Thursday, May 18, 2017

PENIPUAN DAN SALAH LAKU DALAM PROSES SETTLEMENT OF ACTION (PENYELESAIAN LUAR MAHKAMAH

Secara jujurnya saya selalu keliru apabila menerima pertanyaan dari pelanggan kami yang meminta kami menguruskan bayaran pampasan serta merta sejurus selepas suatu kes itu berjaya diselesaikan sama ada melalui mahkamah ataupun di luar mahkamah.
 
Saya merasa gusar kerana kami ini bukanlah institusi kewangan atau syarikat insuran yang mempunyai kapital kewangan yang tinggi dan mempunyai poket ajaib seperti Doreamon. Kami terpaksa menunggu sekurang-kurangnya 4 bulan sebelum cek pampasan itu diterima. Sebaliknya kami cuma sebuah firma guaman yang berskala sederhana, komited dan ikhlas dalam menjalankan amanah tugasan kami.
 
Akhirnya saya menjalankan siasatan sendiri dan menjumpai beberapa kes yang langsung tidak pernah terfikir boleh berlaku dalam kehidupan masyarakat kita yang masih lagi mengekalkan tahap kejujuran dan empati yang tinggi.
 
Semasa saya menjalankan tugas dan berjumpa ramai orang, melalui pendedahan mereka saya dapati ada kes terpencil yang menggunakan modus operandi yang sangat tersusun dan licik bagi tujuan mengaut keuntungan berlipat ganda oleh firma guaman dengan menolak prinsip intergriti dan hak pelanggan untuk mendapatkan jumlah penuh wang pampasan mereka.
 
Beberapa mangsa yang saya jumpa mendakwa selepas beberapa bulan kes mereka dibuka. Mereka mendapat panggilan dari peguam yang mengendalikan kes itu bahawa kes mereka telah diselesaikan dengan jumlah tertentu.
 
Kemudian selang beberapa hari peguam itu memanggil mangsa untuk mengambil wang pampasan itu melalui cek pejabat firma itu selepas ditolak lagi beberapa kos yang tidak logik seperti kos perbelanjaan makan, pengangkutan dan sebagainya.
 
Tetapi apa yang mangsa itu tidak tahu atau cuba disembunyikan secara licik oleh peguam ini ialah keadaan dan kedudukan sebenar kes itu. Tanpa pengetahuan mangsa kes itu masih diteruskan kerana tiada sebarang penghakiman difailkan atau nota perpelepasan disempurnakan oleh mangsa.
 
Apabila pihak insuran menawarkan sesuatu jumlah yang sangat menarik, peguam tersebut terus merekodkan penghakiman persetujuan atau menyempurnakan nota perlepasan. Seterusnya apabila cek pampasan diterima daripada pihak insuran, jumlah keseluruhan pampasan ini akan diambil oleh peguam tersebut.
 
Contoh mudah adalah seperti berikut. Ahmad telah terlibat dalam kemalangan berpunca dari kecuaian Ramli. Ahmad melantik peguam A untuk mengendalikan kes ini bagi pihaknya. Selang beberapa bulan, tiba-tiba peguam A memberitahu Ahmad kes tersebut telah diselesaikan dengan jumlah RM20,000.00 tanpa Ahmad dirujuk untuk mendapatkan persetujuan, tandatangan atau sebarang dokumen yang wajar untuk penyelesaian ini.
 
Bagi memulihkan keadaan dan memberi sedikit rasa gembira kepada Ahmad, selang 2 atau 3 hari Ahmad dipanggil ke sebuah bank bersama wakil peguam A tersebut. Ahmad diberitahu beliau kena bayar yuran guaman sebanyak 25% iaitu RM5,000, selain itu Ahmad juga diminta bertanggungjawab menjelaskan kos pengangkutan, makan minum, tax dan sebagainya. Sedangkan sebelum ini Ahmad cuma tahu dan bersetuju bahawa peguam cuma akan mengambil jumlah bersih sebanyak 25% sahaja.
 
Akhirnya setelah dipaksa dan malas bertekak dengan wakil peguam A tersebut,  Ahmad pun terpaksa rela bersetuju menerima jumlah bersih RM12,000 dari jumlah RM20,000.Pembayaran ini pula dibuat melalui cek peguam A itu sendiri  dan Ahmad langsung tidak pernah melihatkan cek pampasan daripada pihak insuran sendiri. Selepas menerima wang ini Ahmad mati-mati fikir atau beranggapan kes ini telah selesai sepenuhnya.
 
Tanpa Ahmad sedar, disebabkan dia tidak pernah menyempurnakan apa-apa dokumen suratcara berkaitan penyelesaian ini. Kes dia sebenarnya masih berjalan kerana sesuatu kes itu cuma boleh dihentikan atau diselesaikan sama ada melalui penghakiman penuh, penghakiman persetujuan ataupun notis pemberhentian.
 
Bagi pelanggan yang memilih untuk menghentikan secara notis pemberhentian, maka mereka perlu menyempurnakan nota perlepasan yang dikeluarkan oleh pihak insuran. Tanpa penyempurnaan dokumen-dokumen ini kes itu sebenarnya masih belum selesai dan sedang berjalan.
 
Kemudian selepas beberapa bulan dari peristiwa ini, fail kes Ahmad ini benar-benar telah matang dan lengkap. Akhirnya pihak insuran berpuashati dan mengeluarkan tawaran penyelesaian berjumlah RM40,000. Peguam A pula membuat keputusan dan tindakan sendiri lalu bersetuju menerima tawaran penyelesaian tersebut dan memohon pihak insuran untuk mengeluarkan cek pampasan tersebut melalui akaun pelanggan firmanya.
 
Apabila cek pampasan itu telah diterima, peguam A terus mendebitkan ke dalam akaun pelanggan firma. Selepas cek itu clear, dia mengeluarkan jumlah keseluruhan wang pampasan milik Ahmad tadi dan memindahkan ke akaun peribadinya dan menggunakan untuk keperluan dan peribadi dia sendiri.

Dalam kes ini sebenarnya Ahmad berhak kepada pampasan sebanyak RM40,000 dan daripada jumlah ini dia perlu membayar RM10,000 sebagai yuran guaman dan kos kepada peguam A. Jadi jumlah bersih patut diterima oleh Ahmad adalah RM30,000
 
Tetapi melalui modus operandi licik dan tersusun ini Ahmad tidak sedar akan haknya. Dia cuma menerima RM12,000 sedangkan peguam A pula berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda sebanyak  RM28,000 dari kes tersebut.
 
