Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin

Ketika ini saya sama seperti anda pembaca budiman, begitu sibuk menyiapkan sentuhan dan persiapan terakhir sebelum balik beraya di kampung saya di Tanjung Malim, Perak. Anak isteri kelihatan begitu teruja dan tidak sabar hendak balik. Saya fikir perasaan ini juga dikongsi oleh kebanyakkan orang termasuk pembaca sekalian. Saya berharap dalam ketidaksabaran dan keterujaan kita untuk berhari raya, pembaca dapat mengawal diri, bersabar dan memandu dengan cara yang berhemah. 

Di musim perayaan ini, lebuh raya dan jalan raya akan dilimpahi oleh kenderaan-kenderaan yang menuju ke destinasi masing-masing, sama ada utara, selatan, timur dan barat semuanya padat dengan kenderaaan. Dalam keterujaan dan perasaan gembira ini, saya berharap pengguna-pengguna jalanraya dapat memandu kenderaan dengan berhati-hati, sabar dan bertimbang rasa, patuhi peraturan jalan raya. Paling penting dapatkan rehat dan tidur yang mencukupi. 

Kepenatan, mengantuk dan tidak fokus kepada pemanduan adalah punca utama kemalangan jalan raya di musim perayaan. Pengguna jalan raya perlu berehat bila penat dan mengantuk untuk memulihkan tenaga, emosi, fikiran dan fokus diri untuk meneruskan pemanduan. Jangan meneruskan perjalanan sekiranya anda dalam keadaan mengantuk dan penat, ini akan menyebabkan emosi, mental dan fizikal anda dalam keadaan tertekan dan hilang kawalan. Bila memandu dalam keadaan hilang kawalan memang mudah untuk melanggar peraturan jalan raya dan akhirnya akan mengakibatkan perlanggaran. 

Seperti mana yang disebutkan tadi, di musim perayaan ini statistik kemalangan begitu tinggi. Kepada pembaca yang mungkin tidak bernasib baik dan terlibat dalam kemalangan jalan raya sama ada kecil atau besar, mungkin anda boleh berkongsi tip ini untuk memudah dan melancarkan urusan dan perjalanan anda. Apa yang anda perlu lakukan apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya:-

1. Ambil butiran tarikh dan masa serta kenderaan terlibat seperti no pendaftaran, jenis kenderaan dan warna bagi mengelakkan kejadian langgar lari; 

2. Ambil gambar di lokasi kemalangan seperti pecahan kaca, kesan brek, kedudukan kenderaan dan keadaan persekitaran jalan. Ini akan membantu anda untuk menyimpan bukti material bagi sebarang kemungkinan. Biasanya di musim perayaan ini keupayaan pengawai penyiasat polis untuk sampai segera di lokasi agak terbatas dan terhad. Kemungkinan bila penyiasat sampai di situ, bukti-bukti telah dialih atau dihapuskan oleh syarikat pengendali dan penyelenggara lebuh raya untuk melicinkan pergerakan aliran trafik;

3. Sekiranya anda tercedera, sila dapat rawatan perubatan dalam kadar yang segera. Beritahu doktor atau paramedik semua maklumat berkaitan kecederaan anda, sejarah kemalangan dan lokasi kejadian supaya informasi ini disimpan dan direkodkan oleh pihak perubatan; 

4. Sebelum meninggalkan hospital jangan lupa ambil cuti sakit kerana dokumen ini sangat penting yang membuktikan anda telah menerima rawatan, masih belum pulih dan sihat akibat kemalangan tersebut. Justeru itu anda diberi peluang dan pengecualian oleh undang-undang daripada melaporkan kejadian kemalangan kepada pihak polis dalam tempoh 24 jam;

