Prosiding Terhadap Pemilik dan Pengguna Kenderaan Yang Tidak Memiliki Perlindungan Insuran

Dalam sepuluh kes kemalangan, selalu tiga daripadanya melibatkan kenderaan motor yang tidak ada perlindungan insuran. Malangnya mangsa yang cedera dalam kejadian itu tidak diminati, didekati dan dibantu oleh agen, runner  dan broker firma guaman. Mereka dibiarkan tanpa maklumat dan pendedahan apatah lagi bantuan perundangan yang amat diperlukan. 

Situasi biasa di wad kecemasan dan wad orthopedik mana-mana hospital kerajaan, bila ada mangsa baru dimasukkan, tiba-tiba anda akan dirapati dan dihampiri oleh agen, runner dan broker yang sememangnya ada di sana. Anda akan dituba, dilobi dan dijanjikan bermacam-macam yang janji manis dan indah. Tujuannya cuma satu iaitu untuk mendapatkan persetujuan dan tandatangan anda pada borang perlantikan peguam. 

Tiba-tiba anda merasa keseorangan dan tidak lagi diminati seperti semalam dan kelmarin. Anda tertanya-tanya kenapa semua ini terjadi dengan pantas?, sedangkan semalam dan kelmarin ada dilayan amat mesra, dengan kata-kata yang manis. Tapi hari ini anda seakan-akan tidak diperlukan, tidak dilayani, tidak lagi ada kata-kata yang manis, malahan panggilan telefon juga sudah tidak dijawab.

Tahukah anda apakah punca sebenar reaksi tersebut?. Semua ini berlaku kalau mereka mendapati pada masa kejadian kenderaan pihak ketiga tidak memiliki perlindungan insuran. Ketika itu anda bukan lagi lubuk emas kepada mereka, anda bukan sumber keuntungan kepada mereka, tetapi anda kini menjadi liabiliti kepada mereka. 

Bagaimanapun bukan semuanya begitu, masih ada firma guaman yang ikhlas memberi perkhidmatan tanpa melihat dari segi untung mahupun rugi. Tetapi kebanyakannya tidak berminat untuk mengendalikan kes tuntutan kemalangan apabila pihak ketiga tidak ada perlindungan insuran kerana pampasannya cuma bersifat ex-gratia yang lebih kepada keprihatinan dengan nilai yang terlalu sedikit. Kadangkala pulangan yang diterima oleh peguam lebih banyak rugi daripada dapat modal. Disebabkan sifatnya begitu banyak fima guaman tidak mahu mengambil dan mengendalikan kes seperti itu. 

Sekiranya anda merupakan mangsa kemalangan dalam situasi ini. Jangan berputus asa, masih ruang dan peluang untuk anda mendapatkan pembelaan. Walaupun peluang itu terhad, namun tidak salah untuk mencubanya demi mendapat pembelaan yang sewajarnya. Di sini anda memiliki dua cara untuk mendapatkan wang pampasan tersebut.

Pertama anda perlu melantik peguam dan meneruskan prosiding tuntutan ini kepada Biro Insuran Malaysia. Tetapi anda perlu faham dan patut tahu bahawa Biro Insuran Malaysia bukan pihak yang wajib membayar wang pampasan kepada anda kerana mereka bukan penanggung insuran yang menerima manafaat daripada pihak ketiga. 

Tetapi kewujudan biro ini atas inisiatif  kerajaan untuk membela kebajikan, keperluan dan kepentingan mangsa yang terjebak dalam situasi ini. Apabila sesuatu bersifat ehsan, maka pampasannya adalah bersifat simpati dan empati sahaja. Sebagai perbandingan jumlah pampasan bagi cedera patah tulang peha yang dibayar oleh syarikat insuran biasanya paling minimum RM20,000.00 dan maksimum RM35,000.00. Tetapi dalam situasi ini pihak biro cuma bersetuju membayar saguhati minimum RM800.00 dan maksimum RM5,000.00 tanpa boleh dirundingi dan tidak ada tawar menawar.