Saya menasihati pembaca yang mungkin kes mereka sedang berjalan, apabila menerima panggilan daripada peguamcara anda memaklumkan bahawa kes anda telah selesai. Adalah lebih baik untuk bertanya atau mempertikaikan penyelesaian itu. Sila tanya hal-hal berikut:-
1. Jikalau benar kes itu selesai siapakah yang memberi kebenaran dan persetujuan untuk penyelesaian tersebut;
2. Siapakah yang menyempurnakan tandatangan anda dalam dokumen persetujuan atau Nota Perlepasan itu;
3. Jikalau kes ini didakwa diselesaikan secara penghakiman persetujuan, siapakah yang hadir dan menurunkan tandatangan ke atas fail kes sebelum penghakiman itu direkodkan di depan hakim.
 
Perlu diingatkan peguamcara tidak boleh menerima, memutuskan dan bertindak sendiri bersetuju dengan apa jua jumlah pampasan yang ditawarkan oleh pihak insuran dalam mana-mana kes, kecuali selepas beliau berunding, menasihati dan mendapat persetujuan nyata daripada anakguam.
Persetujuan ini perlu dizahirkan melalui indosment, pengakuan bertulis dan penurunan tandatangan oleh anakguam sama ada di atas fail, surat atau pun dokumen Nota Perlepasan.

Friday, May 5, 2017

URUSNIAGA KENDERAAN SAMBUNG BAYAR

Mutakhir ini urusniaga jual beli kenderaan bermotor secara sambung bayar menjadi satu trend yang popular, menarik, mudah dan ringkas. Mungkin ini didorong oleh keinginan materialistik, sikap bermegah dan ingin sanjungan tanpa mengambil kira kedudukan dan realiti kekuatan kewangan diri masing-masing.
 
Walaupun popular, ringkas, mudah dan menarik tetapi ramai orang yang terjebak dalam urusniaga ini akhirnya sedar dan insaf bahawa tiada jalan mudah, ringkas dan pantas untuk memiliki harta tanpa perlu mematuhi undang-undang.
 
Setiap hari ada saja orang baru yang menjadi mangsa penipuan sama ada mereka disaman oleh agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan JPJ, atau dikena tindakan perundangan oleh pihak bank dan agensi kewangan dan/atau disaman oleh mana-mana individu yang mengalami apa jua kerugian dan kecederaan akibat daripada penggunaan, pengawalan dan pemanduan kenderaan tersebut.

Semua ini berlaku apabila kita segelintir rakyat meremehkan atau memandangkan ringan kepada terma dan syarat dalam perjanjian sewa beli di bawah Akta Sewa Beli 1967. Tanpa berfikar panjang segelintir daripada kita sewenang-wenangnya menjual kenderaan bermotor kepada pihak ketiga untuk mendapatkan wang segera tanpa mendapat kebenaran pihak bank dan tanpa menukar nama dalam geran kenderaan.

Melalui Akta Sewa Beli 1967 ini hak dan kepentingan kedua-dua pihak iaitu pemunya (institusi kewangan) dan penyewa (peminjam) dijamin, dipertahankan dan dipelihara. Ramai penyewa (pembeli kenderaan secara pinjaman bank) tidak memahami atau tidak sedar bahawa mereka bukanlah pemilik atau pemunya kenderaan tersebut sehinggalah mereka melunaskan semua pinjaman pembelian kepada pihak bank (pemunya).

Setiap transaksi atau urusniaga atau jual beli kenderaan bermotor atau apa saja barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli mestilah terlebih dahulu perlu mendapat persetujuan dan kebenaran daripada pihak bank/syarikat kredit yang sebenarnya menjadi pemunya barangan tersebut.

Implikasi utama yang selalu terjadi ialah apabila ada pembeli baru yang sedikit cerdik dan memahami Akta Sewa Beli 1967 ini akan mengambil kesempatan dengan membayar sedikit wang kepada penyewa dan akhirnya dengan wang yang sedikit ini beliau dapat mengguna pakai kenderaan tersebut sepuas-puasnya tanpa perlu terikat membayar ansuran bulanan, tanpa takut implikasi undang-undang, tanpa takut kepada tindakan saman oleh PDRM atau JPJ kerana semua ini akan terikat dan ditanggung oleh penyewa kenderaan tersebut.

Sedarkah anda berapa ramai antara pembeli secara sambung bayar ini telah culas dan lari dari membayar ansuran bulanan, walaupun telah diikat dengan perjanjian bertulis. Terlalu ramai sebenarnya, setiap hari ada saja penyewa baru yang dikenakan tindakan muflis kerana pembeli sambung bayar ini telah melarikan kenderaan dan tidak membayar ansuran bulanan seperti yang dijanjikan kepada pihak bank.

Perlu anda sedari sebagai penyewa dan pemilik berdaftar apa jua kenderaan bermotor anda sememang terikat dan terkait dengan kenderaan tersebut sama ada dari segi pematuhan perjanjian sewa beli, undang-undang jalan raya, undang-undang sivil. Apa sahaja yang berlaku disebabkan kegagalan melunaskan hutang pinjaman semua ini akan terbeban kepada anda, sekiranya kenderaan itu digunakan untuk tujuan jenayah, maka andalah suspek utamanya, sekiranya pemandu kenderaan itu melanggar undang-undang jalanraya raya, maka saman itu akan dipertanggungjawabkan kepada anda. Malah sekiranya kenderaan itu terlibat dalam kemalangan sudah semestinya anda jugalah perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan semua isu dan masalah berbangkit.

Tetapi apa yang orang ramai tidak tahu ialah di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967 memperuntukkan bahawa menjadi satu kesalahan apabila menjual apa-apa barang yang dibeli secara perjanjian sewa beli tanpa kebenaran dan persetujuan pemunya (bank/syarikat kredit) dan dijika didapati bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

 

Thursday, May 4, 2017

TUNTUTAN PERKESO (SOSCO)

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca atau peminat blog ini. Semasa mewujudkan blog ini saya sama sekali tidak pernah terfikir blog ini akan mendapatkan tempat di kalangan pembaca kerana saya menyedari penulisan ini adalah satu penulisan teknikal yang berat.
 
Bagaimanapun setiap tahun blog ini semakin diterima dan dijadikan rujukan banyak pihak. Melalui blog ini saya dapat mengenali dan membantu banyak pihak. Kadangkala ada juga pelanggan saya yang saya kenali dan capai bukan melalui medium media sosial ini, tetapi tetap memanggil saya dengan nama pena saya karlz kampau. Ini satu pengiktirafan kerana mereka menerima dan membaca penulisan-penulisan saya.
 
