KENAPA SAYA MENULIS?


1. Secara rasminya saya mula bertugas di firma guaman yang menjadi majikan saya ini sejak Oktober 1997 sebagai budak peon. Majikan saya banyak mengendalikan kes guaman kemalangan kerana peguam-peguam kami ada latar belakang dan pengalaman yang hebat sebagai peguambela pihak insuran.

2. Selain itu kami juga ada mengendalikan kes penceraian, kes conveyancing dan beberapa kes jenayah terpilih. Tapi tumpuan utama dan kepakaran kami adalah khusus kepada kes guaman kemalangan.

3. Saya mula belajar dan menimba ilmu serta menikmati pengalaman hidup bekerja dengan bermula sebagai kakitangan bawahan. Saya mengutip setiap inci pengalaman sebagai budak penghantar, budak pejabat, kerani, ketua kerani, setiausaha dan kini paralegal.

4. Saya telah berdepan dan berjumpa pelbagai jenis ragam manusia, latar belakang, gander, kaum dan agama. Banyak kenangan manis dan pahit. Berdepan pelbagai cabaran dalam kerjaya saya, saya pernah menangis kerana tekanan kuat untuk menyiapkan dan melunasi tugasan. Sakit kepala dan telan panadol itu dah jadi rutin biasa saya.

5. Semua ini saya dapat terimanya dengan baik, satu perkara yang saya tak dapat terima ialah apabila masyarakat memukul rata memutus, mendakwa dan menuduh semua peguam kes guaman kemalangan ini adalah penipu dan buaya lapar.

6. Kenyataan ini sangat sukar untuk saya menerimanya, kerana itulah saya menulis dan mula berkongsi maklumat dengan pembaca melalui blog saya http://karlzkampau.blogspot.com/?m=1 sejak tahun 2009.

7. Melalui penulisan dan perkongsian di blog dan pages ini, saya berharap pembaca dapat maklumat yang betul, benar dan tepat. Setidak-tidaknya akan ada tanggapan baru muncul di kalangan pembaca bahawa bukan semua peguam melakukan penipuan atau merestui penipuan itu.

8. Tidak menafikan keadaan hari ini sangat genting dan kritikal, dimana majoriti firma yang mengendalikan kes guaman ini terpaksa tunduk kepada pemegang pasaran. Mereka menutup mata dan terpaksa merestui penipuan ini demi kelangsungan hidup.

9. Tetapi ada juga sebahagian daripadanya masih kekal berprinsip dan mengekalkan etika kerja yang telus, profesional, akuantabiliti dan jujur. Sayangnya keberadaannya hari ini semakin kecil dan hilang kerana kurang sokongan oleh pemegang taruh pasaran.

10. Dengan berkongsi maklumat setidak-tidaknya pembaca mendapat input, ilmu, pelajaran dan pengetahuan serba sedikit tentang proses, tatacara, prosedur, caj, yuran dan pengendalian kes ini.

11. Paling minima saya berharap pembaca dapat melindungi diri dan kepentingan sendiri. Dengan ilmu ini pembaca akan dapat menyusun, mengatur dan merancang cara serta kaedah untuk melindungi kepentingan sendiri.

12. Hari ini saya sangat gembira kerana semakin ramai orang yang sedar, berhati-hati dan berwaspada dengan kewujudan penipuan ini. Ia kesan daripada pendedahan dalam blog dan pages ini. Alhamdulillah. Semoga pages dan  blog terus dapat berfungsi dan memberi input serta manafaat kepada anda semua.







Comments

Popular posts from this blog

Kriteria Utama Dalam Pengiraan Award Pampasan

Pampasan Kecederaan Diri, Bagaimana Ia Ditaksirkan

PERINCIAN FEE GUAMAN DAN KOS TINDAKAN.