Sekiranya anda tidak puashati dan menolak tawaran ex-gratia itu, pihak biro akan mengarahkan anda menuntut secara terus kepada pemilik dan pengguna kenderaan terlibat.Prosiding adalah cara kedua yang boleh anda lakukan untuk mendapatkan wang pampasan dan gantirugi dari pihak ketiga itu.

Tetapi anda perlu membayar yuran guaman (fee guaman) dan semua kos tindakan seperti fee pemfailan kertas kausa mahkamah (saman, afidavit, sepina, notis permohonan dan penghakiman), elaun kehadiran peguam di mahkamah, elaun kehadiran saksi, kos penyampaian dokumen kepada pihak berkaitan, kos mendapat dokumen (laporan polis, rajah kasar, keputusan, medical report dan lain-lain) dan cukai perkhidmatan,

Tanpa anda  melunaskan bayaran, prosiding ini tidak berjalan lancar dan akan terhenti setakat mana bayaran itu dibuat. Bagaimanapun sekiranya prosiding ini berjaya anda akan menerima jumlah keseluruhan wang pampasan termasuk faedah dan kos daripada pihak ketiga tersebut. Ini bermakna dalam cara kedua ini, anda perlu menanggung segala risiko dalam kes tersebut, sama ada kes itu berjaya ataupun gagal. Risiko utamanya ialah kos yang tinggi dimana, setiap proses dan prosiding akan melibatkan penggunaan wang yang banyak. Selain itu tiada jaminan untuk mendapat wang pampasan secara mudah melainkan berusaha meneruskan prosiding setinggi yang boleh.

Sebagai contoh anda telah memenangi suatu kes dimana pihak Defendan diarahkan membayar sejumlah pampasan, termasuk faedah dan kos. Tetapi Defendan tidak berupaya membayar seperti mana yang diperintahkan mahkamah. Bagi melaksanakan penghakiman itu anda perlu mengarahkan peguam anda memulakan prosiding lain yang baru iaitu prosiding perlaksanaan penghakiman dan peringkat terakhirnya adalah prosiding kebangkrapan. Dimana di setiap peringkat prosiding itu anda perlu menjelaskan fee guaman dan kos tindakan yang berbeza-beza, semakin tinggi peringkat prosiding yang anda pergi, maka semakin banyak pula wang yang perlu dikeluarkan. Sekiranya anda berhenti membayar, peguam anda ada hak untuk menarik diri dari kes tersebut dan anda perlu melantik peguamcara baru jika berniat untuk meneruskan prosiding itu. 

Kebiasaannya orang yang tidak berkemampuan akan meneruskan prosiding tuntutan ini setakat di peringkat prosiding Biro Insuran Malaysia. Tetapi bagi yang berkemampuan, mereka melihat isu ini lebih kepada pembelaan dan tidak melihat kepada kerugian wang semata-mata demi memberi pengajaran dan pendidikan masyarakat awam. Mereka akan membawa prosiding ini sampai ke peringkat tertinggi iaitu prosiding Kebangkrapan. Dimana seorang penghutang penghakiman itu akan diistiyarkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Malaya dan perlu menjalani kehidupannya seperti seorang yang muflis sesuai dan selari dengan Akta Kebangkrapan. 

Jujurnya tiada ruang dan peluang untuk melarikan diri daripada tanggungjawab untuk melunaskan wang pampasan, sekiranya seseorang itu memahami hak dan perlindungan undang-undang kepadanya. Hak ini dijamin secara sama rata oleh undang-undang kepada semua rakyat di negara ini. Terpulanglah kepada seseorang itu untuk menggunakan haknya mengikut kemampuan dan keperluannya. Tapi penyelesaian yang lebih baik dan fleksible apabila semua orang ada kesedaran untuk memiliki perlindungan insuran apabila  menggunakan kenderaan bermotor di atas mana-mana jalan raya.


 


















Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.