Kebelakangan ini saya banyak menerima panggilan telefon atau chat melalui applikasi whatapps bertanya isu dan masalah pampasan PERKESO.  Saya juga tertanya kenapa ramai orang berhubung dengan saya berkenaan tuntutan PERKESO ini.
 
Saya membuat semakan dan carian, rupa-rupanya apabila carian tuntutan pampasan dibuat melalui carian google, hasil utamanya akan memaparkan sebahagian artikel dalam blog ini. Oleh itu saya suka membuat penjelasan bahawa segala penulisan dan artikel dalam blog ini tidak berkait atau boleh diterima pakai dalam apa jua prosiding tuntutan PERKESO.
 
Penulisan saya cuma menyentuh isu, prosedur dan prosiding yang berkaitan tuntutan kemalangan akibat jalan raya yang dibawa melalui Akta Undang-undang Sivil 1956. Ia sama sekali tidak berkait atau boleh diterima pakai untuk apa jua proses dan prosiding tuntutan PERKESO.
 
PERKESO  atau lebih sinonim dan lebih dikenali sebagai SOSCO ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Ia lebih mirip kepada satu caruman insurans bagi melindungi dan menjaga kepentingan serta kebajikan pekerja dan majikan.
 
Mana-mana orang yang dicarumkan dalam perlindungan PERKESO atau yang menyertai skim ini sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja atau dalam perjalanan pergi-balik untuk bekerja; atau dalam perjalanan untuk tujuan melaksanakan pekerjaan berhak untuk membuat tuntutan faedah:-
1. Kehilangan upaya sementara;
2. Kehilangan upaya kekal.
Faedah pampasannya dinilaikan berdasarkan kepada nilai caruman dan gaji pencarum. Semakin tinggi nilai caruman bulanan dan tinggi gaji seseorang pencarum maka semakin tinggilah nilai pampasannya. Sebarang pertanyaan kepada pihak PERKESO boleh dicapai melalui laman web rasmi PERKESO http://www.perkeso.gov.my/my.

Wednesday, January 25, 2017

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.

1. Saya kerap dihubungi pengunjung blog ini secara berulang kali, permasalahan popular yang diutarakan oleh mereka kepada saya pula hanya berkisar kepada perincian mengenai fee guaman dan kos tindakan yang dikenakan ke atas mereka. Mereka sangat bimbang kalau-kalau mereka ditipu oleh peguamcara yang mengendalikan kes mereka. Ini kerana sebahagian besar dari mereka langsung tidak tahu dan faham sepenuhnya apa itu fee guaman dan apa itu kos tindakan?.
 
2. Selain itu, mereka juga tidak faham apa itu perjanjian lisan dan apa itu kos tindakan?. Di sini saya akan huraikan secara ringkas maksud kedua-duanya sekali. Fee guaman adalah yuran guaman yang perlu dibayar oleh pelanggan disebabkan mereka telah menerima perkhidmatan profesional daripada pengamal undang-undang. Fee ini adalah meliputi untuk bayaran kerja konsultansi, berjumpa dan mengambil arahan pelanggan, memberi nasihat, melaksana arahan, membina, membangun, melindungi, menyusuli dan mempertimbangkan serta meneliti isu undang-undang atas dokumen, fakta dan keterangan.
 
3. Kos Tindakan pula adalah bayaran untuk perbelanjaan bagi membuka, membina, membangun dan menyelengggara sesuatu kes itu dari mula  ia dibuka sehingga kes itu selesai sepenuhnya. Contohnya kos dokumentasi, pengangkutan, alat tulis, telekomunikasi, pos dan kurier, fee mahkamah dan GST.
 
4. Dalam kes sivil biasa pelanggan dikehendaki menjelaskan bayaran bagi kedua-dua kos tersebut dan bil akan diserahkan kepada pelanggan pada setiap peringkat kes itu berjalan, dan pelanggan perlu terlebih dahulu menjelaskannya sebelum kes itu boleh memasuki fasa seterusnya. Tetapi sekiranya pelanggan gagal melunaskan bayaran seperti mana yang diminta, peguamcara boleh menarik diri dari mewakili pelanggan tersebut.
 
5. Pengendalian kes tuntutan kemalangan walaupun ianya juga adalah satu kes sivil tetapi ia mempunyai keistimewaan dan ciri berbeza, dimana peguam mengguna budi bicara yang mulia dan niat yang luhur semata-mata bagi melihat tertegaknya undang-undang dan bagi membolehkan mangsa kemalangan yang tidak ada kekuatan kewangan tetap mendapat pembelaan dan hak yang sewajarnya samarata  disisi undang-undang.
 
6. Justeru itu majoriti firma guaman yang mengendalikan kes tuntutan kemalangan akan menggunakan budi bicara, mengambilkira faktor keperluan dan kepentingan awam, mereka bersetuju untuk mengeluarkan semua perbelanjaan dan kos pengendalian kes itu, dengan terma dan syarat pelanggan perlu bersetuju membayar semula kepada mereka jumlah lebih kurang 25%-30% daripada nilai pampasan sebagai bayaran fee guaman dan kos tindakan. Akan tetapi sekiranya kes itu gagal dan tidak Berjaya, peguamcara bersetuju untuk melepaskan pelanggan dari sebarang bebanan membayar sebarang kos. Sila rujuk Ilustrasi Gambar A untuk mendapatkan gambaran dan perinciannya.
 
7. Malangnya, presiden ini tidak lagi diikuti pada masa kini, kerana sebahagian besar pengamal undang-undang tidak lagi memikirkan tanggungjawab sosial, tiada lagi sifat empati, prihatin dan langsung tidak melihat dari sudut keperluan dan kepentingan awam. Tetapi retina mata mereka lebih fokus kepada membuat keuntungan berlipat ganda seperti kapitalisme tanpa melihat tindakan ini akan memberi kesan buruk kepada mangsa, masyarakat, institusi pihak berkuasa, pengendali insuran dan bahkan kepada negara juga.
 
8. Tetapi lebih malang kerana semasa atau ketika berada dalam mana-mana peringkat proses untuk membuat duit atau mengaut keuntangan ini, pengamal undang-undang itu bersekongkol, bersubahat dan terlibat dalam aktiviti jenayah komersial seperti melakukan muslihat penipuan, menyembunyikan caj-caj perkhidmatan, memberi maklumat yang songsang, tidak telus, tidak jujur, menindas dan menzalimi pelangan.
 