5. Teruskan perjalanan sehingga sampai ke destinasi anda, jika perlu segeralah melaporkan kejadian kemalangan tadi di balai polis berhampiran dengan memasukkan semua fakta kemalangan seperti tarikh, lokasi, kenderaan terlibat, kecederaan, kerosakan dan kehilangan harta benda. Laporan ini penting untuk kegunaan tuntutan insuran anda dan pihak polis pula boleh mengambil tindakan saman atau pendakwaan kepada mana-mana pihak cuai dalam kemalangan tersebut; 

6. Sekiranya kenderaan anda masih dalam waranti pengeluar, anda dinasihat untuk merujuk kepada pusat servis kenderaan anda untuk bantuan penundaan, baik pulih dan tuntutan insuran; 
 
7. Elakkan diri dari terlibat berurusan dengan agen, ulat-ulat dan orang yang tidak dikenali bagi mengelakkan sebarang penipuan; 

8. Sekiranya anda tercedera dan ingin membuat tuntutan insuran kepada syarikat insuran kenderaan pihak ketiga. Anda dinasihatkan mendahulukan urusan dan proses rawatan, tenangkan fikiran. Apabila anda semakin stabil dan sihat, barulah anda dapat maklumat dan segala keperluan untuk memulakan proses tuntutan. 

9. Jangan tergesa-gesa terus melantik peguam ketika anda masih berada di wad kecemasan. Ini kerana fikiran, emosi dan kestabilan anda masih terjejas dengan teruk akibat  kemalangan tersebut. Mintalah agen, ulat-ulat, runner atau paralegal dari firma guaman yang datang berjumpa anda untuk bersabar sehingga anda benar-benar sihat dan stabil;

10. Jangan menandatangani apa-apa surat perlantikan peguam ketika anda masih dalam keadaan sakit dan keliru kerana daya fikiran dan emosi anda tidak bersedia untuk berfikir dengan positif, efektif dan mendalam. Dalam situasi ini 95% orang akan terus menandatangani apa jua dokumen tanpa membaca, berfikir dan meneliti secara mendalam akan kesan-kesan dokumen tersebut disebabkan oleh kesakitan, kekeliruan emosi dan pemikiran akibat daripada kecederaan; 

11. Bila benar-benar perlu melantik peguam, pastikan anda diberi informasi yang mendalam mengenai prosedur, dokumen, fee guaman dan kos tindakan. Paling penting sila dapatkan maklumat lengkap mengenai caj-caj yang bakal dikenakan oleh peguam. Sila dapatkan jaminan bertulis berkenaan caj, fee dan kos daripada peguam kerana mutakhir ini banyak kes penipuan yang melibatkan pemotongan pampasan yang terlalu tinggi kerana mangsa dipaksa membayar caj-caj tersembunyi dan kos tindakan yang tidak pernah dinyatakan sebelum ini;

12. Simpan semua dokumen asal berkaitan kemalangan ini seperti kad rawatan, sijil cuti sakit, bil dan resit perubatan, borang x-ray, nota discaj hospital dan bil-bil berkaitan dalam suatu fail khas bagi memudahkan urusan tuntutan. Jangan beri dokumen asal kepada peguam, kerana jika berlaku sesuatu diluar jangkaan anda, anda masih boleh meneruskan tuntutan ini melalui peguam yang baru.

Baiklah cukuplah sampai di sini kerana banyak lagi kerja dan urusan yang perlu dilakukan sebelum saya dapat balik kampung. Kesian isteri saya dari tadi sibuk berkemas seorang diri. Saya pun tidak sabar-sabar nak menjenguk rumah ibu bapa saya di kampung. "Apo kabau uwang kampau awak di kampuong tu"?. Saya ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir batin kepada ibu bapa saya, saudara mara, rakan setugas, rakan-rakan, sahabat handai, kenalan dan pembaca budiman. Semoga kita meraihkan kemenangan ini dengan perasaan penuh takwa dan syukur kepada Allah SWT, amin.




 

 








 

Comments

  1. sekiranya ada masalah kewangan.. bole pinjam wang dengan peguam ke..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.