakan tersebut tidak lagi mencukupi, praktikal, progresif dan efektif pada masa kini untuk melindungi kepentingan awam. Kerajaan dan rakyat sebenarnya banyak mengalami kerugian apabila terpaksa menanggung kerosakan, kecederaan, kecacatan dan kematian. Ini kerana tiada jaminan kewangan yang kukuh daripada pemilik dan pengguna kenderaan untuk melunaskan pembayaran gantirugi berbanding apa yang ditawarkan oleh syarikat insuran yang melindungi risiko pihak ketiga itu.
Dalam kebanyakan kes yang melibatkan kenderaan yang tiada perlindungan insuran, saya mendapati kes ini ditutup begitu sahaja apabila pelaku kecuaian itu membayar kompaun berkaitan kesalahan tersebut. Jarang ada pihak-pihak yang ingin membela kebajikan dan kepentingan mangsa yang tercedera ataupun waris simati dalam suatu kemalangan. Akhirnya mangsa yang cacat atau waris simati terpaksa hidup melarat, menderita dan penuh kepayahan dari semua segi termasuk kewangan kerana hilang punca pendapatan, sedangkan mereka perlukan pembelaan, pembiayaan dan sumber kewangan untuk meneruskan hidup, rawatan dan keperluan harian sama seperti orang lain.
Memang diakui peruntukkan Akta Undang-Undang Sivil 1957 telah melindungi kepentingan awam dan membenarkan pihak yang mengalami kerugian, kerosakan, kehilangan, kecederaan dan kecacatan untuk mendapatkan remedi daripada pihak cuai dalam suatu kemalangan. Tetapi ianya lebih melindungi dan terhad kepada kes yang melibatkan kenderaan yang ada perlindungan insuran.
Justeru itu saya mengesa masyarakat sama-sama mengubah sikap bagi membendung gejala ini daripada berterusan. Setiap dari kita adalah pengguna kenderaan bermotor dan bila-bila masa kita boleh terdedahkan kepada risiko kemalangan. Justeru itu kita semua memerlukan jaminan dan pembelaan apabila tercedera dalam suatu kemalangan, sekurang-kurangnya kita memerlukan jaminan untuk penggantian kehilangan sumber pendapatan. Kerana itu, marilah kita membeli dan memiliki perlindungan insuran bagi setiap kenderaan yang kita gunakan kerana nasib malang tidak mengenal gander, paras rupa, bangsa, bahasa dan agama.
Kita semua berisiko tinggi boleh terlibat dalam situasi ini. Jadi tidak rugi kalau anda ada polisi insuran sebagai jaminan dan tanggungan liabiliti kerana jika benar anda terlibat dalam kemalangan, anda tidak perlu bimbang dan gusar untuk menyediakan duit pampasan yang banyak kepada mangsa atau waris simati kerana semua itu akan disediakan oleh syarikat insuran bagi pihak diri anda. Anda lebih rasa aman, lapang dan bebas dari memikirkan kemungkinan-kemungkinan harta benda seperti rumah, kelengkapan perabot, kereta dan tanah akan dilelong oleh mahkamah semata-mata untuk membayar wang pampasan kepada mangsa kemalangan. Fikir-fikirkan.
Comments
Post a Comment