9. Modus operandinya tout, agen, runner dan wakil guaman akan berkeliaran sama ada di wad kecemasan hospital ataupun di ruang kaunter pertanyaan balai trafik untuk mencari pelanggan. Apabila bakal pelanggan dikenal pasti, mereka akan kunci dan log bakal pelanggan ini. Kemudian mangsa akan dilobi, dicuci, dirasuah, dijanjikan pelbagai keistimewaan, diugut dan dipaksa untuk bersetuju melantik peguamcara yang dicadangkan oleh taut, agen, runner dan/atau wakil guaman tersebut.
 
10. Paling menyedihkan mangsa kemalangan ini langsung tidak diberi taklimat, penjelasan dan konsultansi mengenai cara, kaedah dan jumlah bayaran guaman akan diambil atau dikenakan ke atas mereka jika dia ingin melantik peguam yang dicadangkan itu. Paling asas, popular dan biasa diamalkan oleh tout, agen, runner dan/atau wakil guaman, mereka memberi jaminan lisan bahawa peguam pilihan mereka cuma mengambil jumlah 25%-30% sahaja daripada nilai pampasan yang akan terima mangsa, tiada apa-apa caj lain yang akan diambil atau dikenakan ke atas pelanggan melainkan jumlah 25%-30% ini. Perjanjian ini pula tidak disusuli dengan jaminan bertulis untuk melindungi kepentingan pelanggan.
 
11. Akhirnya, seperti biasa, selalu dan popular mangsa akan dipaksa bertanggunggangjawab untuk menjelaskan fee guaman 25%-30% bersama caj-caj tambahan lain yang tersembunyi dan terselindung. Kesemua bayaran ini akan terus dipotong daripada pampasan pelanggan. Alasan popular yang diberikan untuk menafikan hak pengguna pelanggan ialah peguam tidak bertanggungjawab kepada kos tindakan dan GST kerana tidak perjanjian khusus yang dicapai atau dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak sebelum ini. Jadi pelanggan bersalah kerana tidak bertanya walaupun ada peluang untuk bertanya mengenai hal ini pada bila-bila masa sebelum ini. Lebih menyakitkan hati mereka akan menomahkan bahawa semua firma guaman yang mengendalikan kes kemalangan akan mengguna, menerima pakai cara dan kaedah ini sama seperti mereka. Tetapi realitinya masih wujud dan banyak lagi firma guaman yang jujur, ikhlas dan telus memberi perkhidmatan kepada orang ramai, cuma orang ramai perlu ilmu dan mencari mereka dengan sabar dan teliti. Sila rujuk Ilustrasi Gambar B untuk gambaran dan penjelasan yang lebih terperinci.
 
12. Pengguna harus bangkit, hentikan semua penipuan dan penindasan ini. Pengguna harus tahu bahawa  mereka ada hak, kemulian dan maruah yang dilindungi dan dijamin oleh undang-undang. Dalam isu ini sekiranya ketika pra perlantikan peguam tout, agen, runner atau wakil guaman menyakinkan anda bahawa peguam pilihannya cuma akan mengambil 25% daripada nilai pampasan, tanpa ada pemotongan caj-caj lain yang tersembunyi, maka dari segi undang-undang pelanggan cuma perlu bertanggungjawab untuk membayar dan menjelaskan jumlah sebanyak 25% sahaja sebagai bayaran fee guaman termasuk kos tindakan dan GST. TIADA caj-caj lain yang boleh diambil atau dipotong oleh firma guaman tersebut, sekiranya ada juga berlaku pemotongan lain, ini adalah satu jenayah komersial yang boleh disiasat oleh PDRM sekiranya ada aduan dan pihak SPRM kerana kemungkinan wujud salah guna kuasa, percanggahan kepentingan dan rasuah oleh pihak-pihak berkaitan.
 
13. Contoh mudah bila anda pergi ke pusat service kereta, sebelum atau pra pembaikan, eksekutif pusat service akan memberi taklimat mengenai kerja-kerja penyelenggaraan yang bakal dijalankan, anggaran kos alat ganti dan anggaran upah. Selepas anda bersetuju dengan  terma dan syaratnya, anda akan diminta untuk menandatangani persetujuan dan tanggungjawab bagi urusan tersebut. Kemudian barulah kerja baik pulih akan dilaksanakan. Bila kerja tersebut selesai dan anda berpuashati dengan mutu alat ganti dan perkhidmatan di situ, barulah anda perlu membayar semua kos yang terlibat semua dengan persetujuan anda sebelum ini. Tetapi sekiranya semasa pra pembaikan anda langsung tidak diberi taklimat mengenai kerja penyelenggaraan yang bakal dilaksanakan, anggaran upah dan alat ganti dan persetujuan anda tidak diambil dan beri keutamaan, maka apabila kerja tersebut siap selesai, anda tidak perlu membayarnya kerana anda cuma perlu bertanggungjawab ke atas bayaran upah dan alat ganti yang anda tahu, anda setuju dan anda ada ditanyai sebelum sesuatu kerja penyelenggaran dilaksanakan atau alat ganti ditukarkan.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Friday, January 13, 2017

LAPORAN PERUBATAN PAKAR (SPECIALIST REPORT)

 1. Orang kita memang diakui gemar kepada perkara yang pantas, laju dan ekspres. Orang kita sangat alah kepada masa, dalam serba serbi mereka ingin cepat dan pantas. Umpamanya makan cepat, solat cepat, belajar cepat, pokoknya dalam semua urusan dan perkara masa dan kecepatan adalah perkara utama yang diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. Tetapi mereka terlupa kepada persoalan kualiti.
 
2. Justeru itu, oleh kerana kita begitu obses kepada semua perkara dan hal yang cepat dan ekspres, jadi tidak hairanlah sekiranya ramai orang kita juga jadi mangsa penipuan dengan cepat dan ekspres, sebagaimana kita suka kepada hal dan perkara ekspres, begitulah natijah akhir yang kita terima iaitu kena tipu juga dalam keadaan secara cepat dan ekspres.
 
3. Masyarakat kita menolak untuk memberi sedikit masa dan ruang bagi meneliti, menyemak dan menimbangkan sesuatu perkara itu secara rasional, asalkan apa yang mereka dengar atau pun lihat itu sesuatu yang untung dan cepat, mereka terus percaya dan yakin. Langsung tiada semak dan imbang. Disinilah kunci kejayaan seorang penipu mereka tahu anda suka kepada hal dan perkara yang cepat dan ekspres.
 
