TIDAK PERLU MENUDING JARI KEPADA PIHAK LAIN, JIKA ANDA SENDIRI YANG CUAI


1. Sikap adil, telus dan saksama adalah tuntutan utama dalam agama islam. Sebagai manusia yang mengaku sebagai muslim dan umat Muhammad saw kita harus melaksana dan menghayati sifat dan sikap terpuji itu dengan bersungguh-sungguh.

2. Rasanya semua orang tahu perkara ini, tapi ramai yang buat-buat tidak tahu, sengaja memilih untuk tidak melaksanakannya kerana ada kepentingan duniawi yang melebihi kepentingan akhirat dan ukhrawi.

3. Dalam isu yang saya kemukakan, saya suka bersikap adil kepada semua, kepada pengguna dan juga kepada pengamal undang-undang serta wakilnya yang terlibat dalam masalah ini.

4. Ramai juga pembaca mengadu dan mendakwa mereka ditipu dan diperdayakan oleh tout, agen, runner dan peguam yang mengendalikan kes mereka.

5. Akan tetapi apabila kes itu diselidiki dengan lebih mendalam dan terperinci, akhirnya saya mendapati tuduhan dan dakwaan itu bersifat tohmahan dan berunsur fitnah.

6. Apa yang berlaku, ada segelintir mangsa kemalangan yang suka meminjam atau  meminta-minta apa yang dikatakan sebagai wang pendahuluan pampasan. Dalam tatacara, kaedah dan prosedur pengendalian kes guaman ini, tiada perkara atau istilah wang pendahuluan pampasan.

7. Tiada wujud mekanisme bayaran wang pendahuluan pampasan. Pihak insuran tidak pernah bersetuju atau melaksanakan perkara ini. Apa yang ada ialah pihak insuran hanya akan membayar sepenuhnya wang pampasan selepas kes selesai sepenuhnya dan muktamad.

8. Selagi kes dan prosiding berjalan termasuklah apa-apa prosiding rayuan, pihak insuran akan mendapatkan perintah menangguhkan pembayaran pampasan.

9. Justeru itu, saya cenderung dan suka untuk mengatakan perkataan dan perbuatan itu sebenarnya adalah lencongan atau pengalihan perkataan daripada satu pinjaman kepada perkataan yang lebih lunak dan mesra untuk diperdengarkan.

10. Berbalik kepada isu pinjaman tadi, ada segelintir mangsa kemalangan suka dan gemar meminjam kerana senang dapat duit terpijak, mereka kerap meminjam tanpa sebab munasabah, meninjam untuk urusan peribadi dan bukan untuk urusan rawatan atau urusan kes.

11. Akhirnya pinjaman itu  menimbun tinggi dan banyak tanpa mereka sedar. Apabila bayaran pampasan dikeluarkan, peguam atau wakilnya akan mengutip kembali hutang dan pinjaman ini. Ada sesetengah kes wang pampasan tidak cukup untuk menampung dan menjelaskan semula pinjaman.

12. Keadaan ini menyebabkan sipeminjam tidak berpuashati, marah dan buat-buat terkejut sebab kena potong banyak. Dia mula mempertikaikan itu dan ini untuk mencari ruang dan salah si peguam yang jujur.

13. Tidak puas dengan itu, dia meneruskan pula propaganda palsu, fitnah dan dakwaan khianat kepada orang lain kerana disebabkan sakit hati dan marah bila peguam atau wakilnya  kutip balik pinjaman yang telah diambilnya.

14. Bersikap adil, telus dan saksamalah kepada diri anda dan orang lain. Ketahui membayar atau mengembalikan pinjaman atau hutang adalah wajib di sisi agama islam, tiada perlepasan dan kompromi.

15. Selain itu saya juga mendapati ada segelintir mangsa yang cuba mengelirukan atau spin perkara yang benar menjadi rekaan dan cerita buruk kepada peguam atau wakilnya.

16. Apabila dokumen disemak, jelas ada perjanjian bertulis yang sah yang menyatakan mangsa bersetuju membayar 20-25% kepada peguam sebagai upah dan juga bersetuju membayar segala perbelanjaan (disbursements) pengurusan dan pengendalian kes itu. Ada sain dan cop jari mangsa pada dokumen tersebut.

17. Meskipun jika wujud percanggahan maklumat dan fakta di antara tout, agen, runner dan peguam dengan pelanggan mereka. Kita mesti bersetuju dan menerima bahawa pengataan atau pernyataan dalam perjanjian itu adalah tulen, benar dan ikhlas dan lebih diterima kerana ia wujud secara material sebagai pembuktian.

18. Ada yang mendakwa dia sain dan menurunkan cop jari tanpa baca atau faham akan kandungan perjanjian tersebut. Rata-rata penduduk negara ini menerima pendidikan sekurang-kurang pada tahap sekolah rendah dan boleh membaca serta faham perjanjian yang disediakan dalam bahasa kebangsaan.

19. Dan sepanjang pengalaman saya dalam pengendalian kes ini, tidak pernah berlaku atau terjadi mangsa dipaksa atau diugut atau diancam untuk menurunkan tandangan dan cop jari. Keadaan kita belum lagi sampai ke tahap seteruk itu.

20. Apa yang berlaku tout, agen dan runner atau peguam dan wakilnya cuma bertindak merayu-rayu, melobi, mendesak dan membeli jiwa mangsa dengan taburan wang dan janji manis.

21. Jika keadaan sebegini berlaku, tiada sesiapa pun yang boleh dan dapat dipersalahkan kecuali diri anda sendiri yang tidak berhati-hati, tidak berwaspada, tidak cermat dalam pertimbangan, tidak menyemak segala dokumen dan mendahulukan sifat tamak berbanding sifat sabar dan bijaksana.

22. Kejadian ini bolehlah kita sifat sebagai orang yang tamak selalu rugi bagaikan anjing dengan bayang-bayang.

23. Pengajaran dari kisah ini, jika anda mangsa kemalangan, elakkan dan hindarkan diri dari meminjam kecuali untuk sebab urusan perubatan dan keperluan kes.

24. Sebelum anda bersetuju melantik peguam semak dan telitilah semua dokumen, bacalah setiap perkataan yang terkandung di situ. Jika tidak faham atau perlu perjelasan anda berhak untuk mengemukakan pertanyaan sampai anda puashati.

25. Akhir kalam jika anda tersilap menurunkan tandatangan atau cop jari, itu adalah kesilapan dan kesalahan anda secara total dan muktamad kerana tiada sesiapapun yang memaksa, mengugut dan mengancam anda supaya turunkan sain dan cop jari  kecuali anda melakukan dengan rela hati.

Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.