4. Saya acapkali dipertanyakan atau setidak-tidaknya dipersoalkan sama ada dokumen laporan perubatan pakar (specialist report) adalah suatu keperluan yang kuat dan asas dalam suatu kes tuntutan kemalangan. Ini terjadi kerana ada tout, agen, ulat dan wakil guaman yang memberi informasi yang salah dan mengelirukan pengguna. Dalam perbincangan atau konsultansi mereka ini cuma memberi fokus utama kepada kecepatan dan betapa ekspresnya mereka menyelesaikan kes tuntutan kemalangan. Ada yang mendakwa boleh menyelesaikan kes melibatkan mangsa yang mengalami cedera patah anggota badan dalam tempoh masa 5 bulan selepas tarikh kemalangan.
 
5. Boleh dikatakan, majoriti tout, agen, ulat dan wakil guaman yang berkeliaran mencari mangsa di wad-wad hospital dan balai polis trafik adalah individu yang tidak ada pengalaman, terlatih dan berpendidikan dalam bidang undang-undang. Tetapi harus diakui mereka ada bakat ayat power dan mulut manis yang sangat hebat. Di hadapan mangsa mereka boleh jadi sesiapa, boleh jadi hakim yang memutuskan award pampasan, boleh jadi peguam yang handal memberi jaminan semua perkara ok dan boleh diuruskan, menjadi seolah-olah io kes accident, malah kuasanya lebih hebat daripada pegawai PDRM sendiri.
 
6. Mari kita hentikan semua lakonan di pentas ini dan jangan beri kesempatan dan ruang yang besar kepada sipenipu itu untuk mengambil kesempatan ke atas kejahilan dan keterujaan kita kepada kecepatan dan kepantasan. Hari ini saya akan berkongsi dengan anda semua mengenai keperluan dokumen laporan perubatan pakar, anda akan tahu dan sedar betapa pentingnya kes anda perlu diuruskan oleh peguam yang sabar, tekun, teliti dan tidak berputus asa.
 
7. Ketahuilah apabila anda terlibat dalam suatu kejadian kemalangan dan anda perlu segera untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik atau hospital yang diiktiraf oleh majlis perubatan Malaysia dan KKM. Kemudian peguamcara anda akan memohon laporan perubatan daripada klinik atau hospital tersebut. Apakah kandungan utama laporan perubatan awal (initial medical report)?
 
8. Laporan perubatan awal biasanya cuma mengandungi fakta dan maklumat mengenai diri mangsa, sejarah kejadian dan rawatan, diagnosis kecederaan, rawatan dan ubatan yang diberikan kepada pesakit serta perkembangan pesakit. Biasanya maklumat ringkas diberikan mengenai proses rawatan pesakit ketika pesakit dalam rawatan pemulihan. Tempoh biasa yang dicadangkan untuk proses rawatan dan pemulihan oleh kebanyakkan doktor pakar ialah sekurang-kurangnya 9 bulan selepas tarikh kemalangan. Sebelum tempoh masa ini pesakit cuma boleh disahkan sedang mengalami kecacatan atau hilang upaya sementara sahaja.
 
9. Oleh itu adalah menjadi keutamaan dan keperluan yang sangat munasabah untuk merujuk pesakit kepada doktor pakar bagi melakukan suatu pemeriksaan dan ujian intensif bagi memeriksa dan mengesahkan sama ada pesakit itu ada mengalami kecacatan dari segi fizikal, emosi dan mental, hilang upaya  sementara atau kekal yang mungkin boleh menjejas kehidupan, pekerjaan, hubungan sosial pesakit dengan masyarakat.
 
10. Tanpa adanya laporan perubatan pakar disediakan dalam kes tuntutan kemalangan pesakit itu tidak dapat membuktikan apa-apa kecuali kecederaan yang beliau alami ketika kejadian kemalangan ini berlaku. Kita harus sedar kecederaan itu pula boleh sembuh dan pulih sama ada pulih sebahagian atau sepenuhnya. Malangnya ini tidak dapat disahkan dengan hanya berpegang kepada laporan perubatan awal sahaja.
 
11. Boleh dikatakan kes yang diselesaikan dalam tempoh masa 6 bulan ke bawah adalah satu kes yang diuruskan secara cepat, cincai dan ekspres. Situasi ini sama seperti kita melantik tukang rumah untuk menyiapkan rumah dengan cepat, laju dan ekspres, mereka akan siapkan dengan cepat tanpa memberi perhatian kepada kualiti sama ada fizikal atau kekuatan dan keutahan bangunan asalkan cepat siap. Kerja yang pantas tanpa kecermatan selalu akan menghasilkan kualiti fizikal yang buruk, tidak kukuh dan tahan.
 
12. Sama juga dengan pengendalian kes tuntutan kemalangan, peguamcara yang bagus dan berpengalaman tidak akan mengendalikan kes anda secara semberono, cincai dan cepat. Mereka sangat memberi perhatian kepada keadilan dan kepentingan anda sebagai manusia, mereka sangat prihatin akan kemungkinan anda akan mengalami masalah kesihatan, kehidupan, pekerjaan dan hubungan sosial dengan masyarakat. Justeru itu mereka tidak akan mengambil tindakan menyelesaikan kes anda tanpa mereka rujuk anda kepada doktor pakar untuk pemeriksaan dan pengesahan kecacatan, hilang upaya dan  kesan lain yang kekal akibat atau timbul daripada kecederaan yang alami dalam suatu kemalangan.
 
13. Selain itu, prosedur tuntutan SOSCO dan insuran hayat juga memerlukan anda untuk menjalani suatu pemeriksaan dengan panel doktor pakar yang dilantik oleh SOSCO atau syarikat insuran hayat selepas tempoh 12 bulan selepas anda mendapat kecederaan dalam suatu kemalangan. Tanpa laporan perubatan pakar anda tidak layak sama sekali untuk menuntut gantirugi pampasan bagi kecacatan atau hilang upaya kekal. Begitu dalam kes sivil tuntutan kemalangan, tanpa laporan perubatan pakar anda tidak layak untuk menuntut pampasan gantirugi kecacatan, hilang upaya, hilang keupayaan pendapatan masa depan, hilang keseronakan hidup, hilang peluang berkahwin dan lain-lain lagi. Diharap penulisan ini dapat memberi kefahaman yang betul kepada pengguna, pengguna smart adalah pengguna yang bijak dan bermaruah.
 
#karlzkampau #paralegal #tuntutankemalangan #initialmedicalreport #specialistreport #accidentclaim #penggunabijak #penggunabermartabat #penggunabermaruah
 
 
 
 
 
 

Sunday, December 4, 2016

APA ITU LITIGASI FRAUD?

1. Mutakhir ini tuntutan palsu atau litigasi fraud berkaitan kes kemalangan jalanraya sudah kerap dikesan sama ada oleh pihak syarikat insuran, mahkamah, pegawai penyiasat dan  peguamcara sendiri. Kenapa ianya menjadi trendy?kerana ianya satu jalan mudah untuk mendapatkan wang pampasan yang banyak.
 
2. Definasi fraud merujuk kepada Kamus Undang-undang adalah nyataan palsu tentang sesuatu penyataan atau perlakuan yang dibuat dengan tujuan memperolehi kelebihan material. Justeru situ ecara mudah dan ringkasnya kes fraud ini  boleh dikatakan adalah satu tuntutan atau litigasi palsu atau bercanggah dengan undang-undang yang dibawa oleh litigan dengan tujuan untuk menipu pihak insuran bagi mendapat faedah material.
 
3. Objektif litigasi fraud dalam kes sivil accident adalah untuk mendapatkan pampasan gantirugi yang sebenarnya tidak sah dari segi undang-undang, tidak suci dari segi agama dan moral walaupun dibuat mengikut saluran undang-undang yang sah.
 
4. Siapakah litigan kes fraud? majoriti litigan kes fraud adalah mangsa kecelakaan jalanraya yang mengalami kecederaan parah atau kerugian dalam suatu kemalangan yang tidak melibatkan kecuaian pihak ketiga, tetapi adalah disebabkan kecuaian diri sendiri seperti terjatuh motorsikal, terlanggar haiwan, terlanggar tiang dan pembahagi jalan.
 
5. Bagaimana kes litigasi fraud diwujudkan? semasa mangsa kemalangan cuai sendiri ini berada di wad kecemasan, mereka akan didekati oleh agen atau tout, mereka diberi nasihat yang salah, dihasut, dipujuk dan diyakini untuk terlibat dalam satu pakatan bagi mewujudkan satu kes kemalangan jalanraya yang palsu.
 
6. Bila mangsa bersetuju, agen atau tout akan mencari rakan subahat dan mengarahkannya membuat laporan polis mengikut skrip yang direka. Kemudian apabila mangsa keluar hospital dia akan membuat laporan polis mengikut skrip yang reka oleh agen atau tort itu. Sementara itu Pegawai Penyiasat Trafik akan menjalankan siasatan seperti biasa dan di akhir siasatan dia akan mengeluarkan saman kecuaian kepada rakan subahat. Akhirnya kes kotor ini telah pun menjadi satu kes tort kecuaian jalanraya yang baik.
 
7. Kemudian kes ini dipanjangkan kepada peguamcara untuk dijadi kes litigasi di mahkamah untuk mendapat remedi gantirugi. Tetapi majoriti litigasi fraud dapat dikesan semasa proses perbicaraan atau pun mana peringkat penyiasatan oleh adjuster insuran. Saya masih ingat pada tahun 2009 akhbar tempatan melaporkan beberapa orang peguam, pegawai insuran, penyiasat trafik, agen dan taut telah ditahan untuk siasatan dalam operasi besar-besaran oleh SPRM bagi melumpuhkan sindikit penipuan dan pemalsuan tuntutan insuran ini. Ini menunjukkan aktiviti merancang dan menjayakan litigasi fraud ini wujud dan menjadi ancaman kepada masyarakat, undang-undang dan juga negara.
 
8. Kesan litigasi fraud kepada industri insuran. Tuntutan palsu ini telah menyebabkan kerugian dan kehilangan wang berbilion ringgit, gejala ini sekiranya tidak dikawal secara berkesan boleh mengakibatkan industri insuran menjadi lumpuh dan bankrap. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan ekonomi negara apabila banyak syarikat insuran tempatan gulung tikar kerana terpaksa menanggung pampasan palsu yang tinggi.
 
9. Kesan litigasi fraud kepada institusi guaman. Kewujudan litigasi fraund ini sangat menjejaskan reputasi pengamal undang-undang, selain itu pengamal undang-undang yang terlibat dalam perwakilan litigasi fraud ini akan mengalami kerugian yang sangat besar daripada segi masa, imej, reputasi dan wang ringgit. Apabila syarikat insuran dapat mengesan kewujudan litigasi fraud yang direpresentasi oleh mana-mana firma guaman, selepas itu mereka mark dan lebih berhati-hati kepada lain-lain litigasi yang direpresentasi oleh firma guaman tersebut.
 
10. Kesan litigasi fraud kepada indeks rasuah negara. Penambahan kewujudan litigasi fraud ini akan memberi kesan kepada indeks rasuah negara dan mewujudkan presepsi negatif kepada masyarakat awam. Sekurang-kurangnya komuniti awam akan beranggapan litigasi fraud tidak mungkin berjaya tanpa ada pakatan dan unsur-unsur rasuah dalam semua lingkungan pihak terlibat. Ini sudah tentu melibatkan senarai panjang seperti peguam, pegawai tuntutan, pegawai penyiasat trafik, agen dan taut.
 
11. Kesan litigasi fraud kepada masyarakat. Sepertimana telah dinyatakan di atas, kes ini adalah kes tuntutan palsu, dibuat melalui pakatan terancang, semua timbul daripada semua unsur penipuan dan pemalsuan. Apa jua hasil yang lahir daripada perbuatan memalsu dan menipu akan memberi kesan buruk sama seperti mencuri dan menzalimi hak orang lain. Mudahnya mana-mana agama dalam dunia ini melarang penganut mereka melakukan kezaliman, penipuan, mencuri dan menjarah hak orang lain, apatah lagi majoriti rakyat di negara ini beragama Islam, agama kita menitik beratkan rezeki yang bersih dan halal. Supaya umat kita akan sentiasa menjadi manusia yang hebat fizikal dan rohaninya. Litigasi fraud ini sama macam barah yang merosak hati dan jiwa masyarakat.
 
12. Kita selalu mengkritik dan menghukum pemimpin atau sesiapa saja sebagai pencuri, penjarah, perasuah, penipu dan pelbagai tuduhan hina dan keji yang lain. Tapi pada masa yang sama bila kita ada peluang untuk menipu, menjarah dan merompak hak insuran, kita lupa pula perbuatan itu adalah dosa, kita terus setuju berpakat untuk menipu, di mana harga diri dan iman kita? Adakah nilainya cukup setakat 10K-40K yang pampasan yang kita tipu itu? murahnya.....iman kita. Punca rezeki yang kotor dan tidak halal hanya akan menyebabkan hati gelisah, jiwa tidak tenteram dan iman pula semakin menipis. Insaflah.
 
13. Ramai orang tidak sedar, ketika kita diuji dengan kesakitan dan kecelakaan, itu sebenarnya wake up call daripada Allah SWT. Allah memberi kita sedikit ujian dengan kesusahan dan kesakitan kerana Dia amat mengasihi kita, ingin kita kembali kepada jalanNya. Tapi kita tidak melihat hikmah, masih terperangkap dengan kecemasan dan ketamakan dunia. Dunia hanya sementara, nikmatnya sangat sedikit berbanding akhirat. Banyak jalan untuk menuju ke syurga Allah, salah satu membuat amal kebajikan dan berakhlak mulia. Saya ingin melihat dan berdoa agar semua warga mampu menjadi insan terbaik kalau bukan untuk negara, cukuplah untuk diri sendiri dan masyarakat kita. Insyallah.

#karlzkampau #paralegal #tuntutankemalangan #samansivil #litigasikemalangan #kemalangan
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 

Friday, September 23, 2016

PEGUAM TIDAK KALAH DARI SEGI PROFESIONALISMENYA TETAPI TEWAS DARI SEGI KETELUSAN

Kenapa tajuk di atas menarik perhatian saya? dari sisi pandangan saya ramai orang keliru dan berprejudis kepada tugasan dan profesionalisme seorang peguam semasa mereka beramal dan menjalankan tugasnya sebagai pengamal undang-undang. Saya percaya 100% tanpa sedikit ragu dan menegaskan bahawa peguam di negara ini sangat profesional semasa mereka menjalankan tugas mereka. 

Hari ini saya mendapati ramai orang menghubungi saya semata-mata untuk mendapatkan pandangan mengenai jumlah kuantum pampasan, seolah-olah mereka tidak percaya atau setidak-tidaknya berasa ragu dan prejudis kepada kemampuan dan profesionalisme peguam yang mereka lantik sendiri untuk menangani kes mereka di mahkamah. 

Saya tidak mengalakkan sikap ini kerana kebimbangan ini tidak tepat dan tidak bertempat. Perlu anda memahami dan percaya bahawa peguam anda mempunyai segala kelebihan dan akses penuh kepada maklumat, dokumen dan bukti dalam kes anda, justeru itu anda sebenarnya tidak memerlukan lagi satu opinion kedua dalam situasi ini kerana opinion kedua itu sudah tentu tidak berpandukan kepada asas, bukti dan pemerhatian kepada dokumen dan fakta kerana ia dibuat hanya melalui kesimpulan biasa. 

Nah bagaimana anda boleh terfikir satu opinion biasa tanpa asas boleh dibandingkan kejituan dan ketepatannya dengan opinion dan dapatan profesional yang bersandarkan akses kepada dokumen, maklumat, bukti dan fakta. Ketika peguam anda memberitahu anda suatu jumlah pampasan bagi suatu kecederaan percayalah itu adalah nilai terbaik yang patut anda terima berasaskan kepada bukti, maklumat dan dokumentasi. Contohnya sekiranya peguam anda memberitahu anda di mahkamah sebelum suatu prosiding bicara dijalankan bahawa pihak insuran menawarkan satu tawaran penyelesaian sebanyak RM35k untuk patah kaki, saya fikir ini tawaran yang baik kerana ketika itu saya percaya peguam anda telah cermat meneliti dan mempertimbangkan tahap kecederaan anda bersama bukti-buktinya. Justeru itu sikap tidak percaya dan prejudis untuk mendapatkan opion kedua ini adalah tidak tepat dan tidak berasas. 

Saya tidak pernah meragui profesionalisme mana-mana peguam kes kemalangan jalan raya kerana rata-rata peguam yang saya temui mereka berjuang sehabis baik untuk mendapatkan jumlah pampasan tertinggi kerana mereka mendapat imbuhan bayaran berdasarkan nilai peratusan pampasan anda, maka mungkin mereka boleh dikompromikan oleh syarikat insuran dengan nilai yang rendah kerana apabila kes anda diselesaikan dengan nilai yang rendah, mereka juga terima upah yang rendah, ini amat merugikan mereka.

Tujuan dan objektif penulisan artikel saya yang lalu bertajuk "bagaimana pampasan anda ditaksirkan" telah disalah ertikan oleh kebanyakan pembaca blog ini. Saya berkongsi maklumat dan mendedahkan bagaimana prosedur dan tatacara pampasan itu ditaksirkan supaya anda celik mata dan dapat pengetahuan bagi mencegah anda digula-gulakan oleh agen dan runner. Saya tidak mahu lagi pembaca dikelirukan oleh agen atau runner ketika mereka menjalankan urusan niaga dengan anda. Majoriti agen atau runner tidak mempunyai latar belakang pengetahuan undang-undang berkaitan kes kemalangan, tetapi mereka memetik angka-angka tidak munasabah semata-mata untuk mempersonakan bakal pelanggan mereka. Jadi penulisan artikel itu objektifnya adalah membimbing anda supaya tidak dikelirukan oleh agen atau runner di hospital. 
Saya pernah diberitahu oleh mangsa kemalangan yang mengalami patah tulang femur berusia 45 tahun, tidak ada pendapatan tetap, beliau dijanjikan pampasan lebih 100K jika kes itu diuruskan oleh agen dan runner M. Saya menasihati dia supaya berhati-hati, bagaimanapun akhirnya umpan manis mengenai mangsa, dia setuju melantik peguam yang diuruskan oleh agen M kerana sudah termimpi-mimpi pampasan lebih 100K itu. Tetapi mimpi selalunya tidak seindah realiti, kerana realiti selalu berbeza dengan fantasi, akhirnya beliau cuma dapat lebih kurang 35K sahaja, lebih malang lagi selain pemotongan upah peguam sebanyak 30% daripada nilai pampasan, dia juga dikenakan pemotongan lain untuk caj-caj tambahan tersembunyi. Jumlah bersih yang beliau terima tidak lebih daripada 15K.
Saya mengajak anda untuk menilai dan mencari punca kejadian ini secara telus dan jujur. Apa yang berlaku ke atas mangsa yang dicontohkan tadi sebenarnya berpunca dari sikap tamak dalam dirinya sendiri dan enggan menerima maklumat yang betul secara terbuka dan berhati-hati. Saya merasa hairan mengapa orang kita (melayu) lebih suka hal-hal tahyul dan fantasi berbanding fakta dan kebenaran. Mereka suka dan percaya bila digula-gulakan oleh agen dengan jumlah pampasan ratusan ribu ringgit tetapi tidak bersandarkan kepada dokumen, bukti dan fakta terumanya medical report. Bagaimana anda boleh percaya dengan agen ketika itu?kerana ketika itu dia bukan sahaja bertindak menjadi peguam, malahan menjadi doktor, polis dan hakim yang boleh memutuskan award pampasan, tetapi realitinya ketika itu dia sebenarnya cuma seorang agen dan runner. 
Dari sisi agen pula mereka tidak rasa penipuan itu suatu yang salah dan bakal meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa kerana tugas hakiki mereka cuma mendapatkan tandatangan mangsa untuk perlantikan peguam. Mereka akan meningkatkan kreativiti, inovasi dan fokus hanya kepada bagaimana cara paling mudah untuk mendapatkan tandatangan mangsa, lain-lain perkara itu bukan urusan dan masalah mereka, biarlah peguam yang mengambil itu menangani masalah dikemudian hari. Apa yang penting bila mereka berjaya dapat tandatangan mangsa, maka berjaya mendapat ribuan RM dan penuhlah poket mereka dengan duit, itu sahaja. Inilah sebabnya mengapa agen dan runner selalu dicemuh, dihina dan dilabelkan sebagai penipu. Mereka cuma fokus kepada kepentingan diri tetapi mengabaikan kepercayaan dan harapan pelanggan mereka. 

Saya nasihatkan anda supaya dapat mempercayai peguam anda sepenuhnya kerana mereka adalah bertindak sangat profesional. Oleh itu bila anda diberitahu atau dinasihatkan oleh peguam anda berhubung apa-apa tawaran nilai penyelesaian adalah lebih tepat dan betul sekiranya anda dapat berbincang dengan rapat dengannya, dapatkan penjelasan penuh daripada dia kenapa jumlah itu dicapai. Ini lebih baik berbanding anda mendapatkan pandangan kedua daripada mana-mana pihak luar kerana pihak luar tidak ada akses kepada dokumentasi, fakta dan keterangan seperti yang peguam anda miliki, maka sudah tentu opinion luar sifatnya lemah dan mungkin tidak mencerminkan kepada keadaan sebenarnya kes itu. 

Akan tetapi, apabila anda mempertimbangkan untuk menerima apa-apa tawaran penyelesaian dalam kes anda, sebelum anda bersetuju dan menurunkan tandatangan persetujuan, anda dinasihatkan untuk mendapatkan penjelasan penuh daripada peguam  anda mengenai beberapa perkara:-

1. Berapa peratuskah pemotongan yuran guaman?;
 
2. Adakah anda akan dikenakan pemotongan tambahan untuk caj-caj tersembunyi seperti kos mahkamah, kos kehadiran, kos dokumen, kos polis, kos GST dan lain-lain; 

Sekiranya apa yang dimaklumkan kepada anda sangat berbeza dengan perjanjian awal semasa perlantikan peguam, anda berhak untuk tidak bersetuju. Contohnya ketika anda hendak melantik peguam anda ditawarkan perkhidmatan guaman dengan perjanjian lisan oleh agen peguam sekiranya kes anda berjaya peguam akan ambil 30% daripada nilai pampasan sebagai upah dan kos, tiada pemotongan lain untuk apa-apa jua caj tambahan. Tetapi apabila kes anda hendak diselesaikan tiba-tiba peguam menutup cerita lama dan buka cerita baru, beliau jelaskan kepada anda bahawa mereka ambil 30% sebagai upah guaman sahaja, selain itu anda kena bayar dan bertanggungjawab untuk kos tindakan seperti kos mahkamah/saksi, kos dokumen/pengangkutan/pejabat/telefon/pos dan cukai GST 6%. Setelah dicampurkan upah peguam dan kos tindakan akhirnya peguam akan mengambil lebih 50% daripada nilai pampasan.
Ketika ini anda berhak untuk tidak bersetuju kerana peguam anda walaupun dia seorang peguam yang sangat profesional tetapi dia juga seorang peguam yang tidak telus dan tidak berintergiriti bila memungkiri janji awal dan memperdayakan pelanggan untuk mendapatkan habuan yang besar dalam kes itu. Kalau dirujuk kepada Akta Kontrak jelas peguam telah melakukan perlanggaran kontrak apabila memungkiri dan melanggar perjanjian lisan. Dalam situasi ini anda berhak untuk mempertahankan hak anda sama ada mendesak peguam anda akur kepada perjanjian lama ataupun anda boleh membatalkan perlantikan itu atas alasan penindasan dan perlanggaran perjanjian. 

Saya percaya perlakuan ini sebenarnya melanggar etika dan disiplin peguam, justeru itu peguam ini boleh dirujuk kepada lembaga disiplin Majlis Peguam untuk diadili. Selain itu saya juga percaya perlakuan ini adalah perbuatan jenayah penipuan yang dibuat secara halus dan terancang, jadi kes ini boleh dirujuk kepada pihak polis untuk siasatan dan juga kepada persatuan-persatuan pengguna seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang giat berusaha melindungi hak dan kepentingan pengguna. Untuk rekod PPIM pernah membawa isu penipuan peguam ini kepada pihak media untuk tindakan pihak berkuasa beberapa bulan yang lalu.

Saya percaya langkah paling bijak adalah mencegah sesuatu perkara itu lebih baik daripada mengubatinya. Kaedah dan cara pencengahan yang berkesan dan efisien dalam menangani masalah penipuan peguam kes kemalangan ini ialah:
(a) Jangan lantik peguam sekiranya dia enggan memberi dan membekalkan surat perjanjian jaminan pemotongan yuran yang jelas dan terperinci;
 
(b) Jangan percaya kepada janji-janji lisan agen peguam, selagi anda tidak berikan surat perjanjian jaminan pemotongan yuran yang jelas dan terperinci, jangan turunkan tandatangan anda pada waran dan jangan muktamadkan perlantikan itu;
 (c) Sekiranya anda dibekalkan surat perjanjian jaminan dan anda berpuashati dengan syarat dan terma-termanya, maka anda bolehlah meneruskan perlantikan dan memberi sepenuh kepercayaan kepada peguamcara anda.